Cabaran Ketika Masuk 40an


- 4 Mar 16
View 17,129 : Today 1

Pabila usia seseorang itu meningkat ke arah usia 40 tahun, atau apabila ibu atau bapanya meninggal, sesuatu mulai terlintas di benak fikirannya.

Advertisement

Pertama, ialah dia sudah jauh menjalani masa dunia ini. Kedua, berapa lagi usianya yang bakal tinggal bila dibandingkan dengan usia orang tuanya. Ketiga, dia juga mulai berfikir akan risiko-risiko penyakit seperti mereka yang telah berusia atau yang telah dilalui oleh orang tua atau kaum kerabatnya.

Seperti mana seseorang melihat usia 40 tahun sebagai usia matang, usia yang penuh pengalaman atau usia untuk melihat dunia dari perspektif yang baru (atau seperti kata orang “life begins at 40“), maka pada waktu ini juga kesihatan sesetengah orang boleh berada di tahap yang berisiko.

Kekerapan mendapat sakit-sakit ringan, kadang-kadang tulang dan sendi-sendi keradangan, membaca sudah terpaksa menggunakan kanta, alahan terhadap makanan tertentu semakin kuat dan lelain masalah lagi mungkin antara beberapa simptom kecil yang berkemungkinan dihadapi oleh seseorang apabila dia sudah melintas usia 40 tahun.

Namun risiko lebih besar yang harus diberi perhatian ialah risiko yang melibatkan keadaan lebih kronik, risiko kebergantungan kepada ubat alopati, risiko terlantar di rumah (@ hospital) ataupun kematian. Ini selalu diperkatakan oleh masyarakt kita sebagai risiko penyakit tiga serangkai.

Tiga jenis penyakit ini memberi kesan yang amat besar terhadap gaya hidup apabila seseorang itu telah disahkan menghidapinya. Justeru, sangatlah wajar dalam usia dewasa ini kita memberi lebih perhatian terhadap kemungkinan tiga jenis penyakit ini supaya kita berusaha mengelaknya.

Yang dimaksudkan itu ialah penyakit kencing manis (diabetes), darah tinggi dan penyakit jantung. Penyakit jantung atau penyakit jantung koronari selalu disebut-sebut sebagai pembunuh nombor wahid dalam kategori penyakit yang berisiko membawa kematian. Paling tidak, jika sekadar terlantar di rumah (justeru jantung atau akibat stroke contohnya)- hidup dengan bantuan peralatan dan orang lainpun sudah cukup tidak menyeronokkan.

Sementara itu, pada tahun 2010 Berita Harian melaporkan Kementerian Kesihatan telah mendedahkan bahawa Penyakit Tidak Berjangkit (PTB) atau NCD menunjukkan peningkatan ketara pada penyakit darah tinggi (yang meningkat 44 peratus), kencing manis (meningkat 80 peratus) dan kegemukan (hampir 220 peratus).

Mengapa hal ini berlaku ? Umumnya justeru gaya dan amalan hidup masyarakat hari ini. Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan anggota masyarakat kita mengabaikan perkara asas dalam rutin hidup seharian.

Ramai sekali yang tidak mengambil makanan seimbang, mengutamakan makanan segera (fast-food), makan tidak tepat pada waktu, merokok, kurang atau tidak bersenam, banyak lepak/relaks dan suka menonton tv sambil mengunyah jajan. Itu merupakan antara amalan tidak sihat yang menjadi budaya masyarakat masa kini.

Apabila ditanya, pasti kebanyakan kita cenderung memberi jawaban seperti tiada masa, tidak berkesempatan kerana kesibukan kerja, malas, sudah biasa (jadi tabiat) dan pelbagai alasan yang direka-reka bagi membenarkan tabiat salah yang dilakukan.

Apabila usia sudah meningkat 40 atau 50 tahun, kesan gaya hidup seperti di atas mulai dirasa. Kini baru terasa kemungkinan risiko mendapat penyakit berbahaya, seperti ketiga-tiga penyakit di atas. Apa lagi, bila berat tubuh juga meningkat ke paras obesiti, risiko tadi menjadi kian hampir.

Lebih teruk daripada itu, mutakhir ini ramai pula mereka yang sebelum masuk skim pencen sudah didapati menghidap penyakit kegagalan buah pinggang. Meskipun kegagalan buah pinggang tidak mengenal usia, tetapi semakin hari semakin jelas, mereka yang berada dalam usia yang lewat turut berisiko.

Apakah daripada tiga, akan lahir pula penyakit yang harus kita gelar empat serangkai? Ingatlah, kitalah yang paling berperanan sebagai penentu kesihatan kita di masa hadapan. Kita tidak harus dipengaruhi oleh budaya sekeliling kita.

Jadi, sama-samalah kita jaga pemakanan kita, amalan harian kita, dan semua perkara yang mempengaruhi kesihatan masa depan kita.

 

Sumber

Advertisement