Masalah Seksual Lelaki Dijangka Meningkat?

MASALAH kesihatan seksual yang kerap dialami oleh kaum lelaki dijangka akan meningkat berikutan dengan kadar penyakit kronik yang semakin tinggi di negara ini.

Advertisement

Ketua Jabatan Perubatan Keluarga Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Shaiful Bahari Ismail menyatakan bahawa antara masalah kesihatan seksual dan reproduktif lelaki yang kerap berlaku termasuk ejakulasi pramatang, disfungsi ereksi, sindrom kekurangan hormon testosteron dan juga infertiliti (kemandulan) akibat faktor lelaki.

Dr Shaiful berkata, ia berikutan sikap kaum Adam yang kurang cenderung untuk mendapatkan rawatan secara berkala di hospital terutama berkaitan dengan penyakit kronik seperti diabetis, tekanan, jantung, kolestrol tinggi dan obesiti yang sebenarnya berkait rapat dengan risiko masalah seksual lelaki.

“Begitu juga dengan amalan merokok yang sememangnya mempunyai kesan secara langsung kepada masalah seksual dengan kajian pada 2005 menunjukkan hampir 48 peratus lelaki di negara ini telah pun mengalami masalah seksual.

“Bila kadar penyakit kronik ini meningkat saya jangkakan masalah seksual juga akan turut meningkat walaupun belum ada data terkini yang menunjukkan peningkatan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran bukunya yang bertajuk Masalah Seksual Lelaki Dalam Kesejahteraan Suami Isteri di HUSM Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir sama, Timbalan Naib Cancelor USM Prof Datuk Dr Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Abang Salehuddin Abang Shakeran.

Dr Shaiful berkata, isu dan cabaran itu perlu untuk ditangani secara bersama oleh semua pihak bagi memastikan wujud kesejahteraan terutamanya dalam hubungan suami isteri sekali gus untuk mengelakkan perkara tersebut menjadi salah satu daripada punca perceraian yang semakin banyak di negara ini.

Terdahulu Dr Shaiful menyampaikan syarahan umum yang bertajuk Kesihatan Lelaki di Malaysia: Perkembangan, Isu dan Cabaran sementara isterinya Prof Datin Dr Nik Hazlina Nik Hussain membentangkan Kesihatan Wanita di Malaysia: Perkembangan, Isu dan Cabaran.

Advertisement