Rawatan Pergigian : Kesan Orthodontic

Rawatan Ortodontik merupakan rawatan yang diberikan bagi membetulkan ketidakaturan susunan gigi dengan menggunakan aplian tetap dan aplian boleh tanggal.

Selain dapat memberikan kesan estetik, rawatan ortodontik juga berpotensi untuk menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Kesan-kesan rawatan ortodontik dapat dibahagikan kepada 3 bahagian:-

  1. Kesan intra-oral (dalam mulut)
  2. Kesan extra-oral (luar mulut)
  3. Kesan sistemik

 

Kesan Intra-Oral (Dalam Mulut)

photography-upper-and-lower1

Rawatan ortodontik memberikan kesan sampingan yang paling banyak kepada bahagian dalam mulut pesakit. Kesan-kesan tersebut dapat dibahagikan kepada 3 bahagian:

  1. Kesan kepada gigi
  2. Kesan kepada tisu gusi (periodontium)
  3. Kesan kepada tisu lembut.

 

Kesan kepada gigi

2014-03-17-16_14_54-3

  • Kesan  dekalsifikasi

Kesan kepada permukaan enamel gigi yang dapat dilihat seperti tompok-tompok putih (white-spot) merupakan komplikasi yang paling kerap berlaku (Gambar 1).  Dekalsifikasi kepada permukaan enamel gigi adalah disebabkan oleh asid yang dihasilkan dari proses metabolisma plak.

Proses penyahmineralan pada enamel gigi boleh berlaku secara pantas dalam masa sebulan pertama rawatan ortodontik aplian tetap.

Oleh itu, adalah penting bagi pesakit untuk menjaga kebersihan mulut agar bebas dari plak. Pesakit juga dinasihatkan agar mengurangkan pengambilan minuman yang berasid seperti minuman berkabonat yang akan menambahkan lagi kesan dekalsifikasi pada permukaan enamel gigi.

 

Menunjukkan kesan dekalsifikasi kepada permukaan enamel gigi
Menunjukkan kesan dekalsifikasi kepada permukaan enamel gigi

 

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Gorelick et al; 1982, 50% daripada pesakit ortodontik didapati mempunyai sekurang-kurangnya satu white-spot selepas rawatan ortodontik . Gigi yang paling kerap dijangkiti  ialah  gigi  lateral insisor maksila (gigi kacip lateral atas) (23%).  Jangkamasa rawatan ortodontik tidak mempengaruhi insidens atau bilangan white spot.

 

  • Karies

    Karies juga mudah terjadi pada gigi terutamanya apabila kebersihan mulut tidak dijaga dengan rapi oleh pesakit dan jangkamasa rawatan ortodontik yang terlalu lama.

 

  • Kehausan permukaan enamel  gigi  (atrition) 

boleh terjadi disebabkan oleh braket seramik atau logam  yang dilekatkan pada permukaan gigi bagi rawatan ortodontik.

Ianya biasa terjadi pada tip (hujung) gigi kanin (taring) atas semasa proses retraksi dimana  tip gigi kanin akan bergeser dengan braket gigi kanin bawah (Gambar 2).

Selain daripada itu, braket seramik yang dilekatkan pada gigi insisal bawah boleh menyebabkan kehausan pada gigi insisal atas.

 

Menunjukkan atrisi pada permukaan kanin atas
Menunjukkan atrisi pada permukaan kanin atas
  • Resorpsi (penyusutan)

akar gigi juga boleh berlaku disebabkan oleh rawatan ortodontik (Gambar 3). Resorpsi akar gigi boleh terjadi pada permukaan apikal dan lateral akar gigi terutamanya pada gigi insisal atas dan bawah.

Mekanisme kejadian resorpsi akar gigi adalah kurang jelas. Dikatakan bahawa daya tarikan ortodontik yang berlebihan dan kejadian  hyalinisasi pada ligamen periodontium menyebabkan peningkatan aktiviti sel-sel tulang terutamanya cementoclast dan osteoclast yang boleh menyebabkan terjadinya resorpsi akar gigi.

 

Faktor-faktor risiko lain yang mempengaruhi terjadinya resorpsi akar gigi adalah :

