Pemakanan Sihat Semasa Tahun Baru Cina
Pengenalan
Tahun Baru Cina merupakan antara perayaan terpenting kaum Cina bagi menyambut tahun baru mengikut kalendar tradisional Cina. Perayaan ini disambut sehingga hari ke-15 atau lebih dikenali sebagai Chap Goh Mei.
Kenapa Berat Badan Mudah Bertambah Semasa Perayaan Tahun Baru Cina ?
Sepanjang sambutan perayaan ini, kaum Cina akan kunjung-mengunjung sanak-saudara dan rakan-rakan. Biasanya, tuan rumah akan menghidangkan pelbagai jenis makanan kepada tetamu. Oleh itu, kaum Cina cenderung untuk naik berat badan selepas perayaan akibat peningkatan kekerapan dan kuantiti makanan yang diambil.
Dipercayai ramai orang mempunyai pengalaman sama seperti Ah Meng. Semasa musim perayaan, beliau mengunjungi 3 buah rumah kawan-kawan dalam sehari. Dalam masa yang sama, beliau makan 3 hidangan utama sehari seperti biasa (anggaran 500 kcal setiap hidangan).
Pengambilan kalori sehari semasa Tahun Baru Cina bagi Ah Meng
Di setiap rumah kawan-kawan, secara purata beliau mengambil :
2 biji limau mandarin | 100 kcal |
2 biji fortune cookies | 80 kcal |
½ mangkuk kacang tanah panggang | 85 kcal |
1 kotak minuman | 90 kcal |
Jumlah | 355 kcal |
Untuk 3 buah rumah, Ah Meng mengambil | = | 355 kcal X 3 |
= | 1065 kcal |
Ah Meng mengambil 3 hidangan utama seperti biasa | = | 500 kcal X 3 |
= | 1500 kcal |
Oleh itu, anggaran pengambilan kalori sehari bagi Ah Meng pada Tahun Baru Cina :
1065 kcal + 1500 kcal = 2565 kcal
Jadi, Ah Meng telah mengambil 2565 kcal atau 128% daripada keperluan hariannya (2000 kcal sahaja bagi seorang lelaki dewasa yang mengamalkan gaya hidup sedentari).
Bagi membakar 565 kcal yang berlebihan, Ah Meng perlu berenang selama 1 jam 15 minit.
Jika kalori berlebihan tidak digunakan, ia akan menjadi lemak dan menyebabkan peningkatan berat badan. Oleh itu, amalkan makan secara sihat dan kekal aktif dalam melakukan aktiviti fizikal sepanjang musim perayaan. Ini akan membantu kita menikmati makanan semasa musim perayaan tanpa menjejaskan kesihatan.
8 Tips Makan Secara Sihat Semasa Tahun Baru Cina
Semasa perayaan, kebiasaannya terdapat pelbagai makanan tradisional dihidangkan. Keadaan ini akan menyebabkan pengambilan makanan secara berlebihan berbanding hari-hari biasa. Berikut adalah panduan yang boleh dirujuk untuk mengekalkan amalan makan secara sihat :
1) Makan mengikut waktu. Elakkan melangkau waktu makan.
2) Makan mengikut keperluan.
- Jika ingin menikmati semua makanan yang dihidangkan semasa ‘makan besar’, cukup sekadar merasa sahaja setiap jenis makanan.
- Elakkan makan sampai kenyang.
3) Pilih menu dan kaedah memasak yang sihat seperti :
- Kukus, rebus, sup atau bakar.
- Jika menggoreng, guna sedikit minyak sahaja.
4) Amalkan pemakanan yang seimbang.
5) Susun makanan di atas pinggan secara teratur.
- Elakkan menimbun makanan bagi mengurangkan makan secara berlebihan.
6) Ambil hidangan makanan dalam sukatan yang kecil atau guna piring / pinggan yang kecil.
7) Apabila menghadiri jamuan ‘makan besar’, ambil hidangan dalam saiz yang kecil.
8) Nikmati makanan dan kunyah makanan secara perlahan-lahan.