Masalah Anak Tidak Bekerjasama Dengan Kaedah Normal Rawatan Pergigian? (Bahagian 2)

Artikel ini merupakan sambungan daripada : Masalah Anak Tidak Bekerjasama Dengan Kaedah Normal Rawatan Pergigian? (Bahagian 1)

Advertisement

 

Sedasi Oral

  • Kanak-kanak yang tidak boleh memberi kerjasama dan sangat takut serta tidak dapat mengawal otot mereka untuk jangkamasa yang agak lama mungkin sesuai diberikan sedasi oral.
  • Ubat sedasi oral ini diberikan dalam bentuk pil, tablet atau pun cecair, sejurus selepas anak anda tiba di klinik.
  • Kaedah ini juga tidak membuat anak anda tidur sepenuhnya, tetapi hanya membuat mereka berasa lebih tenang dan rileks.

 

Apakah kelebihan sedasi oral?

  • Mudah dan cepat
  • Tidak mahal
  • Selamat jika mengikut dos yang ditetapkan

Apakah kekurangan sedasi oral?

  • Ubat atau dadah tersebut tidak boleh dititratkan
  • Lambat memberikan kesan
  • Dos yang tinggi dan pengambilan ubat-ubat lain bersamanya adalah meningkatkan risiko
  • Tiada ubat oral untuk proses berbalik

Sebelum temujanji anak anda;

  • Pakaikan anak anda dengan pakaian yang longgar dan selesa
  • Kurangkan makanan dan minuman beberapa jam sebelum sedasi. Berpuasa adalah lebih baik kerana ia dapat mengelakkan risiko muntah dan seterusnya tersedut muntah kedalam paru-paru.
  • Bersedia untuk bersama anak anda di sepanjang rawatan dan juga selepas rawatan.

 

 

Sedasi Intravena (IV)

Sedasi IV adalah satu kaedah di mana ubat sedasi dimasukkan ke dalam badan melalui saluran vena sepanjang rawatan pergigian. Proses ini hendaklah dilakukan dan dipantau oleh pegawai perubatan yang terlatih.

Apakah kelebihan sedasi IV?

  • Tindakbalas yang sangat cepat
  • Sangat berkesan dan pasti
  • Tahap sedasi yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan sedasi oral dan inhalasi
  • Tidak melibatkan penggunaan tiub saluran pernafasan
  • Agen berbalik mudah diberikan dan memberi kesan yang serta merta

Adakah sebarang kekurangan?

  • Bengkak setempat pada bahagian dimana jarum dimasukkan.
  • Proses pemulihan belum lengkap setelah rawatan pergigian selesai.
  • Kesukaran memasukkan jarum ke dalam saluran vena bagi mereka yang fobia terhadap jarum.

 

FAKTA MENGENAI SEDASI SEDAR

  • Bagi ketiga-tiga jenis sedasi sedar, tanda-tanda vital seperti kadar denyutan nadi, kadar pernafasan, tekanan darah, suhu badan dan tahap oksigen akan di pantau disepanjang rawatan oleh kakitangan yang bertauliah.
  • Berpuasa adalah amat penting sebelum menjalani rawatan sedasi sedar. Sesetengah jenis makanan mungkin akan menyebabkan kesan sampingan kepada sedasi seperti lambat bertindakbalas serta kesan yang berlainan.
  • Terdapat satu kesan sampingan kepada sedasi oral yang dipanggil “angry child syndrome”. Ia adalah kesan sampingan yang sangat jarang berlaku dan akan pulih seperti sediakala setelah kesan ubat sedasi itu habis.
  • Jangan bawa bersama anak-anak lain semasa temujanji sedasi.

 

Bius Umum

Terdapat keadaan dimana anak anda langsung tidak boleh memberi kerjasama untuk rawatan pergigian.

Ini adalah keadaan dimana samada anak anda terlalu kecil, atau seorang anak istimewa yang berkeperluan khas, yang mana komunikasi dan kerjasama adalah mustahil, atau pun apabila anak anda memerlukan banyak rawatan pergigian tetapi tidak dapat memberi kerjasama sepenuhnya. Untuk keadaan seperti ini, rawatan di bawah bius umum adalah yang terbaik.

Bius umum adalah satu keadaan dimana pesakit berada dalam keadaan tidak sedar dan bebas dari merasa kesakitan.

Walaupun kaedah ini mempunyai risiko tersendiri, ia membuatkan anak anda tidak sedar dan tidak tahu akan rawatan yang telah diberikan.

Siapakah yang memberikan bius?

Bius umum diberikan oleh Pakar Bius. Pakar Bius adalah doktor perubatan yang telah menjalani latihan khusus dan mereka mahir mengendalikan dan memantau pesakit yang diberikan bius umum.

Bius umum dimulakan dengan suntikan pada bahagian saluran vena di tangan. Adakalanya topeng muka juga diperlukan bagi memberi gas yang tertentu.

Pakar Bius tersebut akan berada disisi anak anda sepanjang rawatan diberikan dan akan memantau anak anda dengan teliti.

Setelah anak anda tidur apabila diberi ubat bius umum itu, rawatan pergigian akan dilakukan dan anak anda tidak akan mengingati sebarang rawatan apabila dia telah sedar.

Kenapa penting untuk berpuasa sebelum menjalani bius umum?

Kehadiran makanan atau cecair didalam perut anak anda semasa bius umum diberikan boleh menyebabkan makanan/cecair tersebut naik kebahagian belakang tekak dan seterusnya akan masuk ke dalam paru-paru.

Ini mungkin menyebabkan anak anda tercekik dan boleh menyebabkan kerosakan yang serius kepada paru-paru.

FAKTA MENGENAI BIUS UMUM

  • Doktor gigi hanya akan mengesyorkan kaedah bius umum untuk rawatan pergigian sekiranya betu-betul perlu.
  • Anak anda akan tidur di sepanjang rawatan.
  • Anak anda tidak akan mempunyai sebarang memori mengenai rawatan pergigian tersebut.
  • Anda perlu berada di hospital hampir seharian sehingga kesan bius umum tersebut hilang sepenuhnya dan hanya akan dibenarkan pulang setelah Pakar Bius mengesahkan anak anda selamat untuk dibawa pulang.
Advertisement