  • Bentuk akar gigi yang berbentuk pipet – resorpsi akar lebih mudah terjadi.
  • Gigi yang pernah mengalami trauma dan gigi yang telah mendapat rawatan akar lebih terdedah kepada resorpsi akar gigi
  • Rawatan gigi kanin terimpak di dalam tulang akan meningkatkan risiko resorpsi akar pada gigi-gigi lateral dan pra-molar pertama. Ini adalah disebabkan oleh jangkamasa rawatan ortodontik yang lama dan jarak pergerakan gigi kanin yang panjang.
  • Mekanikal rawatan ortodontik – sesetengah mekanik rawatan ortodontik seperti penggunaan dawai arkus rectangular (Linge & Linge; 1983) , penggunaaan elastic Class II traksi), pergerakan intrusi gigi , jarak pergerakan gigi yang jauh dan daya tekanan/tarikan yang berlebihan ke atas gigi akan meningkatkan kejadian resorpsi akar gigi
  • Tabiat seperti bruksism (mengetam gigi) dan menggigit kuku akan memberikan tekanan yang berlebihan pada gigi yang akan menyebabkan kejadian resorpsi akar gigi
  • Faktor umur- umur pesakit yang melebihi 11 tahun lebih berisiko terhadap resorpsi akar gigi . Gigi pesakit dewasa yang pendek juga lebih terdedah kepada risiko pengresorban akar gigi.
  • Faktor am yang meningkatkan resorpsi akar gigi:-
    Perempuan > lelaki
    Jangkamasa rawatan yg panjang
  • Faktor sistemik seperti penyakit para/hyperthyroidism
  • Pulpitis atau inflamasi pulpa gigi terjadi kepada hampir 90% pesakit ortodontik (Anstendig & Kronman; 1972) terutama semasa bulan pertama rawatan. Pesakit akan merasa sakit disebabkan oleh rawatan ortodontik. Namun begitu, inflamasi pulpa gigi ini tidak akan mengakibatkan gigi tidak vital.

 

Kesan kepada tisu gusi (periodontium)

kesanorto4

Pemakaian aplian tetap ortodontik menjadikan penjagaan kebersihan mulut lebih rumit dan berlaku pengumpulan plak terutama di kawasan pinggir gusi.

  • Plak yang terkumpul akan menyebabkan terjadinya keradangan gusi (gingivitis). Hampir semua pesakit ortodontik akan mengalami gingivitis. (Boyd & Baurmind; 1992)
  • Resesi kepada gusi terjadi sekiranya pergerakan gigi yang tidak dikawal berlaku semasa rawatan ortodontik
  • Hyperplasia gingiva boleh terjadi disebabkan kebersihan mulut yang teruk (Gambar 4)
  • Resorpsi / Penyusutan tulang krestal alveolus juga boleh berlaku namun, sangat minima. Walaubagaimanapun, resorpsi tulang krestal boleh terjadi dengan teruk sekiranya pesakit mempunyai sejarah pengresorban tulang sebelum rawatan ortodontik.

Pesakit yang telah mengalami penyakit gusi sebelum rawatan ortodontik perlu memberikan lebih perhatian terhadap penjagaan kebersihan mulut untuk mengelakkan daripada mendapat komplikasi terhadap tisu gusi (periodontium).

Kesan kepada tisu lembut

kesanorto5

Mukosa tisu lembut mulut terdiri daripada bibir mulut atas dan bawah, bahagian dalam pipi, lelangit mulut, lantai mulut dan lidah pesakit.

Kesan trauma yang dapat dilihat pada mukosa tisu lembut adalah seperti ulser yang disebabkan oleh hujung dawai arkus yang panjang, braket yang dilekatkan pada permukaan labial gigi (Gambar 5) dan band pada gigi molar.

Alergi tisu lembut mulut terhadap komponen ortodontik yang mengandungi nikel dan besi sangat jarang berlaku. Kepekatan nikel sebanyak 5-12 kali diperlukan untuk menyebabkan kesan terhadap tisu lembut berbanding terhadap kulit (Dunlap et al; 1989). Perhatian harus diberikan kepada pesakit yang alergik (alah) terhadap nikel.

Selain daripada itu, alergi juga boleh berlaku terhadap latex (getah) yang terdapat dalam elastomeric atau sarung tangan yang digunakan oleh perawat.

Kesan  Extra-Oral (Luar Mulut)

kesanorto6

Kesan rawatan ortodontik terhadap kawasan luar mulut amat jarang berlaku. Kesan-kesan yang biasa berlaku  di luar mulut ialah  seperti berikut :-

  • Alergi terhadap peralatan ortodontik yang mengandungi nikel adalah yang paling kerap berlaku. Terdapat juga pesakit yang alergik terhadap latex dari sarung tangan yang digunakan oleh perawat atau bahan-bahan yang digunakan dalam rawatan ortodontik (Hutchinson; 1994)
  • Penggunaan headgear semasa rawatan ortodontik boleh menyebabkan kecederaan pada bahagian muka, mata dan kawasan luar mulut disebabkan oleh bahagian hujung headgear yang tajam.(Holland et al; 1985)
  • Kecederaan pada sendi temporomandibel (TMJ) iaitu temporomandibular dysfunction (TMD).

 

Kesan Sistemik

Sangat jarang berlaku.

  • Jangkitan silang boleh berlaku sekiranya peralatan yang digunakan semasa rawatan ortodontik tidak di basmi kuman secukupnya.

    Infective endocarditis boleh berlaku jika pesakit mempunyai penyakit injap jantung (Roberts et al; 2000)

Kesimpulan

Walaupun terdapat beberapa kesan-kesan iatrogenic rawatan ortodontik terhadap pesakit semasa rawatan ortodontik, namun sangat jarang pesakit mendapat kecederaan yang teruk. Maka, dapat disimpulkan bahawa, pesakit yang mempunyai maloklusi yang teruk akan mendapat lebih manafaat daripada rawatan ortodontik berbanding dengan  pesakit yang mempunyai maloklusi yang kurang teruk.