Bagaimana Ketumbit Boleh Terjadi?

Kelopak mata mempunyai kelenjar-kelenjar yang menghasilkan minyak yang membantu melembapkan permukaan hadapan bola mata dan bulu mata yang berfungsi memerangkap habuk daripada memasuki mata. Ketumbit (hordeolum luaran) adalah bisul kecil hasil dari jangkitan kuman staphylococcus ke atas akar (folikal) bulumata.Sebaliknya, penakungan minyak akibat saluran kelenjar tersumbat mengakibatkan chalazion (hordeolum dalaman).

 

Tanda & gejala

Lubang saluran kelenjar yang tersumbat

Ketumbit boleh menyebabkan gejala seperti:

  • Sakit pada kelopak mata
  • Mata rasa seperti berbiji,
  • Merah atau bengkak pada kelopak mata.

 

Komplikasi

Gambar chalazion ( hordeolum dalaman) hasil dari penakungan minyak akibat saluran kelenjar yang tersumbat

Kebanyakan ketumbit akan hilang tanpa memerlukan rawatan dalam beberapa hari. Tetapi sesetengah individu mungkin mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya jangkitan tersebut merebak ke bahagian lain kelopak mata seterusnya menyebabkan preseptal cellulitis. Keadaan ini menyebabkan kesakitan dan bengkak pada kelopak mata.

 

 

Rawatan

Ketumbit (hordeolum luaran)

Kebanyakan ketumbit adalah kecil dan jarang menyebabkan gangguan yang teruk. Ia boleh dirawat di rumah dengan menuam ketumbit beberapa kali sehari. Dalam beberapa hari ketumbit akan sembuh dengan sendirinya. Sekiranya tidak sembuh selepas dituam, rawatan antibiotik dalam bentuk salaf mata mungkin diperlukan.Dalam kes yang lebih teruk ketumbit boleh dirawat dengan pembedahan kecil.

 

Pencegahan

Individu yang mengalami jangkitan kecil pada bulu mata (blepharitis) mudah terkena ketumbit. Kumpulan individu ini perlu selalu membersihkan bulu mata mereka bagi mencegah ketumbit.

Cara-cara melakukan tuaman

  • Ambil sehelai sapu tangan kecil
  • Rendam dalam air suam kuku dan perah hingga tidak menitis
  • Letakkan di atas kelopak mata dengan mata tertutup
  • Lakukan selama 10 minit
  • Ulang 2-3 kali sehari sehingga kutumbit pulih

 

Cara-cara membersih kelopak mata

  • Ambil cawan / bekas kecil
  • Letakkan 1 sudu the air bersih
  • Campurkan 5 titis syampu bayi dan kacau
  • Celup putik kapas ke dalam campuran tadi
  • Kesat bahagian kelopak mata yang mempunyai bulu mata secara lembut dengan putik kapas tersebut. (Awas: Elakkan dari terkena bahagian kornea)
  • Lakukan 2-3 kali sehari
  • Sekiranya kelopak mata terlalu kotor dan berkeruping, basahkan mata sebelum membersihkannya. Ini dapat membantu agar keruping menjadi lembut dan senang untuk dibersihkan.