Beza Mas Kahwin Dan Wang Hantaran

Mas Kahwin

Mas kahwin atau ‘mahar’ yang dipetik daripada bahasa Arab merupakan sesuatu pemberian yang WAJIB diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan. Di Malaysia, pemberian mas kahwin adalah berbeza-beza di setiap negeri dan mengikut perundangan syariah di bawah bidang kuasa setiap Sultan yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu juga, mas kahwin juga boleh berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat. Mas kahwin adalah wajib dibayar semasa akad nikah pasangan pengantin.

Sebagaimana Firman Allah:
“Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu Mas Kahwin mereka. [Surah al-Nisa, ayat 4]

Pemberian mas kahwin juga dibolehkan dengan pemberian senaskah al-Quran kepada isteri di mana, Rasulullah S.A.W pernah mengahwinkan seorang lelaki dengan bermas kahwinkan surah (ayat-ayat al-Quran) di mana lelaki tersebut tidak memiliki barangan untuk dijadikan mas kahwin.

Sabda Rasulullah S.A.W:
“Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang dibuat daripada besi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah telah berfiman di dalam al-Quran:
“Apabila kamu telah memberikan kepada mereka itu (isteri) sepikul mahar, maka jangan kamu ambil walau sedikit daripada mahar itu” – surah al-Nisa : 20 –

Hikmah senaskah al-Quran sebagai mas kahwin:

Al-Quran merupakan kitab suci dan melambangkan cinta sejati bersyariatkan agama kepada isteri.

• Ayat-ayat al-Quran akan dibaca dan dimanfaatkan kegunaannya hingga ke akhir hayat.
• Ilmu yang berguna dan membantu dalam meningkatkan amalan dunia dan akhirat.
• Mendapat kebaikan pahala kepada isteri dan suami apabila membaca al-Quran.
• Mendapat keberkatan dalam rumahtangga.

Hantaran

Hantaran pula berbeza daripada mas kahwin di mana ianya tidak diwajibkan tetapi terpulang kepada pasangan untuk memberinya mengikut kadar yang dipersetujui. Mengikut adat Melayu, wang hantaran bertujuan bagi mengurangkan beban isteri dan keluarga dalam membuat persiapan majlis perkahwinan.

Selain itu, ia juga dianggap sebagai hadiah kepada isteri yang tersayang. Jumlah duit hantaran yang ditawarkan pihak lelaki sebenarnya ditetapkan oleh keluarga pihak perempuan semasa perbincangan bersama keluarga pihak perempuan.

Bilakah masa yang sesuai untuk pemberian wang hantaran?

1).Selepas ikatan pertunangan atau dua bulan sebelum akad nikah dengan memberikan separuh wang hantaran. Ini     bertujuan untuk membeli barang persiapan kenduri. Selepas majlis akad nikah diberikan yang selebihnya lagi.
2).Memberikan kesemua wang hantaran dua bulan sebelum majlis akad nikah.
3).Memberikan kesemua wang hantaran pada majlis akad nikah.