Kenali Kapsul Suplemen Anda


- 30 Dec 16
View 497 : Today 1

Pengenalan

Advertisement

Masyarakat moden kini telah lebih terdidik untuk mendapatkan sumber makanan berkhasiat bagi kekal sihat, tinggi daya tahan penyakit dan cantik. Oleh itu, jalan mudah untuk mendapatkan zat makanan yang mencukupi adalah dengan mengambil suplemen atau makanan kesihatan.

Suplemen adalah produk yang bertujuan untuk menambah diet yang diambil melalui mulut dalam bentuk seperti pil, kapsul, tablet, cecair atau serbuk.

Dalam artikel ini, ia akan lebih memfokuskan kepada kapsul.

 

Apa itu kapsul?

Kapsul ialah sejenis bentuk sediaan ubat yang bersalut lembut dan berbentuk bujur. Kapsul dikategorikan sebagai satu lapisan pertama pembungkusan dos ubat.

Kapsul biasanya digunakan untuk pelepasan pantas kerana :

  • kapsul dapat cair dan terurai bentuknya dalam badan dengan lebih cepat
  • membebaskan kandungan bahan aktif yang terkandung di dalam kapsul dengan lebih cepat berbanding tablet atau kaplet.

 

Fungsi Kapsul

Kebanyakan ubat biasanya mempunyai rasa kurang sedap, pahit dan bau yang tidak menyelerakan. Oleh itu, salah satu cara alternatif untuk mengatasinya adalah dengan penghasilan ubat-ubatan dalam bentuk kapsul. Untuk menjadikan ubat-ubatan itu lebih menarik untuk dimakan, kapsul ditambah dengan pewarna yang menarik dan perasa yang lebih manis bagi menutup rasa ubat yang kurang sedap.

 

Tujuan Pengkapsulan

  • Menutup bau dan rasa kandungan bahan aktif.
  • Memberi perlindungan terhadap isi kapsul daripada kelembapan, cahaya dan udara bagi membolehkan ubat tahan lama.
  • Untuk menarik minat pengguna untuk mengambil suplemen dengan lebih mudah
    mengawal ubat dalam dos-dos tertentu.
  • Mengawal masa pelepasan sesuatu ubat dalam badan.
  • Melindungi bahan aktif dalam kapsul daripada enzim, sinaran ultraviolet (UV), cahaya lampu dan mengelakkan bahan aktif yang berasaskan minyak daripada berbau tengik.
  • Meningkatkan kestabilan suplemen.
  • Mengurangkan penghasilan radikal bebas

 

 

 

Kategori kapsul

 

Kapsul gelatin kerasGambar 3 : Kapsul gelatin keras

 

  • Diperbuat daripada gelatin.
  • Kegunaannya adalah untuk mengisi bahan kandungan dalam bentuk serbuk.


Kapsul gelatin lembutGambar 4 : Kapsul gelatin lembut

  • Diperbuat daripada gelatin.
  • Kegunaannya adalah untuk mengisi bahan kandungan dalam bentuk cecair.
 

Kapsul sayuran


Gambar 5 : Kapsul sayuran

  • Kapsul sayuran merupakan alternatif selain daripada kapsul gelatin.
  • Dihasilkan daripada kanji (hypromellose dan pullulan), gula, jagung, soya, gandum, yis, produk tenusu, pewarna dan pengawet.
  • Bahan asas penghasilan kapsul sayuran adalah daripada selulosa iaitu sejenis serat tumbuhan. Oleh itu, kapsul ini lebih mudah larut air dan stabil pada julat suhu yang besar.
  • Contoh : kapsul HPMC.

 

Kenapa Gelatin Dipilih Sebagai Bahan Utama?

Gelatin dikenal pasti sebagai penstabil dan pengemulsi terbaik terutama sekali bagi jenis vitamin yang larut lemak.

Walau bagaimanapun, gelatin diperbuat daripada bahagian haiwan (kulit, tulang dan sendi-sendinya) seperti khinzir, lembu dan kerbau yang mana gelatin adalah hasilan daripada kolagen.

 

Isu-Isu Berkaitan HALAL

Apakah sumber gelatin kapsul yang anda makan?

Pengguna-pengguna Islam sering disogokkan dengan isu-isu panas berkaitan ubat-ubatan halal terutamanya sumber kapsul gelatin yang datangnya daripada sumber porcine (khinzir), tulang-temulang dan kulit haiwan tidak kira sama ada di media massa ataupun penulisan di internet. Bukan sekadar penduduk Islam yang bimbang akan situasi ini, bahkan turut memberi kesan kepada orang-orang Yahudi, Vegetarian dan Buddha.

