Tip Komunikasi untuk Individu Bermasalah Pendengaran


- 31 Oct 16
View 200 : Today 1

Proses komunikasi merupakan rutin penting dalam kehidupan seharian. Kita perlu berkomunikasi untuk membentuk hubungan baik sesama insan, memberitahu kehendak diri serta memahami mesej yang disampaikan oleh individu lain.

Advertisement

Masalah pendengaran merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada halangan komunikasi dan ketidaksampaian maklumat .

Keadaan ini boleh menyebabkan ketegangan pada individu yang mempunyai masalah pendengaran serta pada individu lain yang turut terlibat dalam proses komunikasi. Justeru, artikel ini akan menyelongkar beberapa tips mudah yang boleh membantu menangani halangan komunikasi akibat masalah pendengaran.

hearing-loss

Tips Umum: Sedar akan Masalah Pendengaran

TINDAKAN

CONTOH

Mendapatkan perhatian rakan komunikasi sebelum memulakan perbualan.
  • Menggunakan panggilan yang bersopan.
  • Menggunakan lambaian tangan atau sentuhan lembut untuk mendapatkan perhatian individu yang mempunyai masalah pendengaran.
Memastikan kadar bunyi bising dalam persekitaran anda adalah rendah.
  • Menutup sumber bunyi seperti radio atau televisyen.
  • Bergerak ke tempat yang kurang bising sebelum memulakan perbualan.
Memastikan kedudukan anda dan rakan komunikasi adalah dalam jarak yang dekat.
  • Duduk atau berdiri pada jarak 1 hingga 2 meter daripada kedudukan rakan komunikasi.
Berhadapan dengan wajah rakan komunikasi.
  • Membentuk kontak mata.
  • Jangan menutup mulut atau wajah anda bagi membantu rakan komunikasi meneka percakapan anda, jika perlu.
Bercakap dengan jelas.
  • Bercakap dengan suara yang lantang pada kelajuan pertuturan yang perlahan.
  • Elakkan menjerit.
  • Sila ulang perkataan yang penting, jika perlu.

hearing-impairment-6-638

Perbualan Telefon:  Biarkan Ringkas

TINDAKAN

CONTOH

Bercakap dengan tona suara yang biasa
  • Jangan menjerit kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan kualiti bunyi yang terhasil daripada gagang telefon.
Mengurangkan kadar bunyi bising dalam persekitaran.
  • Elakkan penggunaan ‘hands-free’ kerana opsyen tersebut boleh menangkap bunyi bising berlebihan daripada persekitaran.
  • Menutup sumber bunyi seperti radio.
Menyertakan bahan bertulis untuk meringkaskan perbualan telefon.
  • Menghantar SMS, faks atau mel elektronik untuk meringkaskan perkara-perkara penting yang dinyatakan dalam perbualan telefon.

41caf686d08b5b0ad21b9edd75632589

Berkomunikasi Berkomunikasi dengan Golongan Istimewa yang Mempunyai Masalah Pendengaran

Proses komunikasi dengan golongan istimewa seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai kekurangan upaya deria atau anggota lain mungkin bukan tugas yang mudah.

Respon yang perlahan daripada golongan sebegini boleh menguji kesabaran anda. Tips umum boleh diamalkan semasa berkomunikasi dengan golongan ini.

Namun demikian, penerimaan masalah pendengaran dan pemberian rasa hormat terhadap golongan yang mempunyai masalah pendengaran boleh membantu mereka untuk berkomunikasi dengan yakin.

hearing-15-728

Membentuk Pandangan Realistik terhadap Peranan Alat Bantu Pendengaran

Penggunaan alat bantu pendengaran boleh membantu meningkatkan keupayaan pendengaran. Namun demikian, alat tersebut tidak boleh mengembalikan pendengaran ke tahap normal.

Walaupun alat bantu pendengaran yang terkini dilengkapi dengan teknologi pengurangan bunyi bising persekitaran, pengguna alat bantu pendengaran masih boleh mengalami masalah akibat kesan bunyi bising dari persekitaran.

Oleh yang demikian, keadaan persekitaran tanpa gangguan bunyi bising berlebihan dan efek gema  serta jarak komunikasi yang selesa sememangnya memudahkan pengguna alat bantu pendengaran untuk memahami bunyi pertuturan.

slide_23

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, perbualan yang ringkas dan penggunaan struktur ayat yang pendek boleh memudahkan proses komunikasi dengan individu yang mempunyai masalah pendengaran.

Elakkan penggunaan ayat yang kompleks serta kosa kata baru. Perhatikan jarak komunikasi serta kadar bunyi bising daripada persekitaran.

Pastikan anda menggunakan suara yang jelas dan berada berhadapan dengan rakan komunikasi yang mempunyai masalah pendengaran agar mereka dapat meneka bunyi pertuturan melalui gerak-geri mulut serta ekpresi wajah.

Akhir sekali, amalkan sifat empati dan kesabaran apabila berkomunikasi dengan golongan yang mempunyai masalah pendengaran.

Rujukan

  1. Hearing Loss Association of America. (2005). Living with hearing loss. Retrieved from http://www.hearingloss.org/content/living-hearing-loss

  2. Adult Aural/Audiologic Rehabilitation American Speech-Language Hearing Association. (1997). Adult aural/audiological rehabilitation. Retrieved from http://www.asha.org/public/hearing/Adult-Aural-Rehabilitation/

  3. Dillon,H. (2001).Counselling the new hearing aid wearer. In Dillon,H (Ed.), Hearing aids (pp332-337). New York: Boomerang Press.

Advertisement