Durian Belanda Merawat Kanser Seribu Kali Lebih Baik Dari Kemoterapi?


- 29 Dec 16
View 506 : Today 1

Graviola (Annona muricata), ataupun lebih dikenali sebagai durian belanda, sirsak, guanabana atau soursop merupakan antara buah tempatan yang kini mula mendapat perhatian di kalangan masyarakat ini.

Advertisement

Graviola semakin mendapat tempat dan permintaan setempat bukan hanya kerana rasanya yang enak dan menyegarkan untuk dimakan begitu saja dan dibuat jus, ianya juga dikatakan mempunyai pelbagai manfaat yang tinggi untuk kesihatan. Daunnya juga dijadikan teh untuk ubatan secara tradisi.

Graviola dan kanser

Banyak kajian in vitro (pada sel-sel dalam makmal) dan in vivo (pada binatang makmal seperti mencit dan tikus) menunjukkan ekstrak-ekstrak dari buah, daun dan bahagian pokok adalah berpotensi untuk mematikan sel-sel dan tisu kanser tersebut. Kajian ini telah pun dilakukan sejak puluhan tahun yang lepas.

Beberapa kompaun poten ini telah dipencilkan dan dikaji ciri-cirinya dengan terperinci. Antara kompaun-kompaun yang terdapat dalam buah tersebut adalah kompaun dari kelas acetogenins contohnya annonacin, annonin, bullatacin, uvericin dan isoquinoline seperti annonamine.

Namun, mengapakah tiada kompaun-kompaun aktif ini muncul sebagai salah satu dalam regimen rawatan kanser?

Ini boleh mendorong kepada pelbagai teori konspirasi bahawa kaedah rawatan yang berasal dari tumbuhan ini dirahsiakan kerana boleh menutup nilai ringgit yang diperoleh dari rawatan sedia ada (rawatan baru lebih mahal dari rawatan sedia ada yang telah tamat tempoh paten).

Ada juga yang menyatakan kompaun tumbuhan tidak boleh dipaten dan tidak akan menyumbang tenggorok ‘big pharma’ yang sentiasa memerlukan wang ringgit (banyak kompaun dari tumbuhan yang telah disintesis dan dipaten).

Sumber rawatan tradisional kita ini tiada nilainya bagi barat (tumbuhan ini bukan native Asia, dibawa dari Afrika, Amerika Selatan dan Carribean). Andaian-andaian ini adalah tidak benar dan tidak berasas.

Graviola dan bahaya neurotoksisiti.

Acetogenins dari buah dan daun serta bahagian-bahagian graviola seperti annonacin mempunyai nilai sitotoksik yang bagus. Hanya beberapa nanomolar pada kepekatannya mampu mematikan sel.

Ini disebabkan sebahagian besar acetogenins dan isoquinolins ini berkebolehan untuk merencat rantaian respiratori kompleks I pada mitokondria. Ini akan menghalang keupayaan sel untuk menghasilkan tenaga dari respirasi sekaligus memaksa sel tersebut untuk mati.

Acetogenins dan isoquinolins ini juga mampu merentas otak dan mengganggu (merosakkan) neuron-neuron (able to cross blood brain barrier) kerana sifatnya yang lipofilik.

Kompaun-kompaun ini juga mampu menambat pada reseptor serotonin dan telah dikaji untuk menghasilkan kesan antidepresi. Masalahnya, kesan kerosakan neuron dopaminergik (neuron penghasil neuropemancar dopamin) adalah nyata.

Segala kesan ini kemudiannya dilihat dengan kepekatan kompaun tersebut pada aras nano- ke mikromolar (kepekatan yang sangat rendah). Pengesanan masalah ini bukan sahaja melalui ujian tabung uji dan haiwan di makmal.

Ada banyak kajian tentang korelasi insiden atipikal penyakit Parkinson dan Alzheimer dikesan di kelompok komuniti yang tinggi pengambilan graviola dalam diet mereka. Kajian lanjut juga menunjukkan pengurangan ketara neuron-neuron penghasil dopamin dalam otak mereka.

Menariknya, kaedah pengambilan graviola ini meliputi pengambilan buah secara mentah mahupun teh daun graviola dengan kaedah rendaman dalam air panas.

Adakah produk berasaskan graviola selamat?

Berhati-hatilah apabila anda dihidangkan dengan pelbagai produk jualan yang berasaskan graviola ini. Walaupun kebanyakannya diberitakan mempunyai kelebihan-kelebihan yang menarik, malang sekali kelebihan itu sebenarnya hanya bakal mengakibatkan kesan sampingan yang teruk secara senyap (mustahil untuk seseorang itu perasan bahawa neuron otaknya berkurangan, kan?).

Sesekali untuk anda meminum jus graviola atau memakannya sebagai kudapan tidak mengapa. Tetapi mengambilnya secara berkala setiap hari atau setiap minggu dikhuatiri boleh membahayakan anda!

Advertisement