Kalau Mengidam Anak Yang Soleh, Ajarkan 6 Perkara Ini!

Pejam celik, anak anda sudah semakin membesar. Anak-anak kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkan anak-anak. Jika salah corakan, ia memberi kesan kepada kehidupannya apabila dewasa nanti.

Anak-anak perlu dididik agar sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Ajarkan mereka erti kasih sayang dan tanggungjawab terhadap orang tua yang telah melahirkan dan membesarkan mereka.

Semoga anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah dan dapat berbakti kepada ibu bapa pula apabila dewasa nanti.

Untuk mendidik anak rasa cinta dan hormat kepada ibu bapa, maka perlulah memupuk nilai kasih sayang dan rasa terima kasih itu sejak mereka kecil lagi. Ikuti panduan ini dalam menjana pembangunan insaniah anak-anak.

1. Rujukan al-Quran

Sikap yang baik adalah tuntutan agama. Luangkan masa untuk bercerita tentang perintah Allah SWT supaya menghormati ibu bapa seperti diceritakan di dalam al-Quran. Terdapat juga kisah-kisah pengajaran di dalam sirah sebagai panduan anak-anak.

2. Teladan

Kanak-kanak belajar melalui peniruan. Sebagai ibu bapa, anda harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak. Apabila anda berbuat baik dan bersikap sopan santun, anak akan meniru perbuatan ini. Jelaskan kepadanya berbuat baik akan disukai oleh Allah SWT.

3. Membantu Ibu Bapa

Berikan anak anda tanggungjawab yang ringkas. Ajak anak melakukan kerja bagi meringankan beban anda. Contohnya, membantu ibu melipat baju dan membantu ayah menyiram pokok bunga. Cara ini akan membantu anak-anak menyedari tanggungjawab membantu ibu bapa adalah kewajipan apabila dewasa nanti.

4. Tunjukkan Kasih sayang

Antara ciri-ciri seorang kanak-kanak iaitu suka dirinya dihargai dan dibelai. Tunjukkan kasih sayang seperti ucapan, sentuhan, perbuatan dan pemberian akan merangsang emosi positif si anak. Kesannya, anak tahu dirinya disayangi dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

5. Ajar Sikap Pemaaf

Kanak-kanak mempunyai perasaan. Dengan sering mengeluarkan ata-kata yang kesat atau bersifat menghukum hanya akan membuahkan rasa marah dan dendam di dalam jiwa anak. Jangan segan untuk meminta maaf jika anda melakukan kesilapan terhadap dirinya. Hal ini kerana, anda sedang mengajarnya suatu nilai yang sangat murni iaitu mengakui kesalahan dan sifat pemaaf.

6. Ajar Anak Bersopan

Sopan santun adalah suatu tindakan yang amat mulia. Anak perlu didedahkan dengan sikap ini. Anak yang dibiasakan sejak kecil untuk bersikap sopan santun akan lebih mudah bersosial. Dia akan mudah memahami peraturan yang ada dalam masyarakat. Malah lebih mudah menyesuaikan diri dengan lingkungan baru, selalu menghargai orang lain, penuh percaya diri dan memiliki kehidupan sosial yang baik.

 

@via majalahpama.my