Stasis Ekzema


- 23 Nov 16
View 526 : Today 1

Stasis eczema sering terjadi di bahagian kaki. Ia boleh melibatkan sebelah, atau kedua-dua belah kaki. Kebiasaannya pesakit menghadapi masalah peredaran darah, dan salah satu sebab utama di mana injap di dalam salur darah di bahagian kaki tidak berfungsi dengan sempurna. Ini menyebabkan darah tidak dapat kembali ke jantung dengan baik, dan menyebabkan eczema terjadi.

Advertisement

 

stasis_eczema

Siapakah berisiko menghidapi penyakit stasis eczema?

Jika anda mempunyai salah satu faktor di bawah dimana kaki sentiasa bengkak, anda berisiko tinggi untuk mendapat stasis eczema:

  • Umur 50 ke atas
  • Berat badan berlebihan/obes
  • Wanita
  • Kerap mengandung
  • Masalah peredaran darah (venous insufficiency)
  • Varicose veins (salur darah di kaki mengembang)
  • Sejarah darah beku di kaki (deep vein thrombosis)
  • Pembedahan di kawasan kaki yang melibatkan salur darah (contoh; pesakit yang menjalani rawatan pintas koronari)
  • Penyakit jantung (darah tidak dapat dipam dengan sempurna)
  • Darah tinggi
  • Ginjal tidak berfungsi
  • Individu yang sentiasa duduk atau berdiri sepanjang masa (contoh: semasa waktu bekerja)
  • Kurang bersenam

stasis-dermatitis-pictures

Bagaimana untuk mengurangkan risiko menghidapi penyakit stasis eczema?

Aktiviti senaman boleh mengurangkan risiko mendapat stasis eczema. Senaman dan pergerakan kaki dapat melancarkan peredaran darah dan mengurangkan berat badan.

Jika pekerjaan anda memerlukan anda sentiasa duduk atau berdiri sepanjang masa, cari waktu untuk melakukan aktiviti senaman ringkas setiap 2-3 jam.

Penggunaan stoking khas yang ketat (compression stocking) dapat membantu mengurangkan bengkak di kaki, dan melancarkan peredaran darah.

 

 

asd

Apakah tanda-tanda penyakit stasis eczema?

Stasis eczema sering terjadi di bahagian kaki. Pesakit akan menghadapi gejala-gejala seperti dibawah, bergantung kepada tahap penyakit.

Simptom-simptom awal:

  • Sakit kaki jika berdiri atau berjalan terlalu lama
  • Bengkak di bahagian buku lali
  • Bengkak di kaki hilang semasa tidur, tetapi kembali di siang hari
  • Varicose veins (salur darah di bahagian kaki bengkak dan kelihatan di permukaan kulit)
  • Kulit di sekitar kaki dan betis kering, gatal, sakit dan kemerah-merahan

 

Tanda-tanda stasis eczema:

Selain daripada tanda-tanda di atas, pesakit juga boleh mengalami:

  • Kulit di bahagian kaki yang terlibat menjadi keras dan menggerutu selepas jangkamasa yang panjang
  • Perubahan warna kulit di kawasan kaki yang terlibat, samaada kehitaman atau putih

Pesakit yang menghidapi penyakit stasis eczema boleh mendapat alahan kepada ubat-ubatan yang disapu. Ini dipanggil contact dermatitis.

Jika kawasan yang terlibat dengan eczema digaru, jangkitan kuman boleh berlaku. Kaki akan semakin membengkak dan merah, dan jangkitan ini dipanggil selulitis.

 

skin-stages-of-eczema

Apakah rawatan stasis eczema?

Untuk mengurangkan bengkak di kaki dan melancarkan peredaran darah, pesakit disarankan memakai stokin khas yang ketat (compression stocking) di waktu siang.

Masalah bengkak kaki juga dapat dikurangkan dengan meletakkan kaki ke atas sewaktu sedang duduk atau tidur (paras kaki lebih tinggi dari kedudukan jantung).

Eczema di kaki juga dapat dirawat dengan menggunakan krim pelembab dan krim steroid. Adalah penting untuk menggunakan krim pelembab yang tidak mengandungi pewangi atau pengawet yang boleh menyebabkan eczema semakin teruk (contact dermatitis) kepada mereka yang berisiko.

Jika kulit terlampau gatal, ubat anti-histamine boleh diambil untuk mengurangkan tahap kegatalan. Pesakit dinasihatkan supaya tidak menggaru kawasan yang terlibat untuk mengelakkan jangkitan kuman.

 

symptoms-of-eczema

Jika terdapat tanda-tanda jangkitan kuman (selulitis), seperti kaki semakin membengkak dan semakin merah, ubat antibiotik akan diberikan oleh doktor.

Luka (ulcer) perlu dirawat dengan teliti, menggunakan alat-alat pencuci luka yang sesuai.

Bagi pesakit yang menghidapi ‘varicose vein’ (salur darah di bahagian kaki bengkak dan kelihatan di permukaan kulit), doktor akan menyarankan supaya pembedahan untuk membuang salur darah tersebut dilakukan. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala-gejala stasis eczema.

 

 

psoriasis-istock_000012107746_xxxlarge

Apakah yang boleh dilakukan oleh pesakit untuk mengurangkan gejala-gejala penyakit stasis eczema?

  • Meletakkan kaki di paras yang lebih tinggi dari jantung
    • Disarankan selama 15 minit, setiap 2 jam
  • Jika pekerjaan anda memerlukan banyak duduk atau berdiri, sentiasa cari masa untuk berjalan selama lebih kurang 10 minit setiap 2 jam
  • Banyakkan bersenam
  • Pakaian yang sesuai – longgar dan diperbuat daripada kain kapas
    • Baju atau seluar yang ketat boleh menyukarkan peredaran darah
  • Memakai stoking khas yang ketat (compression stocking) sepanjang hari
    • Ini boleh membantu melancarkan peredaran darah
    • Stokin boleh dibuka semasa pesakit tidur
  • Menggunakan krim-krim seperti yang disarankan oleh doktor
  • Pastikan kulit tidak kering dengan menyapu krim pelembab
  • Jangan garu bahagian kulit yang menghidapi eczema – ini boleh menyebabkan kulit luka dan jangkitan kuman berlaku

References

  1. Rook’s Textbook of Dermatology (8th Edition). Chapter 23.1
  2. Fitzpatric’s Dermatology in General Medicine (8th Edition)
  3. Stasis eczema. www.aad.org

 

Advertisement