Memupuk Kesihatan Mental dalam Kalangan Remaja


- 25 Dec 16
View 218 : Today 1
Team of construction worker with equipment. Isolated

Untuk memahami kesihatan mental dalam kalangan remaja, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu memahami aspek-aspek penting dalam perkembangan kanak-kanak dan bagaimana hal ini berhubung kait atau mempengaruhi kesihatan mental. Ketahui apa yang anda boleh lakukan untuk menggalakkan kesihatan mental yang optimum pada anak anda dalam setiap bahagian perkembangan.

Advertisement

 

Perkembangan Fizikal

Peringkat akil baligh, melibatkan pertumbuhan tulang yang cepat yang biasanya bermula pada usia kira-kira 10 hingga 12 tahun pada kanak-kanak perempuan dan 12 hingga 14 tahun pada kanak-kanak lelaki.

Ibubapa harus berwaspada terhadap remaja yang menunjukkan tanda-tanda fizikal matang lebih awal dan lewat dari kebiasaan.

Perlu diingat bahawa ini adalah masa di mana penampilan fizikal luaran (seperti tinggi, kurus, otot, gaya rambut dan lain-lain) amat bermakna bagi anak anda – mereka mahu “menyesuaikan diri” atau menjadi “sebahagian daripada kumpulan”.

peringkat-perubahan-fisiologikal-dalam-kalangan-remaja

Peranan ibu bapa:

  • Bantu mereka membina imej badan yang sihat secara menyeluruh dan tidak memberi fokus terlalu banyak pada penampilan luaran sahaja.
  • Luangkan masa untuk mendengar serta bersifat lebih empati terhadap masalah mereka.
  • Memberi sokongan berbanding kritikan atau bersikap menilai.
  • Beri mereka makanan yang betul dan seimbang dan galakkan aktiviti fizikal yang kerap.

Perkembangan Kognitif

Remaja, pada masa ini dapat:

  • menganalisis situasi secara logik dari segi sebab dan akibat
  • memahami situasi hipotetikal seperti andaian.
  • menggunakan simbol seperti dalam metafora atau peribahasa
  • membentuk nilai-nilai, moral dan tingkah laku beretika

Pemikiran pada peringkat tinggi ini membolehkan mereka berfikir mengenai masa hadapan, menilai pilihan dan menetapkan matlamat peribadi. Beberapa kelakuan biasa yang anda akan lihat seiring peningkatan baharu fungsi kognitif remaja:

  • Kecenderungan untuk berhujah tentang sesuatu perkara atau idea
  • Mudah untuk membuat kesimpulan atau andaian awal
  • Mentaliti pemusatan kendiri, “Saya (selalu) betul, kamu (selalu) salah”.
  • Mencari kesalahan dan mencabar kuasa orang dewasa.
  • Menjadi lebih dramatik, keterlaluan dari segi pendapat atau tingkah laku.

Peranan ibu bapa:

  • Berikan remaja peluang untuk belajar dengan cara yang menekankan pelbagai jenis kebolehan (seperti logik, lisan, visual, hubungan sesama manusia dan lain-lain) bagi meningkatkan peluang mereka untuk berjaya.
  • Gunakan alasan dan pujukan, jelaskan peraturan, bincangkan isu-isu, dan dengar dengan berhemah ketika berurusan dengan mereka.
  • Memupuk rasa kehidupan yang lebih bertujuan dan bermakna, galakkan penyertaan sosial – menjadi sukarelawan adalah cara yang baik untuk mencapai hasil jangka panjang yang positif.
  • Menyampaikan komen-komen positif atau kritikan membina atau bersikap lebih penyayang dan menghargai juga boleh memberi kesan emosi dan psikologi yang ketara.

Kemahiran penyelesaian masalah yang ideal untuk diajar kepada remaja

kemahiran-penyelesaian-masalah-yang-ideal-untuk-diajar-kepada-remaja

Perkembangan Emosi

Perkembangan emosi ketika remaja melibatkan pewujudan identiti yang realistik dan koheren dalam konteks berkaitan dengan orang lain. Remaja juga dalam proses belajar untuk menghadapi tekanan dan menguruskan emosi. Selain itu, kecerdasan emosi melibatkan kesedaran diri, tetapi yang paling penting adalah kemahiran hubungan adalah keupayaan untuk bergaul dengan baik bersama orang lain dan untuk mencari kawan.

