Hemofilia (Bahagian 2)


- 30 Nov 16
View 128 : Today 1

Artikel ini merupakan sambungan daripada : Hemofilia (Bahagian 1)

Advertisement

Bagaimana mengelakkan pendarahan?

  • Pendidikan berterusan kepada ibu bapa/penjaga pesakit mengenai hemofilia dan cara menjaga kanak-kanak semasa kecil.
  • Elakkan daripada permainan dan aktiviti yang lasak dan boleh menyebabkan kecederaan (high contact sports) seperti bola sepak, rugbi, tinju dan sebagainya.
  • Dapatkan rawatan faktor sebelum mencabut gigi/pembedahan.
  • Elakkan daripada suntikan dalam otot (intramuscular) semasa vaksinasi.
  • Dapatkan rawatan secepat mungkin sekiranya berlaku sebarang pendarahan.
  • Menjaga anak-anak yang masih kecil dengan rapi agar tidak jatuh atau mengalami kecederaan semasa bermain di dalam atau di luar rumah.
  • Memaklumkan kepada pihak sekolah/institusi tentang masalah hemofilia yang dihidapi anak agar diberi pengawasan yang rapi.

 

royal-disease

Bagaimana penyakit Hemofilia dirawat?

  1. Rawat pendarahan dengan segera

Rawatan yang cepat dan mencukupi boleh mengelakkan komplikasi seperti kecacatan kekal pada anggota badan dengan menggunakan konsep R.I.C.E.

R – Rest (Rehat) : Rehatkan sendi atau anggota yang tercedera.
I – Ice (Ais) : Letakkan ais pada tempat/bahagian anggota yang tercedera. Alaskan ais dengan kain sebelum meletakkan pada tempat yang tercedera selama 10 – 20 minit.
C – Compress (Tekan) : Tekan tempat pendarahan (apply pressure) atau balut tempat luka/sendi yang terlibat. Jangan ikat sendi terlalu ketat.
E – Elevation (Elevasi) : Naikkan sendi atau anggota yang terlibat lebih tinggi daripada paras dada.

Buat masa ini masih belum ada rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit hemofilia tetapi dengan wujudnya rawatan yang terkini penghidap hemofilia juga dapat hidup secara normal seperti orang lain.

Tanpa rawatan pesakit hemofilia jenis serius (severe) berkemungkinan mendapat kecacatan fizikal dan mengalami kesukaran untuk berjalan atau melakukan aktiviti yang ringan.

 

blood

Bilakah rawatan diperlukan?

Rawatan diberi untuk:

  • Pendarahan di dalam sendi.
  • Pendarahan di dalam otot terutamanya otot tangan dan kaki.
  • Pendarahan di dalam leher, mulut, lidah, muka atau mata.
  • Kecederaan di kepala dan sakit kepala yang keterlaluan.
  • Pendarahan yang banyak atau berpanjangan di mana-mana bahagian.
  • Sakit yang kuat atau bengkak yang melibatkan mana-mana anggota.
  • Semua luka yang perlu dijahit.
  • Berikutan kemalangan yang berkemungkinan akan menyebabkan berlakunya pendarahan.

 

Rawatan diberi sebelum:

  • Pembedahan atau sebelum prosedur pergigian.

Ubatan yang diberi

Pesakit yang didiagnos menghidap penyakit ini, perlu menjalani rawatan sepanjang hayat mereka. Kaedah yang paling sesuai dan berkesan dalam menangani masalah hemofilia ini ialah dengan rawatan penggantian faktor pembeku darah.

Kini rawatan untuk hemofilia lebih efektif dan berkualiti. Faktor konsentrat akan disuntik ke dalam saluran darah menggunakan jarum.

Pesakit akan menggunakan Faktor VIII untuk Hemofilia A dan Faktor IX untuk Hemofilia B. Pendarahan akan berhenti apabila tahap faktor mencapai paras yang mencukupi.

Sehubungan itu pesakit diwajibkan datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecuali mereka yang telah mendapat latihan untuk mengendalikan suntikan itu sendiri.

