Penyakit Lutut Chondromalacia

Apakah Lutut Chondromalacia ?

Tulang rawan di bawah tempurung lutut (patella) anda adalah penyerap tekanan semula jadi. Ia menyediakan permukaan licin yang berkilauan untuk membolehkan sendi bergerak dengan lancar. Penggunaan yang berlebihan, kecederaan atau faktor-faktor lain seperti penuaan, yang boleh merosakkan tulang rawan akan membawa kepada keadaan yang dikenali sebagai lutut Chondromalacia. Keadaan ini juga biasa dipanggil sindrom sakit patellofemoral.

Apakah Punca Lutut Chondromalacia?

  • Penggunaan yang berlebihan, contoh dalam sukan tertentu yang melibatkan berlari dan melompat.
  • Kedudukan tempurung lutut yang tidak betul. (Kelemahan otot (vastus medialis oblique VMO), menyebabkan tempurung lutut keluar dari alur femoral. Ini akan mengakibatkan tempurung lutut tidak meluncur dengan lancar dan sebaliknya bergesel dengan tulang femur dan menyebabkan kesakitan.
  • Struktur luar lutut, ITB (Ilio Tibial Band) yang tegang atau pendek.
  • Tapak kaki yang membengkok ke dalam/pronating.
  • Kelemahan otot pinggul (hip abductor and external rotator).
  • Artritis sendi lutut (orang dewasa).
  • Peningkatan dalam sudut ‘Q’ (kedudukan tempurung lutut yang senget)

 

 

Apakah Gejala Lutut Chondromalacia?

  • Sakit di sekitar lutut. Kesakitan biasanya akan di rasai pada bahagian hadapan lutut, sekeliling atau belakang tempurung lutut (patela).
  • ‘Popping’ atau klik (crepitus) apabila anda membengkokkan lutut anda.
  • Patela anda akan mengisar dan anda boleh mendengar bunyi berderak apabila anda mencangkung atau naik dan turun tangga.
  • Duduk (dengan bengkok lutut) untuk tempoh masa yang lama akan menambahkan kesakitan.
  • Kesakitan biasanya lebih teruk apabila naik atau turun tangga, mencangkung dan melutut.
  • Lutut boleh membengkak dengan penggunaan yang kerap dan ini boleh mengurangkan julat pergerakkan lutut serta menjadikan otot-otot lutut menjadi keras dan ketat.

 

Bagaimana ia di Diagnosis?

Jika anda boleh tahan sakit, Ahli Fisioterapi anda akan memeriksa lutut anda dengan memberi rintangan semasa anda meluruskan lutut. Ujian ini akan mengakibatkan kesakitan yang dikaitkan dengan lutut chondromalacia oleh tekanan pada tulang rawan di belakang tempurung lutut. Ujian ini akan membantu mengesahkan diagnosis.

Faktor Risiko Mengalami Lutut Chondromalacia termasuk:

  • Remaja dan orang dewasa muda lebih cenderung
  • Wanita lebih berisiko daripada lelaki. Ini mungkin disebabkan pelvis wanita yang lebih lebar akan meningkatkan sudut ‘Q’ patela.
  • Trauma kepada tempurung lutut, seperti dislokasi atau patah.
  • Kecacatan lutut atau tapak kaki yang rata.
  • Sukan tertentu yang melibatkan banyak berlari atau melompat.

Komplikasi

Jika tidak dirawat, Lutut Chondromalacia boleh menyebabkan kesukaran aktiviti harian seperti mencangkung dan naik turun tangga.

Rawatan Fisioterapi

Ahli Fisioterapi akan membuat pemeriksaan dan penilaian lutut anda, untuk membantu memulihkan lutut yang sakit dengan meningkatkan kekuatan otot di sekitar lutut, dan dengan ini mengurangkan tekanan pada lutut. Terdapat senaman tertentu yang boleh membantu untuk memperbaiki kedudukan dan ketidakseimbangan otot di sekitar lutut.

 

Rawatan boleh terdiri daripada :

  • Rawatan Ais
  • Elektroterapi (seperti Ultra Sound, Transcutaneous electrical nerve stimulation/ TENS )
  • Senaman khusus menguatkan otot untuk menyokong lutut dan mengawal kedudukan sendi seperti quadriceps, hamstrings dan otot pinggul (terutama hip abductors)
  • Senaman regangan untuk mengurangkan struktur ketat (terutamanya ITB dan hamstring)
  • Teknik mobilisasi sendi. (untuk mengurangkan kekerarasan sendi agar dapat mencapai julat pergerakkan normal yang bebas daripada sakit
  • Taping dan Strapping (memberi sokongan pada sendi lutut, mengurangkan sakit dan merangsang pergerakan normal)
  • Pendidikan (mengelakkan sebarang senaman yang meningkatkan sakit lutut anda. cuba lakukan senaman yang berimpak rendah seperti berenang agar kurang tekanan pada lutut anda

Intervensi Pembedahan

    • Arthroscopy

Pembedahan melalui arthroscope untuk membuang serpihan tulang rawan yang rosak.