Remaja yang mengalami masalah perkembangan emosi biasanya mempunyai nilai kendiri yang rendah dan menunjukkan tanda-tanda:

  • Kemurungan.
  • Kekurangan tenaga.
  • Tidak menyukai penampilan diri sendiri dan menolak pujian
  • Berasa tidak selamat atau serba kekurangan
  • Mempunyai jangkaan kendiri yang tidak realistik
  • Terlalu risaukan masa hadapan
  • Menjadi terlalu pemalu dan jarang meluahkan pendapat mereka sendiri
  • Pengasingan sosial dan menurut secara pasif dalam kebanyakan situasi

Peranan ibu bapa:

  • Sekali lagi, bincangkan isu-isu untuk membantu mengembangkan kemahirannya berfikir secara rasional dan reflektif melalui pertimbangan moral yang baik.
  • Menghormati apa yang mereka katakan; ini akan memberi anda perspektif. Jangan merendahrendahkan masalah mereka.
  • Ingatkan mereka bahawa kasih saying anda tidak berbelah bahagi tidak kira apa jua isu yang timbul. Selalunya, ketika menghadapi tekanan emosi, remaja akan merasa bersendirian dan tanpa sokongan.
  • Bantu mereka memahami empati terhadap orang lain, mengenali dan mengurus emosi mereka dengan sewajarnya, menyelesaikan konflik secara membina dan membentuk semangat kerjasama. Jika boleh, gunakan pengalaman anda sendiri sebagai contoh.

Perkembangan Sosial

Perkembangan sosial dalam kalangan remaja selalunya berkisarkan rakan-rakan mereka tetapi termasuk juga keluarga, sekolah, tempat kerja dan masyarakat. Interaksi harian sama ada secara bersemuka atau elektronik antara anak anda dan orang lain membantu menambah pengalaman sosial mereka. Mereka belajar bagaimana untuk berhadapan dan bertindak balas kepada orang atau sekumpulan orang tertentu dengan menggunakan pengalaman-pengalaman ini dengan sewajarnya.

Rakan sebaya adalah pengaruh yang kuat semasa zaman remaja sebagai sumber populariti, status, prestij dan penerimaan. Justeru, rasa diterima mempunyai implikasi yang penting bagi kedua-dua penyesuaian semasa remaja dan ketika dewasa.

Peranan ibu bapa:

  • Menyediakan garis panduan dan had yang tegas, mempunyai jangkaan perkembangan yang bersesuaian dan mendorong remaja untuk membentuk kepercayaannya sendiri.
  • Awasi pilihan rakan atau kumpulan-kumpulan sosial yang mereka sertai. Interaksi secara atas talian memerlukan perhatian khusus, tetapi jangan keterlaluan. Sebaliknya, ajar mereka bagaimana untuk menangani isu-isu negatif (seperti gangguan seksual dalam talian, buli dalam talian dan lain-lain) sekiranya berlaku.
  • Menggalakkan perkembangan set kemahiran sosial melalui penglibatan dengan masyarakat, program selepas waktu sekolah, penglibatan dalam aktiviti-aktiviti keagamaan dan lain-lain.
  • Jangan cemas. Konflik atau pertengkaran kecil adalah perkara biasa dan sesuatu yang perlu untuk lebih berdikari dan belajar cara-cara baharu untuk tetap berhubungan dengan ibu bapa.

Perkembangan Tingkah Laku

Pengambilan risiko merupakan sebahagian penting dalam perkembangan tingkah laku. Pada fasa remaja, eksplorasi tingkah laku penting dan normal yang membantu mereka:

  • membentuk identiti mereka
  • mencuba kemahiran membuat keputusan baru mereka
  • membentuk penilaian praktikal bagi diri mereka sendiri dan orang lain

Remaja perlukan ruang untuk bereksperimen dan mengalami sendiri hasil keputusan mereka dalam pelbagai jenis situasi. Beberapa tingkah laku berisiko yang sering diambil pada masa remaja:

  • Merokok
  • Penyalahgunaan bahan terlarang
  • Ponteng sekolah
  • Memandu secara berbahaya
  • Eksperimen seksual
  • Pengambilan alkohol

Walau bagaimanapun, pengambilan risiko tidak harus terlalu dramatik. Aktiviti yang menyebabkan mereka keluar dari zon selesa sudah boleh dianggap sebagai mengambil risiko dan dapat memenuhi keperluan ramai remaja (contohnya menyertai drama sekolah, menyertai sukan berisiko, pergi mendaki gunung dan lain-lain) untuk mengambil risiko jika mereka digalakkan untuk berbuat demikian.

Peranan ibu bapa:

  • Menyediakan panduan dalam membuat keputusan dan mendorong remaja untuk menyalurkan aspek perkembangan tenaga positif ini dalam mengejar kegiatan yang kurang berbahaya dan lebih konstruktif.
  • Jangan terlalu bersikap melindungi, berikan mereka kebebasan dan peluang untuk meneroka dan mencari sesuatu yang baharu.
  • Ibu bapa harus dapat membincangkan isu-isu sensitif tertentu dengan anak remaja mereka seperti seks, dadah dan alkohol, dan kebimbangan keselamatan yang lain.

Harus diketahui bahawa semua unsur-unsur perkembangan kanak-kanak berhubung kait dan mempengaruhi satu sama lain. Oleh itu, kelewatan atau ketidakseimbangan dalam memberi didikan terhadap mana-mana unsur (atau memberi fokus kepada hanya satu unsur) boleh mengakibatkan penurunan “daya ketahanan” mental, seterusnya, menjadikan remaja lebih cenderung dipengaruhi secara negatif oleh tekanan mental.

Advertisement