 

alt


Komplikasi Pesakit

  • Pendarahan spontan pada sendi-sendi.
  • Keradangan pada lapisan tisu terutamanya pada sendi di mana jika tidak dirawat boleh menyebabkan kecacatan kekal.
  • Kelemahan pada otot (muscle atrophy) akibat penggunaan otot yang tidak optima kerana kesakitan.
  • Pendarahan dalam kepala di mana jika tidak dirawat segera dan secukupnya boleh menyebabkan kecacatan mental dan mungkin juga kecacatan fizikal.
  • Pendarahan dalam otot-otot penting di bahagian paha dan pangkal pinggul. Risiko untuk pendarahan berulangan di bahagian-bahagian ini adalah tinggi.

shot-that-help-blood01

Situasi Di Mana Rawatan Tidak Diperlukan

  • Lebam-lebam kecil
    Adalah biasa bagi kanak-kanak hemofilia tetapi ini tidak membahayakan. Walau bagaimanapun lebam di kepala perlu dianggap serius dan dirujuk kepada doktor.
  • Luka kecil atau tercalar
    Pendarahan adalah sama seperti orang biasa. Biasanya ini tidak membahayakan.
  • Hidung Berdarah
    Biasanya berhenti selepas memicit hidung selama 5 minit. Jika pendarahan terlalu banyak dan tidak berhenti, rawatan diperlukan.

haemophilia_sports_factoid

Sukan dan Hemofilia

Pesakit hemofilia digalakkan bersukan untuk menguatkan otot. Jenis sukan yang dipilih bergantung kepada fizikal dan kebolehan seseorang.

Aktiviti-aktiviti sukan yang berisiko rendah seperti berenang, berbasikal, berjalan kaki, bermain pingpong, bowling, snooker, golf dan tennis adalah digalakkan.

Sukan yang berisiko tinggi seperti bola sepak, ragbi, tinju, meluncur, bola tampar dan bola keranjang tidak digalakkan.

 

hemophilia-by-suhasis-mondal-58-638

NOTA PENTING UNTUK PENGHIDAP HEMOFILIA DAN AHLI KELUARGA

  • Rawat Pendarahan Dengan Segera
  • Apabila pendarahan dirawat dengan segera, kesakitan akan berkurangan dan kecederaan kepada sendi, otot dan organ juga kurang berlaku.
  • Kekal sihat (Stay fit)
  • Otot yang kuat membantu melindungi masalah sendi dan pendarahan spontan.
  • Ubat-ubat yang tidak boleh diambil

Aspirin (ASA – Acetylsalicylic Acid) dan ubat yang mengandungi ASA yang akan menyebabkan berlakunya lebih banyak pendarahan. Sesetengah ubat boleh mengganggu pembekuan darah. Dapatkan nasihat daripada doktor anda tentang ubat yang selamat digunakan. Berikut adalah ubat-ubatan yang biasanya selamat digunakan selepas mendapat nasihat daripada doktor iaitu: Paracetamol (Panadol), Tramadol (Tramal), Celecoxib (Celebrex), Dihydrocodeine.

  • Selalu berjumpa doktor atau jururawat di Pusat Rawatan Hemofilia
    Kakitangan di Pusat Rawatan Hemofilia akan membantu dan memberi nasihat tentang perawatan hemofilia.
  • Elakkan daripada suntikan dalam otot (Intramuscular Injection)
    Suntikan ke dalam otot boleh menyebabkan pendarahan. Namun begitu suntikan vaksinasi bagi pesakit hemofilia adalah perlu. Oleh itu, suntikan secara subcutaneous adalah selamat untuk pesakit hemofilia.
  • Penjagaan gigi

Ibu bapa dan pesakit hemofilia perlu menitikberatkan penjagaan kesihatan mulut. Panduan dan nasihat dari doktor gigi perlu diikuti bagi mengelakkan kerosakan gigi. Ini kerana sebarang suntikan untuk prosedur atau pembedahan gigi akan menyebabkan pendarahan.

  • Sentiasa memakai “Medic Alert” dan membawa Kad Hemofilia.
  • Mempelajari cara-cara mengatasi masalah-masalah pendarahan biasa (basic first aid).
  • Anda dan keluarga anda perlu pelajari dan faham tentang penyakit anda.
Advertisement