Microphthalmia Sindrom Kecacatan Mata

TANGISAN anak kecil itu me­runtun hati kedua-dua ibu bapanya yang sedari tadi cuba menenangkan anak mereka dari­pada terus menangis.

Si kecil berusia sembilan bulan itu mungkin tidak berdaya menahan kesa­kitan yang dialami, namun terpaksa merelakan jua walaupun pada usia yang begitu muda.

Bayi perempuan itu, Izabella Myers mengalami penderitaan selepas dia dilahirkan tanpa biji mata kiri dan terpaksa memakai bebola mata kaca bagi menge­lak­ implikasi pada soket mata kirinya.

Sejak memakai bebola mata kaca itu seawal usia tiga bulan, Izabella kini berdepan dengan masalah lain pula apabila wajahnya mula kelihatan menggeleber sebanyak 3.8 sentimeter hingga memaksa bayi tersebut menukar saiz bebola mata palsu kaca yang lebih besar.

 

undefined_desc_1372267372.2754

Masalah yang dikenali sebagai microphthalmia itu memerlukan Izabella menukar bebola mata kaca itu setiap dua minggu kerana keadaan soket matanya semakin membesar sehingga menyebabkan wajahnya semakin mengendur.

Menurut ibunya, Alexis Miller, 27, dari Pennsylvania, Amerika Syarikat, dia sebenarnya tidak sanggup melihat bayinya itu memakai bebola mata kaca kerana dapat merasai kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh anaknya.

“Secara dasarnya Izabella memang perlu memakai bebola mata kaca itu, tetapi sebaiknya ketika dia sudah cukup dewasa dan pandai membuat keputusan sendiri,” tutur Alexis menahan sebak.

Katanya lagi, dia menerima nasib yang menimpa anak perempuannya itu dengan hati terbuka, malah amat me­nyayangi Izabella meskipun dia dilahirkan tidak sempurna.

Mengimbas kembali pengalaman sewaktu mengandungkan Izabella, Alexis mula mengesyaki terdapat masalah pada bayinya sewaktu kandungannya berusia 20 minggu.


 

IMBASAN

illustrations

Ketika melakukan ujian imbasan, berlaku keganjilan apabila doktor tidak dapat mengesan bahagian mata kiri bayi di dalam kandungannya sehingga menimbulkan tanda tanya.

Ujian lanjut yang dijalankan kemudiannya mendapati, terdapat kesan tisu pada mata kiri bayi tersebut yang memberi petunjuk bahawa bahagian mata kiri bayi itu telah berhenti membentuk dengan sempurna.

Bagi mendapatkan keputusan yang lebih tepat, bayi di dalam kandungan itu disongsangkan sedikit untuk melihat pembentukan mata kanannya dan ter­nyata bentuk kedua-dua belah mata bayi tersebut berbeza.

 

2016-03-03a-Microphthalmia-small-eye-index-card

“Secara jujur saya berasa sangat kecewa selepas mengetahui keadaan bayi saya kerana tiada siapa pun yang mahukan anak mereka lahir dalam keadaan tidak sempurna,” kata Alexis yang telah berjumpa dengan pakar kaunseling untuk membina semangatnya.

Namun, segalanya berubah apabila Izabella selamat dilahirkan, malah dia kelihatan sungguh comel sama seperti bayi normal yang lain.

Punca masalah yang terjadi ke atas Izabella akhirnya terungkai apabila ia dikaitkan dengan faktor keturunan oleh keluarga sebelah bapanya.

Menurut bapa kepada Izabella, Eric Myers, 35, neneknya juga menghidap masalah microphthalmia sama seperti keadaan yang terjadi terhadap anaknya.

Microphthalmia merupakan suatu keadaan yang amat jarang berlaku melibatkan mata dan ia boleh terjadi pada satu atau kedua-dua belah mata.

 

eye-anatomy

Masalah microphthalmia boleh dikesan melalui imbasan ketika bayi masih dalam kandungan apabila terdapat ke­ganjilan pada bahagian mata bayi.

Selepas dilahirkan, keadaan mata bayi yang bermasalah itu tidak mempunyai biji mata dan berada dalam keadaan terpejam rapat.

Sebelum memutuskan untuk memakai bebola mata kaca, pasukan perubatan terlebih dulu akan menyerap cecair yang terbentuk di sekitar kulit mata bayi sebelum membentuk soket untuk memasukkan bebola tersebut.

Tujuan memakai bebola mata kaca itu adalah untuk memastikan keadaan wajah bayi tidak mengendur dan ia perlu ditukar setiap dua minggu bagi menge­lakkan sebarang jangkitan kuman.

Keadaan itu akan berterusan sehingga bayi itu dewasa dan berhenti membesar sebelum seseorang itu membuat mata palsu yang kekal.