1. Peringkat tergila-gila

Ini adalah peringkat yang boleh menjadi kenangan manis dan mungkin juga memalukan. Ia bermula dengan perasaan suka atau tertarik yang keterlaluan kepada seseorang.

Orang yang berada pada peringkat ini akan berbuat apa sahaja untuk memastikan pasangannya itu suka kepadanya sepenuh hati.

Pada peringkat inilah segala nasihat daripada rakan dan saudara tidak akan diterima. Buang emak, buang saudara kerana kasih hamba turutkan.

2. Peringkat cuba saling memahami

Dalam rumah tangga peringkat ini  bermula sebaik habis tempoh ‘berbulan-madu’. Anda mula mengenali tentang suami pada lapisan yang lebih dalam.

Apa yang dia suka dan apa yang dia tidak suka. Apa sikapnya dan apa pula perangainya. Warna-warna sebenar siapakah dirinya mula anda berikan tafsiran.

Ada tafsiran ini sama seperti anda harapkan dan ada juga tidak anda sangka sebelum ini. Peringat kedua ini memang cukup panas dan mencabar.

Ia menandakan fasa sebenar hidup berumah tangga baru bermula.

3. Peringkat dugaan

Walau bagaimana sempurna rumah tangga itu, peringkat ini pasti akan dilalui. Buat kali pertama anda mula berselisih faham dengan suami.

Cuba anda ingat kali pertama anda dan suami berselisih faham. Bilakah ia berlaku selepas hari ijab kabul? Apakah isunya? Apakah kesan yang berlaku selepas krisis pertama ini?

Adakah ia menjadikan hubungan anda dengan suami semakin teruk atau menjadi lebih baik selepas itu? Berbanding peringkat kedua, peringkat ketiga ini lebih getir, lebih ganas dan lebih kejam cabarannya.

4. Peringkat perubahan anggapan

Anda mula melihat pasangan anda dengan persepsi berbeza sebelum ini. Anda sangka dia romantik tetapi hakikatnya tidak.

Anda ingatkan dia garang tetapi rupa-rupanya amat lembut orangnya. Pada peringkat ini anda mungkin semakin menyayanginya atau anda mula membencinya.

5. Peringkat penyesuaian

Apa yang kita mahu tidak semestinya sama dengan apa yang kita dapat. Anda dan pasangan cuba menyesuaikan diri dengan hakikat yang ada di depan mata.

Peringkat ini perlukan banyak pengorbanan dan toleransi. Perasaan pentingkan diri adalah halangan utama di peringkat ini. Banyak pasangan yang berpisah dan bercerai kerana gagal dalam menempuh peringkat ini.

6. Peringkat bahagia

Perasaan bahagia ini tidak sama dengan bahagia semasa bulan madu. Perasaan ini hanya dapat dirasai oleh pasangan yang berjaya melepasi peringkat penyesuaian yang sangat getir itu.

7. Peringkat ragu-ragu

Pengalaman yang dilalui, faktor umur, perubahan hormon dan perubahan fizikal mula mencetuskan rasa tidak selamat dan ragu-ragu tentang kesetiaan pasangan.

Anda mula membandingkan rumah tangga anda dengan rumah tangga orang lain. Anda mula mempersoalkan adakah rumah tangga anda betul-betul bahagia atau hanya pura-pura bahagia?

8. Peringkat penerokaan seksual

Di sini adalah persimpangan antara lelaki dan perempuan. Pada peringkat ini salah seorang atau kedua-dua pihak pada pasangan itu merasakan minat seksual mula berubah.

Ada dua kesan perubahan minat seksual ini. Pertama masing-masing semakin kreatif  dalam hubungan seksual.

Kedua, salah seorang atau kedua-dua mungkin mula curang dan menjalin hubungan gelap selain pasangan sekarang.

9. Peringat terakhir percaya sepenuhnya

Ini adalah peringkat gembira dan bahagia pada tahap yang paling stabil. Kedua-dua suami dan isteri yang berjaya sampai ke peringkat ini tahu dan boleh mengagak apa juga sikap dan perangai yang bakal ditunjukkan oleh pasangan mereka.

Masing-masing tahu yang rumah tangga mereka hampir sampai ke destinasi muktamad. Mereka seumpama satu tubuh yang berkongsi dua badan. Apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia, kesannya amat berat kepada yang masih hidup.

Kesemua peringkat ini pasti berlaku tetapi tidak semua yang akan melaluinya. Kebanyakan perceraian berlaku sebelum tamat peringkat kelima.

Kepada bakal pengantin, bersedialah fizikal dan mental untuk melalui fasa-fasa getir ini. Sebaik sahaja anda melalui fasa keenam dan seterusnya cara anda melihat hidup ini pasti berubah.

Laluilah semuanya sehingga nanti anda menunaikan janji untuk bersama sehingga ke akhir hayat.