Kanak-Kanak : Jangkitan Cacing Jarum

Cacing jarum atau cacing benang ialah sejenis cacing yang sangat halus berukuran lebih kurang setengah inci panjang dan tinggal didalam usus. Cacing jarum betina keluar dari dubur pada waktu malam dan bertelur berhampiran dengan kulit dubur.

 

asd

Apakah ‘enterobiasis’?

Jangkitan cacing yang disebabkan oleh cacing jarum dikenali sebagai ‘enterobiasis’. Suatu penyakit yang biasa berlaku dikalangan kanak-kanak.

 

 

asd

Bagaimanakah ia berjangkit?

Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak menelan telur cacing jarum. Seorang kanak-kanak mendapat telur cacing jarum melalui sentuhan dengan kanak-kanak yang dijangkiti atau melalui pakaian tidur, cadar atau persekitaran kediaman kanak-kanak lain yang telah dijangkiti.

Apabila telah dijangkiti, kanak-kanak akan menggaru di kawasan dubur kerana gatal.

Telur-telur cacing jarum akan melekat di celah-celah kuku. Apabila kanak-kanak makan tanpa mencuci tangan dengan sempurna, telur-telur tersebut akan masuk melalui mulut dan menjadi cacing dewasa dan tinggal di dalam usus.

 

asd

Bagaimanakah ianya terjadi?

  • Kebanyakan kanak-kanak tidak mendapat apa-apa tanda dan gejala.
  • Namun ada juga kanak-kanak yang mengalami kegatalan di sekeliling dubur dan vagina.

 

asd

Komplikasi

Tempat-tempat yang digaru tersebut mungkin terdedah kepada jangkitan bakteria.

 

Bagaimanakah anda tahu anak anda dijangkiti cacing jarum?

  • Terdapat cacing di dalam najis anak.
  • Telur-telur cacing jarum akan dapat dilihat melalui pemeriksaan dibawah mikroskop dengan cara melekatkan tape cellophane pada kawasan dubur anak dan menanggalkannya semula. Telur-telur cacing jarum akan melekat pada tape tersebut.

 

asd

Bagaimanakah ia dirawat?

  • 1 dos ubat Albendazole atau Mebendazole diberikan dan diulang selepas 2 minggu.
  • Rawatan ini perlu diberikan untuk semua ahli keluarga.
  • Sapukan jelly petroleum di kawasan yang gatal untuk menghilangkan kegatalan (di sekeliling kawasan dubur atau vagina).
  • Cadar dan pakaian yang digunakan perlu direbus dan dibasuh dengan air panas dan bahan pencuci untuk menghapuskan telur-telur cacing jarum.

 

asd

Pencegahan

  • Mandi dengan kerap.
  • Gunakan cadar, pakaian dalam, pakaian tidur yang bersih.
  • Basuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.