Penyenggara Ruang Membantu Senyuman Sempurna


- 29 Jan 17
View 146 : Today 1

Pengenalan

Advertisement

Terdapat dua set kegigian dalam manusia iaitu set gigi susu dan set gigi kekal. Gigi susu mula tumbuh biasanya pada usia enam bulan sehingga dua setengah tahun dan secara amnya kekal dalam rongga mulut sehingga berumur 11 hingga 12 tahun. Gigi susu juga dikenali sebagai gigi primer.

Terdapat dua puluh batang gigi susu dalam kegigian primer. Gigi susu akan longgar dengan sendirinya melalui proses normal yang dikenali sebagai ‘eksfoliasi’/ gigi luruh dan akan diganti dengan gigi kekal.

Gigi kekal yang pertama biasanya tumbuh pada usia 6 hingga 7 tahun bermula dengan gigi molar kekal pertama. Penggantian gigi susu biasanya akan berlaku di antara umur 6 hingga 12 tahun mengikut kronologinya. Walau bagaimanapun, gigi susu boleh hilang/perlu dicabut lebih awal atas beberapa faktor.

Close-up of little boy opening his mouth wide during inspection of oral cavity

Secara umum, fungsi gigi ialah untuk mengunyah, bertutur dan penampilan paras rupa. Selain itu, gigi susu juga bertindak sebagai panduan untuk pertumbuhan gigi kekal yang akan menggantikannya. Oleh itu, jika gigi susu hilang terlalu awal, gigi kekal akan kehilangan panduan tersebut. Ia boleh tersasar dan tumbuh ke kedudukan yang salah. Gigi bersebelahan juga boleh bergerak atau condong ke ruang yang ditinggalkan. Oleh itu, berkemungkinan mengakibatkan ruang untuk gigi kekal tumbuh tidak mencukupi.
Antara punca kehilangan awal gigi susu atau kehilangan gigi kekal adalah:

  • Perlu dicabut akibat karies yang teruk (sebab utama)
  • Akibat terjatuh / kemalangan / trauma
  • Gigi tiada sejak dilahirkan (kongenital)
  • Penyakit / keadaan

Kehilangan awal gigi susu atau kehilangan gigi kekal merupakan salah satu punca paling biasa menyebabkan kejadian maloklusi. Bagi mengekalkan ruang yang wujud, penyenggara ruang mungkin disyorkan.

Jika ruang tersebut tidak dipelihara, pergerakan gigi lain atau gigi kekal yang tumbuh boleh menyebabkan kesukaran untuk merawat kesesakan dan masalah ortodontik kemudian nanti. Penyenggara ruang hanya digunakan untuk sementara waktu dan tidak kekal. Ia dikeluarkan apabila gigi baru tumbuh atau gigi susu yang bertindak sebagai penampan mulai longgar serta menunjukkan tanda-tanda eksfoliasi.

Petunjuk Pemakaian

Walau bagaimanapun tidak semua ruang memerlukan penyenggara ruang. Sekiranya melibatkan gigi hadapan, aplian separa boleh tanggal (Rajah 1) boleh diletakkan untuk menggantikan gigi atas sebab kosmetik. Berikut merupakan antara indikasi dan kontraindikasi untuk pemakaian penyenggara ruang:

Indikasi:

  • Jika ruang menunjukkan tanda-tanda untuk tertutup.
  • Jika penggunaan ruang penyenggara akan membuat rawatan ortodontik pada masa akan datang menjadi kurang rumit.
  • Jika tiada keperluan untuk rawatan maloklusi pada masa akan datang.
  • Apabila ruang perlu dikekalkan selama dua tahun atau lebih.
  • Untuk mengelakkan pertumbuhan berlebihan gigi bertentangan.
  • Untuk menambahbaik sistem pengunyahan dan memulihkan kesihatan pergigian.

Kontraindikasi:

  • Jika radiograf menunjukkan bahawa gigi kekal pengganti akan tumbuh tidak lama lagi.
  • Jika radiograf menunjukkan satu pertiga daripada akar sudah terbentuk.
  • Apabila terdapat ruang yang lebih besar daripada keperluan untuk gigi kekal.
  • Jika ruang yang ada tidak menunjukkan tanda akan tertutup.
  • Apabila gigi kekal pengganti tidak wujud.
Dental tools and equipment

Jenis – Jenis

Terdapat banyak jenis penyenggara ruang. Ia boleh dikelaskan mengikut;

  1. Fungsi:
    • Fungsi
    • Tidak berfungsi
  2. Aktiviti:
    • Aktif
    • Pasif
  3. Retensi:
    • Tetap, komplian pesakit yang baik tetapi tidak dapat menghalang gigi sebelah berputar atau menjadi condong.
    • Boleh tanggal, sesuai untuk kehilangan gigi hadapan tetapi bergantung kepada komplian pesakit.
  4. Kedudukan:
    • Unilateral, biasanya menggantikan satu gigi.
    • Bilateral, biasanya disimen dengan jalur pada gigi belakang di kedua-dua belah mulut. Jalur dihubungkan dengan wayar di belakang gigi kacip. Paling berguna jika terdapat lebih daripada satu gigi hilang atau untuk menghalang gigi kacip daripada menjadi condong.
  5. Bahan:
    • Logam
    • Plastik

