Payu Dara Bukan Untuk Tontonan Umum – Fathul Bari

KUALA LUMPUR: Peserta kempen menyusukan anak yang dianjurkan beberapa kelab ibu menyusu di negara ini seperti yang tersebar di media sosial perlu mengelak daripada rakaman aksi oleh pihak media yang berisiko menimbulkan pelbagai pandangan dari persekitaran yang memiliki pelbagai niat.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, setiap tindakan perlu perlu lebih berimbang selain sentiasa menjaga aurat kepada peserta yang beragama Islam.

“Hendak berkempen silakan, tetapi tidak perlu sehingga menyusukan anak di hadapan media yang merakam aksi kalian. Payu dara kalian bukan untuk tontonan umum. Namun saya yakin kalian melindunginya dengan baik. Moga-moga tiada rakaman yang berniat jahat.

“Menjaga aurat adalah salah satu disiplin dan tanggungjawab setiap Muslim kepada Allah. Manakala menyusukan anak merupakan tanggungjawab seorang ibu kepada anak. Maka terdapat dua tanggungjawab di sini.

“Apabila berlaku pertembungan antara dua tanggungjawab ini, bagaimana seorang Muslim menyikapinya?

“Adakah dengan cara mendedahkan payu dara sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira soal disiplin aurat? Membiarkan anak menangis kelaparan?┬áSebagai wanita Muslimah, sudah tentu kalian menolak kedua-dua cara di atas. Lalu bagaimana?” katanya kepada Astro AWANI di sini.

Tumpuan orang

Dr Fathul Bari mengulas aktiviti beberapa kelab ibu yang mengadakan perhimpunan menyusukan anak selain ‘flashmob’ di kawasan tumpuan orang ramai di ibu kota, seperti yang tersebar di media sosial akhir-akhir ini.

Bagaimanapun jelasnya, dari satu perspektif, ia dilihat satu kempen yang positif selain bersifat galakan untuk ibu-ibu menyusukan anak dengan susu badan.

Kata Dr Fathul Bari lagi, ibu-ibu berkenaan juga harus mengimbangi tanggungjawab sebagai hamba Allah dan tanggungjawab sebagai ibu.

“Caranya mudah, bersungguh-sungguh menyusukan anak di samping bersungguh-sungguh menjaga batas aurat. Bukan dengan cara selamba mengeluarkan payu dara tanpa menghiraukan persekitaran yang memiliki pelbagai niat.

“Kehidupan beragama adalah suatu hal terindah bagi yang memahami. Keterbukaan dalam beragama bukan bermaksud meliberalkan agama sebaliknya ia satu kemudahan yang Allah sediakan untuk hamba-Nya. Maka manfaatkan keterbukaan dan kemudahan tersebut dengan disiplin agama dan bukan liberalisme,” jelasnya.

Sebelum ini, Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan menasihatkan wanita agar tidak membuka ruang untuk membolehkan mereka dieksploitasi sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Sumber