Bulan Puasa Waktu Terbaik Untuk Berhenti Merokok

TABIAT merokok masih lagi menjadi isu utama dalam kalangan masyarakat Malaysia yang sehingga kini gagal ditangani dengan berkesan meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ter­utama Kementerian Kesihatan.

Kementerian Kesihatan menganggarkan 20,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat komplikasi merokok dan sehingga kini terdapat kira-kira 5 juta perokok di Malaysia. Sebahagian besarnya golongan lelaki manakala golongan wanita pula telah menunjukkan peningkatan (1 peratus pada tahun 2011 kepada 1.4 peratus pada tahun 2015).

Laporan sama turut memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan telah mengambil beberapa langkah bagi memperkukuhkan perkhidmatan berhenti merokok melalui kerjasama di antara sektor awam dan swasta.

Pengukuhan perkhidmatan berhenti me­rokok ini dikenali dengan Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit atau mQuit Services yang bertujuan meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan ini kepada masyarakat.

Dalam pada itu, berdasarkan hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, trend merokok di seluruh dunia pada tahun 2010 telah mendapati 50 orang perokok baharu akan lahir pada setiap hari dan pada masa sama 5,200 orang perokok mati setiap tahun. Hanya dua peratus sahaja perokok yang berjaya berhenti (setiap tahun).

rsz_when-you-quit-smoking

Justeru, sambutan Hari Tanpa Tembakau pada 31 Mei lalu bertemakan Elak Terpedaya; Merokok Membahayakan Kesihatan adalah langkah proaktif daripada pihak kerajaan dalam usaha menangani gejala merokok dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurut Islam, hukum me­rokok adalah haram. Keputusan itu dibuat menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 23 Mac 1995. Muzakarah tersebut telah membincangkan isu merokok dan telah bersetuju untuk memutuskan merokok adalah haram berdasarkan pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.

Keputusan itu dibuat dengan merujuk firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:“Dan belanjakanlah apa yang ada pada kamu kerana agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Selain itu, kebinasaan yang dibawa bukan sahaja kepada perokok itu sendiri malah turut melibatkan persekitarannya termasuk orang sekeliling yang tidak merokok.

 

Persoalannya, mengapakah Islam begitu bersungguh-sungguh mengharamkan perbuatan merokok ini?

Pertama, merokok sangat memudaratkan kesihatan. Menurut kajian yang dilakukan oleh American Cancer Society, me­rokok adalah antara penyumbang kepada penyakit buta dan pengurangan tempoh hayat manusia. Wanita merokok yang berusia 35 tahun ke atas pula mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalami serangan jantung.

Sesungguhnya perbuatan memudaratkan diri amat ditegah dalam Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda:“Tidak boleh melakukan sesuatu yang membahayakan diri sendiri ataupun orang lain.”
Merokok juga mengundang kepada pembaziran. Wang yang sepatutnya dimanfaatkan ke arah kebaikan telah dibelanjakan untuk membeli rokok yang jelas mendatangkan kesan buruk kepada pelakunya. Tidak dapat dinafikan merokok merupakan salah satu pembaziran harta yang amat jelas.

Firman Allah dalam surah al-Israk ayat 27 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Lantaran itu, jauhilah tabiat merokok kerana perbuatan tersebut jelas membawa kepada pembaziran yang nyata.

Mahu tidak mahu tabiat buruk ini perlu dijauhi dan dihindari oleh setiap orang. Mahukah kita melihat anak-anak yang meningkat dewasa berjinak-jinak dengan rokok?

Dikhuatiri mereka pada masa akan datang cuba menghisap bahan baharu yang lebih mengkhayalkan seperti dadah.

Oleh itu, semua perokok sama ada tegar, biasa atau sosial perlu menghentikan segera tabiat buruk tersebut. Apa kata jadikan bulan Ramadan yang mulia ini sebagai medan untuk kita berhenti merokok.

Mudah-mudahan kita akan menjadi hamba Allah SWT yang lebih beriman dan bertakwa.

 

Baca juga : 13 Cara Berkesan Untuk Berhenti Merokok

Baca Juga : 4 Makanan Yang Bersihkan Paru-Paru Dalam Masa 72 Jam – Perokok Wajib Baca