Apa Ibu Bapa Perlu Tahu Berkenaan Demam Kuning / Jaundice? (Bahagian 1)


- 26 Dec 16
View 262 : Today 1

Bayi kuning adalah perkara biasa yang sering berlaku kepada bayi yang baru lahir. Ianya berpunca daripada pelbagai faktor. Kondisi ini umumnya tidak berbahaya dan biasanya dapat pulih dengan sendirinya.

Advertisement

Namun, kekuningan pada bayi yang melebihi paras normal boleh membawa stress kepada pasangan yang baru menimang cahaya mata. Sudahlah baru lepas bertarung nyawa melahirkan anak, kemudian diuji pula dengan anak kuning. Terpaksa si ayah dan kadang kala si ibu berulang alik ke klinik kesihatan memeriksa tahap kuning.

Lebih parah, bila si kecil terpaksa pula masuk ke hospital untuk rawatan lanjut bersama ibunya. Mungkin dengan memahami penyakit kuning ini dapat membantu pasangan bersedia mental dan fizikal menghadapi ujian tersebut.


APA ITU BAYI KUNING DAN ADAKAH SEMUA BAYI AKAN MENDAPAT KUNING SELEPAS LAHIR?

Jaundis adalah warna kekuningan yang kelihatan pada kulit yang disebabkan oleh peningkatan kadar bilirubin di dalam darah. Jaundis pada bayi adalah jaundis yang berlaku dalam masa sebulan selepas bayi lahir.

50-60% bayi yang dilahirkan cukup bulan akan menghidapi jaundis pada hari kedua atau ketiga selepas kelahiran. Ianya akan hilang selepas seminggu.

Manakala, 80 peratus bayi yang tidak cukup bulan atau bayi pra-matang akan menghidapi jaundis di antara lima hingga tujuh hari selepas kelahiran. Biasanya ia akan hilang dua bulan selepas kelahiran.

BAGAIMANA JAUNDIS BOLEH BERLAKU?

Jaundis berlaku apabila Bayi yang baru lahir cenderung mempunyai tahap bilirubin yang lebih tinggi.

Ini kerana mereka mempunyai sel darah merah tambahan untuk mengangkut oksigen dan didapati kadang kala ginjal mereka yang masih baru tidak boleh memproses bilirubin yang berlebihan itu.

Apabila tahap bilirubin meningkat lebih daripada normal, kekuningan jaundis akan bergerak dari kepala ke bawah, ke tengkuk, dada dan dalam kes teruk, ia akan sampai ke jari-jari kaki.

Jaundis seperti ini yang dikenali sebagai jaundis fisiologi. Ianya tidak menyebabkan kemudaratan kepada bayi yang sihat.

Dalam keadaan yang sangat jarang berlaku, bayi yang menghidapi jaundis boleh mengalami kerosakan sistem saraf pabila tahap bilirubin mereka berada pada tahap yang terlalu tinggi / sangat merbahaya. Ianya dipanggil ‘KERNICTERUS’.

 

 

RISIKO UNTUK BERLAKUNYA JAUNDIS TAHAP BAHAYA

  • BAYI PRAMATANG ATAU BERAT BADAN YANG RENDAH 

Jaundis paling biasa berlaku bagi bayi yang lahir sebelum 37 minggu kehamilan.

Manakala bagi bayi yang lahir pada 38-39 minggu mempunyai risiko kuning lebih tinggi daripada bayi yang lahir lebih 40 minggu.

Bagi bayi yang berat badan yang sangat rendah (kurang daripada 2kg), risiko kuning juga amat-amat tinggi.

 

  • IBU BERDARAH JENIS ‘O’ ATAU RHESUS NEGATIF 

Bayi yang rhesusnya positif dengan ibunya yang berdarah rhesus negatif serta si ibu berdarah ‘O’ manakala anaknya berdarah A atau B mempunyai risiko kuning yang tinggi.

Perbezaan jenis darah ini menyebabkan sistem pertahanan badan bertindak balas apabila darah ibu dan anak bercampur.

Percampuran darah kedua-duanya boleh berlaku semasa kelahiran atau keguguran. Antibodi ibu kemudian merentas tali pusat ke dalam salur darah bayi lalu merosakkan sel darah merah bayi. Kerosakan sel darah merah ini meningkatkan tahap bilirubin lalu menyebab jaundis.

 

  • BAYI YANG KEKURANGAN ENZIM G6PD 

G6PD deficiency atau nama panjannya kekurangan enzim Glucose-6-phosphate dehydrogenase adalah penyakit genetik darah yang boleh diwarisi daripada satu generasi ke generasi yang lain.

Pesakit akan mendapat jaundis apabila terdedah kepada beberapa faktor perangsan seperti kacang parang, sebahagian ubat dan tumbuhan

 

  • JANGKITAN KUMAN 

Jangkitan kuman pada bayi yang baru lahir boleh menyebabkan berlakunya jaundis. Rawatan terbaik adalah dengan antibiotik pada kadar segera.

 

  • KEGAGALAN PENYUSUAN SUSU IBU SELEPAS BERSALIN 

Sokongan kepada penyusuan ibu amat penting agar susu ibu dapat diberi dengan secukupnya.

 

  • CEPHALOHEMATOMA ATAU BENGKAK DI KEPALA 

Bengkak di kepala mungkin berpunca jika si ibu meneran terlalu awal atau akibat proses vacum semasa melahirkan bayi.

 

  • BAYI KEPADA IBU YANG MENGHIDAP KENCING MANIS 

Bayi kepada ibu yang menghidap kencing manis kebiasaannya berat badannya boleh mencecah lebih 4kg dan berisiko tinggi mendapat pelbagai komplikasi akibat kencing manis ibunya.

 

Sambungan : Apa Ibu Bapa Perlu Tahu Berkenaan Demam Kuning / Jaundice? (Bahagian 2)

 

Advertisement