Penjagaan Gigi Dan Gusi Mengikut Peringkat Umur (Bhg 1)

Aspek yang terpenting bagi penjagaan gigi dan gusi ialah kebersihan mulut yang baik sama ada di rumah mahupun ketika di dalam bilik pembedahan bersama doktor gigi. Kebanyakan gigi hilang/tercabut disebabkan penyakit gusi dan masalah ini boleh diatasi dengan penjagaan di rumah yang sempurna dan temujanji berkala dengan doktor gigi.


Kepentingan Gigi Primer (gigi susu)

primary_teeth

Sepertimana gigi kekal sepatutnya bertahan sepanjang hayat, gigi susu juga sepatutnya tahan sehingga gigi kekal mula tumbuh. Gigi susu kanak-kanak digunakan untuk mengunyah makanan dengan sempurna, bercakap dengan jelas dan memupuk rasa harga diri yang baik.

Ia juga menyediakan ruang di dalam rahang untuk gigi kekal tumbuh. Ini dapat mengelakkan gigi kekal tumbuh senget atau bertindih.

Adalah penting untuk melindungi anak anda dari kerosakan/pereputan gigi susu yang menyakitkan


PANDUAN PENJAGAAN ORAL

blogger-image--1747053605

Baru lahir hingga 24 bulan

  • Bersihkan mulut kanak-kanak dengan kain kasa atau kain selepas makan dan sebelum tidur.
  • Elakkan membiar bayi anda tertidur dengan botol susu di dalam mulutnya kecuali ia diisi dengan air kosong sahaja.
  • Mengatur tabiat makan anak anda.
  • Berhentikan anak anda secara beransur-ansur dari susu badan atau botol apabila mencapai umur 1 tahun.
  • Berjumpa dengan doktor gigi apabila gigi pertama muncul atau jika gigi pertama tidak muncul setelah anak anda mencapai umur 1 tahun.
  • Gosok gigi dengan menggunakan berus gigi yang kecil dan lembut selepas makan dan sebelum tidur.
  • Teruskan mencuci bahagian-bahagian dalam mulut yang lain dengan kain kasa atau kain.
  • Berbincang dengan doktor gigi atau pakar kanak-kanak mengenai tambahan florida.

Dental medicine and healthcare - child patient open mouth showing first baby milk or temporary teeth fall out

Umur 2-6 tahun

  • Ibu bapa perlu terus membersihkan mulut anak-anak dan membenarkan mereka mengambil bahagian berdasarkan minat dan kebolehan
  • Mula menggunakan flos di bahagian-bahagian gigi yang rapat.
  • Berjumpa doktor gigi untuk pembersihan gigi secara berkala.

Head-teeth

Umur 6-12 tahun

  • Mula memindahkan tanggungjawab memberus dan flos gigi kepada kanak-kanak di bawah pengawasan ibu bapa. Umur 8 tahun adalah purata umur kanak-kanak mampu memberus gigi sendiri. Manakala flos gigi boleh dilakukan sendiri apabila mencapai umur 10 tahun.
  • Kanak-kanak harus memberus gigi menggunakan teknik dan jenis berus gigi yang disyorkan oleh doktor gigi mereka.
  • Menggunakan pengedap (sealant) untuk gigi geraham kekal.
  • Jika perlu teruskan mengambil florida tambahan seperti yang telah dipreskripsikan oleh doktor.
    Kanak-kanak dari semua peringkat umur
  • Tukar berus gigi setiap 3-4 bulan sekali.
  • Berus gigi dua kali sehari, iaitu selepas makan sarapan pagi dan sebelum tidur.

MASALAH ORAL YANG UMUM

MandibularAnteriorCalculus

1) Plak dan kalkulus

Plak merupakan lapisan nipis dan melekit mengandungi bakteria yang sentiasa terbentuk di dalam mulut. Ianya lembut dan mudah dihilangkan dengan memberus gigi atau flos.

Selepas makan, sisa makanan akan ditukarkan menjadi plak melalui tindakan penguraian bakteria. Jika dibiarkan, plak ini akan menebal dan bakteria akan membiak.

Jika ia tidak dibersihkan dalam masa 24 jam, plak ini akan mula mengeras disebabkan enapan garam kalsium dari air liur dan membentuk kalkulus, ataupun tartar. Struktur enapan yang keras dan melekat kuat ini hanya dapat disingkirkan melalui pembersihan gigi oleh doktor iaitu “pengikisan”.


gum_disease_illustration

2) Penyakit Periodontal

Penyebab etiologi utama bagi penyakit periodontal ialah pengumpulan plak bakteria. Apabila plak terbentuk di sepanjang permukaan gusi, ia akan menyebabkan gusi membengkak dan mudah berdarah. Ini dikenali sebagai gingivitis.

Jika plak ini tidak disingkirkan, toksin akan menyebabkan gusi lekang dari gigi dan membentuk lekuk di antara gigi dan gusi.

Jangkitan di bahagian ini akan memusnahkan gentian yang memegang gigi di tempatnya. Tulang penyokong gigi juga akan rosak. Keadaan ini dikenali sebagai periodontitis.


dental-vacations-mexico.jpg

3) Karies gigi

Karies gigi merupakan penyakit disebabkan mikrob yang memusnahkan gigi. Ia menjejaskan tisu-tisu gigi yang keras (enamel).

Sesetengah bakteria plak akan menghasilkan asid dari karbohidrat; asid ini akan melarutkan enamel gigi dan membentuk lesi karies yang akhirnya memusnahkan gigi jika tidak dirawat.


Sambungan : Penjagaan Gigi Dan Gusi Mengikut Peringkat Umur (Bhg 2)