Pemilihan penyenggara ruang bergantung kepada beberapa faktor seperti peringkat tumbesaran kanak-kanak, rahang mulut yang terlibat, gigi yang hilang serta status gigi bersebelahan dengan gigi hilang. Penyenggara ruang yang biasa digunakan adalah;

  • Band and Loop (Rajah 2), yang paling biasa digunakan, jenis tetap, unilateral, digunakan pada gigi belakang
  • Crown and Loop (Rajah 3), korona keluli tahan karat digunakan sebagai penampan yang lebih kuat dari Band and Loop, kegagalan akibat penyimenan adalah kurang, pilihan yang sangat baik jika gigi perlukan pemulihan
  • Lingual Arch HoldingAppliance (Rajah 4), gigi kacip rahang bawah sering tumbuh di bahagian lingual dan ditolak ke hadapan oleh lidah, tidak sesuai digunakan pada gigi kacip primer
  • Nance Palatal Holding Appliance (Rajah 5), sejenis aplian rahang atas yang mudah tetapi tidak bersentuhan dengan gigi anterior
  • Transpalatal (Rajah 6), digunakan seperti Nance, kurang kerengsaan tisu dan lebih mudah dibersihkan, namun kemungkinan berlaku peralihan gigi kerana kekurangan penahan di bahagian anterior.
  • Distal Shoe (Rajah 7), digunakan apabila gigi molar kedua primer perlu dicabut dan sebelum gigi molar pertama kekal tumbuh dalam rongga, ia akan diganti dengan penyenggara lain apabila gigi molar pertama kekal tumbuh.
  • Removable Unilateral (Rajah 8), aplians ini terlalu kecil dan tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana berisiko tertelan atau tersedut dalam paru-paru.
  • Kombinasi Band and Loop & Crown and Loop dalam rahang yang sama(Rajah 9), satu combinasi penyenggara ruang unilateral di kedua-dua sebelah rahang

 

Rajah 1: Removable Partial
Rajah 2: Band and Loop
Rajah 3: Crown and Loop
Rajah 4: Lingual Arch Holding
Rajah 5: Nance’s Palatal Holding
Rajah 6: Transpalatal
Rajah 7: Distal Shoe
Rajah 8: Removable Unilateral
Rajah 9: Kombinasi Band and Loop & Crown and Loop dalam rahang yang sama
(Sumber gambar : https://depts.washington.edu)

 

Penjagaan

Pemakaian penyenggara ruang boleh menyebabkan rasa tidak selesa untuk satu tempoh yang singkat. Menelan, makan serta bercakap menjadi sukar dan lidah merasa terganggu sehinggalah ia menjadi kebiasaan.

Pemeriksaan secara berkala adalah perlu untuk memantau pertumbuhan gigi kekal, tumbesaran rahang dan kesihatan gigi. Penyenggara ruang mungkin perlu diselaras mengikut pertumbuhan gigi kekal. Dalam keadaan tertentu, penyenggara ruang perlu diubahsuai atau dibuat lain mengikut masa, urutan dan kedudukan gigi yang tumbuh.

Sebagai Peringatan

  1. Untuk mencegah kaviti daripada terbentuk di sekitar gigi, penjagaan yang lebih teliti perlu dilakukan bagi memastikan bahawa gigi diberus dan diflos setiap hari.
  2. Untuk mengelakkan kehilangan atau kerosakan pada penyenggara ruang, perkara berikut perlu dijauhi:
    • Gula-gula getah
    • Gula-gula yang melekit, karamel
    • Menggigit sesuatu yang keras seperti epal, lobak merah dan ais
    • Menarik atau menolak penyenggara ruang menggunakan jari, lidah atau objek lain seperti pen atau pensil
    • Jika penyenggara ruang menjadi longgar atau pecah, hendaklah segera berjumpa dengan doktor gigi kerana risiko tertelan atau tersedut ke dalam paru-paru.
  3. Sekiranya penyenggara ruang hilang, gigi bersebelahan akan bergerak. Keadaan boleh menjadi lebih teruk dan rawatan yang lebih sukar serta mahal mungkin diperlukan untuk membetulkan keadaan ini.

Rujukan

  1. https://depts.washington.edu/peddent/AtlasDemo/space010.html
  2. Goenka P, et al. Simple Fixed Functional Space Maintainer. International Journal of Clinical Pediatric Dentistry  2014;7(3):225-228
  3. Barberia E, Lucavechi T. Free-end Space Maintainers:Design Utilisation and Advantages. J Clin Pediatr Dent. 2006; Fall; 31(1):5-8

 

Advertisement