KKM Dapati Terapi Ozon Tiada Kelebihan Terapeutik


- 6 Jan 17
View 409 : Today 1

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan masyarakat agar lebih berhati-hati dengan rawatan pencucian darah yang kini menjadi fenomena yang semakin popular dan lebih dikenali ramai sebagai terapi ozon.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan dalam laman web rasmi beliau pada hari ini telah menjelaskan bahawa tiada bukti yang kukuh tentang terapi tersebut yang kononnya mempunyai kelebihan dari segi terapeutik.

Advertisement

Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) di KKM sendiri ujar beliau, sebenarnya pernah menjalankan serta menerbitkan dua penilaian teknologi kesihatan (HTA) yang berkaitan dengan terapi ozon pada tahun awal 2005 dan 2011 lalu.

“Objektif HTA ini lazimnya adalah untuk menilai tahap keselamatan dan keberkesanan terapi berkenaan terhadap proses rawatan perubatan dengan menggunakan pelbagai bukti dalam terbitan berbentuk ilmiah,” terang Noor Hisham lagi.

Justeru itu carian telah dijalankan menggunakan pangkalan data elektronik, termasuk PubMed, Ovid Medline (R), EBM Reviews-Cochrane Central Register of Controlled Trials, EBM Reviews Cochrane database of systematic reviews.

Juga semakan telah dilakukan menerusi EBM Reviews – HTA Databases, Horizon Scanning database, laman web rasmi Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat (AS), dan enjin carian Google untuk laporan tersebut diterbitkan.

“Hasilnya kedua-dua Laporan HTA bagi Terapi Ozon mendapati bahawa ia tidak mempunyai sebarang bentuk kelebihan terapeutik sebagai terapi pilihan bagi pelbagai penyakit berbanding kaedah terapi yang konvensional sedia ada,” tegas Noor Hisham.

Selain itu jelas beliau, maklumat keselamatan bagi terapi ozon juga masih tidak mencukupi bahkan didapati ada bukti tahap rendah yang terhad untuk mengesahkan keberkesanan dalam rawatan terhadap penyakit tertentu sahaja misalnya sakit belakang.

Kesimpulan daripada kajian-kajian yang telah dijalankan pihak KKM adalah tidak cukup kukuh untuk memberikan suatu kesimpulan yang tepat bahawa terapi ozon adalah berkesan dalam merawat penyakit lain seperti jangkitan HIV dan kanser.

“Walaupun terapi ozon didakwa sebagai minimal invasif dan komplikasi berkaitan rawatan ini sangat jarang berlaku, terdapat banyak asas pertimbangan lain yang perlu untuk diambil kira sebelum memutuskan bahawa cara ini adalah selamat.

“Terdapat juga laporan insiden yang menunjukkan bahawa terapi ozon ini pernah mengancam nyawa dan keadaan pengguna telah mengalami kehilangan upaya kekal yang berkaitan dengan penggunaan terapi ozon ini,” kata Noor Hisham.

Advertisement