  • Adakah sumber-sumber bahan itu daripada sumber yang halal?
  • Adakah gelatin itu datang daripada sumber khinzir atau lembu?
  • Jika lembu, adakah lembu itu disembelih menurut syarak dan prosesnya tidak dicampurkan dengan sumber lain yang tidak halal?

Keratan akhbar berkenaan isu ubat dan kehalalannyaGambar 6 : Keratan akhbar berkenaan isu ubat dan kehalalannya.

 

Benar seperti apa yang dikatakan oleh Prof. Syed Azhar Syed Sulaiman, Dekan Pengajian Sains Farmasi USM. Pokoknya, bukan gelatin itu sahaja yang menjadi isu dalam bahan halal tetapi banyak lagi aspek yang yang perlu dititik beratkan. Sebagai contoh, bagaimana dengan bahan ramuan lain dan cara pemprosesannya? Jika dilihat dalam senarai bahan yang digunakan dalam penghasilan kapsul itu sendiri, terdapat banyak lagi bahan ramuan kritikal dan boleh diragui. Antaranya gliserin, pewarna dan perisa.

Lebih membimbangkan, di dunia ini hanya terdapat 2 buah loji pemprosesan gelatin yang mempunyai pengesahan halal yang diiktiraf oleh JAKIM dan Jabatan Veterinar Malaysia.

Sehingga kini, di Malaysia hanya terdapat 2 buah syarikat pengeluar kapsul yang memperoleh pengesahan halal Malaysia.

Cuba anda fikirkan secara logik, bagaimanakah 2 buah loji ini mampu untuk menampung penghasilan gelatin kapsul untuk kegunaan berjuta-juta pengguna Islam di Malaysia?

Merujuk kepada laporan pasaran tahun 2008, 44% gelatin yang terhasil di dunia adalah daripada sumber kulit babi yang mana jauh lebih tinggi berbanding sumber haiwan lain. Ini kerana daripada segi pemprosesan gelatin babi, ia adalah lebih mudah dan murah berbanding gelatin yang dihasilkan daripada lembu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-8 pada 24-25 September 1984 telah membuat kajian dan membincangkan yang mana pada masa ini kapsul yang terdapat di pasaran atau di hospital dan klinik-klinik kerajaan adalah diperbuat daripada campuran bahan gelatin yang diimport dari luar negara yang digunakan sebagai bahan untuk menahan ubat daripada rosak.

Dengan itu, Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan gelatin dalam ubat masa sekarang adalah diharuskan kerana darurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat daripada cepat rosak, maka penggunaan gelatin babi tidak lagi diharuskan.

Bagaimana pula dengan kapsul daripada sumber tumbuhan? Lazimnya pengguna akan mengganggap kapsul sayuran itu adalah halal untuk dimakan kerana bahan asasnya adalah tumbuhan. Persoalannya, adakah bahan lain yang ditambah dalam penghasilan kapsul tumbuhan juga halal?

Meskipun kandungan produk yang dihasilkan halal, ia mungkin diproses menggunakan peralatan memproses bahan-bahan tidak halal pada sebelumnya.

Pada dasarnya untuk sesuatu produk itu dikelaskan sebagai halal, bukan sahaja sumber-sumber bahan mentah yang digunakan adalah halal dan suci daripada najis mengikut hukum syarak serta digunakan untuk tujuan perubatan yang sah, malah aspek halal adalah meluas dan merangkumi proses keseluruhan iaitu daripada penerimaan bahan mentah hingga ke pengedaran produk siap.

Oleh itu, renung-renungkanlah.

 

Kesimpulannya

Cara yang terbaik bagi pengguna mengenal pasti sumber ubat-ubatan yang diambil itu datang daripada sumber yang halal adalah dengan mencari ubat yang mempunyai pengesahan halal dan logo halal pada produk dan yang mempunyai nombor MAL dan berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malah, Biro Pengawalan Farmaseutikal Malaysia telah mengeluarkan garis panduan ‘Drug Registration Guidance Document (Malaysia)yang mewajibkan pengeluar produk menyatakan secara spesifik mengenai sumber bahan mengandungi unsur haiwan pada label produk. Dengan adanya logo halal, bukan sahaja produk itu adalah halal, malah dijamin selamat, kualiti dan berkesan.

Oleh itu, sama-samalah kita menjaga kehalalan apa yang kita makan. Jadilah pengguna yang bijak!

 

Advertisement