Demam Kepialu, Adakah Ia Merbahaya

Demam kepialu atau dikenali juga sebagai tifoid merupakan jangkitan bawaan makanan disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi  (S Typhi).

Seseorang yang dijangkiti demam kepialu, membawa bakteria ini di dalam darah dan usus. Mereka boleh mencemari makanan dan minuman melalui penyediaannya serta boleh menjangkiti orang lain.

Jenis-jenis makanan yang biasa dikaitkan

Makanan yang tidak dibersihkan dengan sempurna.

Makanan bercengkerang (Etok, kerang, kepah, kupang, lala dan tiram), sayuran mentah (ulam dan salad), cendol, susu mentah.

Tanda-tanda dan gejala

Kebiasaannya gejala akan muncul selepas 1 ke 2 minggu, tetapi ia juga boleh berlaku dari 3 tiga hari hingga 3 bulan selepas pendedahan.

Gejala:

  • Demam berterusan dan berpanjangan, suhu melebihi 40˚c.
  • Cirit birit, sembelit, sakit perut, sakit kepala
  • Sakit badan / lemah / letih lesu
  • Kurang selera makan, batuk tanpa kahak
  • Denyutan jantung perlahan ( bradycardia )
  • Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan)
  • Bengkak limpa dan hati

Bagaimanakah penyakit ini merebak

Melalui makanan dan minuman yang tercemar oleh najis manusia yang mengandungi bakteria salmonella typhi.

Melalui makanan dan minuman yang disediakan oleh pembawa bakteria (typhoid carrier).

Komplikasi Penyakit

Menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal dan secukupnya.

Seorang yang tiada tanda / simptom atau sembuh daripada demam kepialu, boleh menjadi pembawa bakteria kepialu (Pembawa Typhoid).

Rawatan

Perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan awal. Rawatan dengan antibiotik seperti chloramphenicol, ampicilin, ciprofloxacin biasanya diberikan.

Pencegahan

  • Basuh tangan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.
  • Hanya makan makanan yang telah masak sepenuhnya.
  • Elakkan makanan dan minuman berisiko seperti sayuran mentah / ulam, buahan, makanan dari penjaja, ais semasa berlakunya wabak.
  • Minum air yang dimasak atau air yang dibotolkan.
  • Elakkan ais kecuali ais yang dibuat daripada air yang  dimasak atau air yang dibotolkan.
  • Mendapatkan pelalian vaksin demam kepialu.
  • Kekalkan kebersihan dan sistem pembuangan najis yang sesuai terutama selepas banjir atau bencana alam.
  • Hanya gunakan air bersih untuk penyediaan makanan.

Mengendalikan makanan mengikut tatacara pengendalian makanan selamat dengan memastikan:

  • Premis makanan bersih.
  • Telah menghadiri kursus pengendalian makanan.
  • Telah mendapat suntikan vaksin tifoid.
  • Sentiasa memakai apron yang bersih serta penutup kepala dan kasut yang bertutup semasa mengendalikan makanan.
  • Bahan mentah untuk masakan mestilah segar.
  • Proses nyahbeku daging atau ayam perlu sempurna.
  • Mencuci makanan dengan menggunakan air terawat yang mengalir.
  • Masak menggunakan air terawat.
  • Makanan perlu dimasak dengan sempurna sehingga suhu didih.
  • Makanan yang telah dimasak diasingkan daripada yang mentah.
  • Makanan yang telah dimasak hendaklah disimpan dalam bekas bertutup untuk mengelakkan urungan lalat.

Kementerian Kesihatan Malaysia