Mengikis Rasa Malu Untuk Mengatasi Masalah Seksual

Perbincangan mengenai perkara ini sememangnya sangat sensitif di kalangan lelaki kerana ia juga membabitkan kesihatan seksual lelaki. Mereka mungkin boleh berbincang sesama teman lelaki mengenai masalah seksual, tetapi tidak dengan doktor.

Maka sering terjadi keadaan di mana masing-masing akan saling meneka dan memberikan pendapat mengenai cara memulihkan masalah yang dihadapi. Memburukkan keadaan apabila nasihat atau saranan kawan yang tidak bertauliah itu diambil kira juga sebagai ‘bantuan’.

Membincangkan topik ini dengan doktor lelaki, penulis sendiri berasakan ia adalah topik yang menarik. Apatah lagi dengan begitu banyak lambakan ubat penguat seksual yang kini dijual di pasaran. Ia diiklan dengan mudah manakala fakta penyokong masih tidak diketahui kesahihannya.

Secara teori, keinginan seksual lelaki tidak sukar untuk dirangsang. Bagi yang normal, mereka boleh terangsang melalui banyak cara. Melihat, membayang, menyentuh atau disentuh. Atau sekadar menghirup haruman yang dipakai oleh seorang wanita. Ia cukup mudah.

Namun bagaimana sekiranya semua yang disebut di atas tidak memberikan apa-apa kesan? Satu, ia berkaitan dengan keinginan sama ada mereka mempunyai keinginan terhadap seks atau sudah tertutup rapat. Dua, adakah kerana alat kelaminnya tidak lagi berfungsi?

Ia permasalahan berbeza dan bantuan yang diperlukan juga kemungkinan tidak sama – secara psikologi atau perubatan atau kedua-duanya sekali. Pakar perunding urologi Dr Christopher Ho Chee Kong berharap topik ini dapat diuar-uarkan memandangkan banyak mitos dan salah faham yang dikeluarkan mengenai masalah seksual lelaki.

Apabila berlaku, ramai yang mengambil jalan tidak betul, kononnya mahu berubat secara tradisional atau membeli ubat di tepi jalan tanpa mengetahui tentang isi kandungannya dan juga jaminan keselamatannya.

“Terkini terdapat pula idea baharu dengan menyucuk zakar dengan sejenis minyak yang didakwa boleh membantu mereka. Ia dikatakan adalah untuk membesarkannya. Apa yang terjadi, minyak itu sangat bahaya dan membuatkan zakar mereka menjadi teruk, hitam, membusuk dan sakit sehinggakan tidak boleh berjalan.

“Lelaki selalunya akan berasakan hidup mereka ‘musnah’ sekiranya tidak berjaya untuk berfungsi dalam hubungan kelamin. Ada pesakit yang berumur 80 tahun mahu mendapatkan rawatan kerana beristeri muda.

“Sebenarnya usia bukan penentu kepada masalah mati pucuk. Ada yang mengalaminya ketika masih muda. Ada juga kes yang datang kerana ‘paksaan’ isteri dan isteri ada bersama-sama, berharap masalah suaminya dapat dipulihkan,” katanya.