Intoleransi Laktosa (Bahagian 2)

Artikel ini merupakan sambungan daripada : Intoleransi Laktosa (Bahagian 1)

Advertisement

 

Bagaimanakah Intoleransi Terhadap Laktosa Didiagnosis?

Jika anda mengalami simptom-simptom selepas minum susu atau makan produk tenusu atau produk lain yang mengandungi laktosa, agak jelas bahawa anda mempunyai masalah intoleransi laktosa. Kebiasaannya ujian lain tidak diperlukan.

  • Akademi Pediatrik Amerika (American Academy of Paediatric) mengesyorkan diet bebas laktosa selama dua minggu jika anda disyaki mengalami intoleransi terhadap laktosa.

  • Label makanan perlu diteliti untuk memastikan diet ini benar-benar bebas laktosa.

  • Jika simptom hilang semasa tempoh dua minggu berkenaan dan muncul kembali apabila mula mengambil makanan atau minuman berlaktosa, maka anda boleh didiagnosis sebagai intoleransi laktosa.

 

image001

Namun jika anda masih berasa ragu, beberapa ujian khas boleh dilakukan :

  1. Ujian Nafas Hidrogen (Hydrogen breath test)
    • Jumlah hidrogen dalam nafas anda akan diukur pada selang masa tertentu selepas diberi minuman berlaktosa.

    • Kebiasaannya bacaan akan rendah, namun jika laktosa tidak dicernakan bacaan hidrogen akan menjadi tinggi.

    • Namun faktor-faktor seperti berikut boleh juga menyebabkan bacaan hidrogen menjadi tinggi :

      • gangguan motiliti usus

      • pembiakan bakteria usus kecil berlebihan

      • diet tinggi serat

      • merokok.

  2. Ujian Keasidan Najis (Stool acidity test)
    • Ujian keasidan najis digunakan untuk bayi dan kanak-kanak untuk mengukur jumlah asid dalam najis.

    • Laktosa yang tidak dihadamkan akan menghasilkan asid laktik dan asid lemak lain yang boleh dikesan dalam sampel najis.

    • Jarang digunakan kerana ia bukanlah petanda spesifik (non-specific marker) laktosa.

  3. Ujian Gula Najis (Stool reducing sugar)
    • Ujian yang ringkas tetapi tidak spesifik (non-specific test) untuk mengesan kehadiran:

      • laktosa

      • glukosa

      • fruktosa.

    • Keputusan yang positif mencadangkan ketiadaan enzim pencernaan yang berkaitan.

 

lactose-graph

Apakah yang perlu saya lakukan jika saya mengesyaki anak saya mengalami intoleransi terhadap laktosa?

Walaupun intoleransi laktosa adalah lebih biasa dalam kalangan orang dewasa, kanak-kanak juga mungkin boleh mengalaminya.

  • Berbincanglah dengan doktor anda sebelum membuat apa-apa perubahan dalam diet anak anda.Intoleransi laktosa selalunya berkait dengan kekurangan enzim laktase di dalam tubuh.

  • Jika memang didapati anak anda mengalami intoleransi terhadap laktosa, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak perlu mengikuti pelan pemakanan yang disyorkan oleh Pakar Perubatan Kanak-kanak atauPakar Diet.

lactose-intolerance-diagnosis-and-management-4-638

Apakah RAWATAN Untuk Intoleransi Terhadap Laktosa?

Intoleransi laktosa mudah untuk dirawat.

Memandangkan tiada apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan keupayaan badan untuk menghasilkan lebih enzim laktase, SIMPTOM BOLEH DIKAWAL MELALUI DIET.

  • Anda boleh memperkenalkan susu atau produk tenusu dalam jumlah yang sedikit secara beransur-ansur.

  • Kekerapan pendedahan terhadap produk tenusu dengan kuantiti yang sedikit juga membantu mengurangkan simptom dan meningkatkan tahap toleransi anda terhadap laktosa.

 

intoleransi_laktosa_3-1

  1. Sebagai permulaan, anda boleh cuba dengan produk tenusu yang lebih rendah kandungan laktosa seperti :

    • keju

    • yogurt

  2. Seelok-eloknya anda mengambil susu dengan makanan lain terutama yang mengandungi lemakuntuk membantu melambatkan masa transit laktosa.

  3. Bayi pramatang yang mengalami kekurangan enzim laktase semasa perkembangan (developmental lactase deficiency), boleh diberi susu ibu atau susu formula khas untuk bayi pramatang yang rendah laktosa.

    • Kebanyakan susu formula khas untuk bayi pramatang mengandungi kandungan laktosa yang lebih rendah berbanding formula bayi biasa.

  4. Risiko bayi pramatang untuk mendapat intoleransi ini boleh dikurangkan dengan memberi separuh kepekatan susu ibu atau separuh kekuatan formula berlaktosa.

    • Contoh : mencampurkan sebahagian susu ibu dengan sebahagian susu tanpa laktosa.

  5. Jika cirit-birit berpanjangan, sesetengah doktor akan mengesyorkan untuk mengelakkan laktosa selama dua hingga tiga minggu selepas jangkitan.

 

 

lactose-intolerance-symptom

Adakah Sebarang KOMPLIKASI Akibat Intoleransi Laktosa?

Kebanyakan individu tidak mempunyai sebarang komplikasi jangka panjang.

  • Bayi yang mengalami kekurangan enzim laktase yang teruk mungkin boleh menjurus kepada masalah berikut jika tidak didiagnosis awal :

    • dehirasi (kurang air dalam tubuh)

    • malnutrisi (kurang zat makanan).

  • Memandangkan susu dan produk tenusu kaya dengan zat kalsium, diet anda mungkin kekurangan zat kalsium jika tidak mengambilnya dalam diet harian.

 

menopause-and-lactose-intolerance

Bagaimanakah Untuk Meningkatkan Pengambilan KALSIUM?

Anda boleh memilih produk tenusu atau makanan tinggi kalsium yang rendah kandungan laktosasebagai sumber kalsium anda.

Jadual di bawah boleh membantu anda untuk membuat pilihan :

intoleransi_laktosa_4

intoleransi_laktosa_5

Rujukan :

  1. John Wyeth J, Steele R & Chin S. Lactose intolerance. BPJ 2007; 9: 30-35.
  2. Barling PM. Lactose tolerance and intolerance in Malaysians. IeJSME 2012: 6 (Suppl 1): S12-S23
  3. Rull. G. Lactose Intolerance. 2011. www.patient.co.uk/doctor/Lactose-Intolerance.htm.
  4. Lactose intolerance. The London Gastroeneterology Partnership. http://www.londongastro.co.uk/ [accessed on 9/4/2013]
  5. Kenny T. Lactose intolerance. 2010. www.patient.co.uk/health/lactose-intolerance.
  6. Sibley E, Fisher R & Pennington J. Lactose Intolerance. 2009. National Digestive Diseases Information Clearinghouse. www.digestive.niddk.nih.gov .
  7. Lactose intolerance. The University Health Center. http://www.uhs.uga.edu/nutrition/lactoseintolerance.html . [accessed on 4/6/2013]

Advertisement