Jaga Kesihatan, Elak Gejala “Kaki Atlet”

SESIAPA yang mengalami kaki atlet (athlete’s foot) pasti akan berasa rimas terutama apabila gejalanya seperti rasa pedih dan gatal melanda tidak kira masa. Sebenarnya dari sudut perubatan moden pun kaki atlet merupakan sejenis jangkitan yang sukar sembuh.

Ia kerana jangkitan semula kulat yang dikenali sebagai tinea pedis dikatakan mudah berlaku. Orang dahulu mempercayai jari kaki yang rapat mencegah sinaran cahaya matahari dan ini menyebabkan ulat air mudah membiak. Istilah ‘ulat air’ digunakan sesetengah orang kerana mereka tidak tahu kaki atlet sebenarnya berpunca daripada pembiakan kulat.

 

Sudah tentu kebanyakan orang awam terutama yang kurang pendedahan kepada ilmu kesihatan mendapati sukar untk menerima kaki atlet berpunca daripada jangkitan kulat. Ini mungkin kerana mereka mendapati gejala kaki atlet iaitu kulit bahagian yang dijangkiti berwarna putih dan berasa gatal terutama setiap kali kaki lembap atau terendam dalam air pada tempoh yang panjang, maka mereka mengatakan punca penyakit dialami daripada ulat air! Kulat tinea pedis mudah membiak di tempat yang agak panas dan lembap.

Ia dikatakan terdapat di tempat permandian awam seperti bilik mandi awam, kolam mandi berbumbung, kelab kesihatan dan bilik penyimpanan barang (lokar). Kaki yang tersentuh kasut, stoking, lantai lembap atau barang senaman yang mengandungi kulat tinea pedis dikatakan sebagai punca utama penyebarannya.

 

 

 

Elak pembiakan kulat

Kulat tinea pedis bukan sahaja membiak di celah jari-jari kaki malah membiak pada tapak kaki dan bahagian atas kaki. Selain itu ia juga membiak pada kuku. Sebahagian orang mengenali jangkitan kulat pada kuku kaki terutama biasa dialami pada ibu jari kaki sebagai cagu.

Kuku kaki yang mengalami gejala yang merimaskan penghidap iaitu bengkak, ‘isi’ (mungkin koloni tinea pedis) berwarna  kekuningan di bawah permukaan kuku, berasa sakit serta menerbitkan bau yang tidak menyenangkan. Pembiakan tines pedis kronik yang dialami selama bertahun-tahun akan menyebabkan kuku kaki rosak dan kelihatan hodoh.

Tapak kaki yang mengalami pembiakan tinea pedis pula akan menjadi tebal, bersisik atau berlubang. Kikisan dan siraman air panas tidak akan membantu membunuh tinea pedis sepenuhnya. Langkah-langkah mengelakkan daripada jangkitan dan menghindar pembiakan berterusan tinea pedis adalah dengan memakai stoking diperbuat seratus peratus kapas kerana ia dikatakan mudah menyerap lembapan berbanding dengan fabrik campuran.

Jika aktiviti harian atau sukan menyebabkan stoking mudah lembap maka tukarlah kepada stoking kapas lain yang bersih dan kering. Penghidap kencing manis yang tidak mengawal paras gula dikatakan membantu pembiakan tinea pedis. Maksudnya gejala yang sedang dialami akan menjadi lebih teruk. Seseorang yang tidak mengalami kencing manis tetapi kerap makan makanan tinggi gula juga dipercayai membantu pembiakan tinea pedis. Makanan tertentu seperti sotong, belacan dan udang juga dikatakan memburukkan gejala kaki atlet yang sedang dialami.

 

 

Rawatan

Antara langkah untuk meredakan pembiakan tinea pedis adalah mengunakan bahan antikulat alternative.  Kikis bahagian yang dijangkiti kulat tinea pedis yang membiak di celah jari kaki dengan berus gigi lama. Kemudian gunakan putik kapas untuk menghilangkan sakit kepala atau sakit perut. Minyak kayu putih (cajeput) dan minyak tea tree dikatakan membantu membunuh tinea pedis.

Sebahagian besar orang menganggap eucalyptus sebagai minyak kayu putih namun cajeput (sebutan ka-ye-put) adalah minyak kayu putih yang sebenar. Minyak cajeput merujuk kepada minyak esen yang diekstrak daripada daun pokok gelam (melaleuca cajuputi). Di Malaysia, pokok gelam hidup subur di kawasan paya. Merendam kaki dengan air suam yang mengandungi garam gunung  Himalaya dan cuka epal dipercayai dapat membunuh dan sekali gus mencegah pembiakan tinea pedis. Larutan air mengandungi bahan tersebut juga boleh disembut pada bahagian kaki yang mengalami pembiakan tinea pedis selepas mandi. Kemudian pastikan anda mengeringkan bahagian kaki yang disemburkan sepenuhnya. Semburan juga boleh dilakukan pada bahagian dalam kasut atau sandal. Sesetengah orang menggunakan bawang putih segar yang ditumbuk lumat untuk membunuh tinea pedis. Bahagian yang mengalami pembiakan tinea pedis akan berasa pedih buat seketika apabila dipupuk dengan bawang putih lumat ini. Bagi mereka yang sibuk bekerja sepanjang minggu, masa yang paling sesuai untuk memupuk bawang putih segar lumat ialah pada hujung minggu.

Suplemen bawang putih dikatakan memberikan kesan serupa. Jika sukar untuk mendapatkan  suplemen bawang putih yang dikapsulkan dalam capsugel halal, anda boleh guna suku camca teh bawang putih kering serbuk. Dos yang sama diambil tiga kali sehari.

Teh daun mambu (Neem) juga dikatakan membantu mencegah pembiakan tinea pedis. Cara menyediakan teh mambu ialah meramas 20 helai daun mambu tua dan direndam dalam air panas selama 10-15 minit. Rendam kaki yang mengalami pembiakan tinea pedis sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Minyak Neem yang diperbuat daripada biji pokok mambu juga boleh digunakan dengan menggunakan putik kapas untuk menyapunya pada bahagian yang dijangkiti tinea pedis. Minyak Neem amat beracun dan jangan sekali-kali sesiapa pun cuba memakannya. Ia hanya selamat untuk kegunaan luaran sahaja. Sapu di bahagian kaki atau tangan yang mengalami jangkitan atau pembiakan tinea pedis dua kali sehari.