Masalah Prostat Di Kalangan Lelaki Dewasa Masa Kini

Prostat adalah suatu kelenjar yang terletak di pangkal pundi kencing pada golongan lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra. Saiznya hanyalah sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah untuk menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.

Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit juga berpotensi untuk timbul dalam kelenjar prostat. Penyakit dan masalah yang utama berjaya dikesan adalah Benign Prostatic Hyperplasia (Pembesaran Kelenjar Prostat) dan kanser prostat.

Pembesaran atau Pembengkakan Kelenjar Prostat

Benign Prostatic Hyperplasia atau BPH adalah proses pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone. Saiz normal prostat adalah berukuran lebih kurang 20gm, sekiranya lebih daripada itu bermakna anda sedang mempunyai masalah pembesaran atau pembengkakan prostat.

Pertambahan saiz prostat sebegini selalunya akan dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 40 tahun ke atas. Mengikut perangkaan, lebih 50 peratus lelaki pada peringkat umur 40-an menghadapi masalah ini dan peratusan berkenaan dijangka meningkat kepada 75 peratus di kalangan mereka yang berumur 80 tahun ke atas.

Bilangan kes BPH di Malaysia juga dikatakan kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas. Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati memiliki gejala ini.

Saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut berasa sempit. Akibatnya, mereka yang mempunyai masalah ini seringkali akan mengalami kesukaran ketika ingin membuang air kecil.

Tanda-tanda akibat BPH

  • Aliran kencing yang kurang baik (poor stream)
  • Kerap membuang air kencing (frequency)
  • Tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying)
  • Air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).
  • Nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.
  • Kesan Pembesaran atau pembengkakan Kelenjar Prostat

Ada beberapa kesan ke atas pesakit yang mana saya pecahkan untuk dinilai dari segi kesihatan dan sosial

1. Kesihatan

Salur kencing pesakit tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal. Tekanan di dalam pundi kencing yang tinggi boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan kemungkinan gagal berfungsi (renal failure).

Pembentukan batu karang juga dikhuatiri boleh berlaku di dalam pundi kencing akibat dari masalah tersebut. Pesakit juga akan berisiko untuk mendapat penyakit hernia akibat daripada keperluan untuk meneran untuk mengeluarkan air kencing

2. Sosial

Pesakit pula perlu kerap untuk pergi ke tandas untuk kencing hingga kemungkinan nanti akan mengganggu aktiviti sosialnya seperti ketika keluar untuk melancong, menonton wayang atau memandu kereta ke tempat yang jauh.

Mengganggu tidur seseorang pesakit dan boleh menyebabkannya berasa letih pada siang hari kerana kurang tidur disebabkan oleh kekerapan bangun pada waktu malam untuk kencing. Ada pesakit yang perlu bangun antara enam hingga lapan kali setiap malam.

Pesakit prostat biasanya tidak dapat tidur dengan nyenyak dan mendapat rehat yang berkualiti disebabkan kerapkali terjaga untuk pergi terkencing

Diharapkan agar perkongsian di atas mampu untuk membantu anda untuk menangani gejala prostat membengkak dengan lebih awal agar dapat dicegah sebelum berlakunya masalah yang lebih serius pada kemudian hari. Pergilah berjumpa doktor sekiranya anda memiliki gejala seperti yang dinyatakan di atas. Sesungguhnya mencegah adalah lebih berkesan dari mengubati.