Madu Tualang Berkesan Atasi Masalah Tulang Rapuh

Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati bahawa madu tualang sangat berkesan dalam membantu masalah osteoporosis (tulang rapuh) dalam kalangan wanita menopause (putus haid),setanding dengan ubat moden.

Advertisement

Timbalan Dekan (Bahagian Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof. Dr. Rosline Hassan berkata, penemuan itu juga hasil dari kajian yang berlangsung sejak 2006 melibatkan sekumpulan wanita yang berusia 45 tahun dan ke atas.

“Kami membuat satu perbandingan antara wanita yang diberikan madu tualang secara konsisten iaitu sebanyak 20 gram sehari selama empat bulan dengan wanita yang hanya bergantung kepada pengambilan ubat moden.

“Kajian mendapati madu tualang mempunyai kebaikan yang hampir sama dengan ubat moden dari segi ketumpatan tulang,” katanya kepada Bernama di luar Koloquium mengenai Kajian Produk Semulajadi dalam Kesihatan, di USM Kubang Kerian di sini hari ini.

Dr. Rosline berkata, kajian sama turut dilakukan ke atas perokok dan dia juga mendapati tahap keracunan dalam tubuh mereka semakin berkurangan selepas mengambil madu tualang sebanyak 20 gram sehari selama tiga bulan berturut-turut.

“Pembuktian secara saintifik ini telah menunjukkan produk semulajadi mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu untuk terus diterokai oleh para penyelidik negara khususnya penyelidik USM dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan produk semulajadi terutama madu tualang perlu untuk ditekankan bagi memastikan ubat-ubatan tradisional kita akan terus terpelihara dari segi kualiti serta selamat untuk digunakan.

Diharap perkongsian di atas memberikan manfaat serta membantu anda dalam kehidupan seharian. Tidak sangkakan khasiat madu ternyata boleh dipelbagaikan malah setanding dengan ubatan moden yang terdapat di pasaran.

Advertisement