Penyalahgunaan Dadah dalam Sukan (Bahagian 1)

Apakah isu-isu yang melibatkan dadah dan sukan?

  • Penggunaan drug untuk meningkatkan tahap keupayaan sukan bukan sahaja menyebabkan kesan sampingan yang buruk tetapi boleh membawa maut kepada ahli-ahli sukan tahun demi tahun.
  • Dalam tahun 1967, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah bersetuju untuk mengharamkan atau menghadkan penggunaan sesetengah bahan atau kaedah yang boleh meningkatkan tahap keupayaan atlit.
  • Atlit berisiko disingkirkan dari menyertai pertandingan sekiranya didapati positif mengambil dadah terlarang melalui ujian secara rambang. Mereka juga akan merana akibat kesan drug samada secara jangka pendek dan panjang.

 

Apakah maksud Drug?

Drug adalah merupakan sesuatu bahan (selain daripada makanan) yang apabila diambil, akan menyebabkan perubahan dalam badan. Jika perubahan itu memberi manfaat kepada badan, drug ini disebut sebagai ubat.

Sekiranya perubahan ini membawa keburukan kepada badan, ianya disebut sebagai racun.

 

Apakah ‘doping’?

‘Doping’ adalah penggunaan bahan atau kaedah yang diharamkan untuk meningkatkan prestasi sukan oleh atlit.

‘Doping’ secara tidak sengaja berlaku apabila atlit mengambil ubat untuk merawat sesuatu penyakit dan tanpa disedari ubat berkenaan mengandungi bahan yang dilarang.

Atlit-atlit tertakluk kepada polisi melarang ‘doping’ dan bertanggungjawab untuk menyemak status bahan-bahan dan ubat-ubatan yang diambil.

Kenapa sesetengah bahan dan kaedah diharamkan?

Alasan diharamkan melibatkan beberapa isu:

  • Kesihatan – Banyak bahan boleh menyebabkan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan jika tidak digunakan dengan betul.
  • Etika – Di dalam sesetengah keadaan bahan-bahan dan kaedah-kaedah yang diharamkan boleh meningkatkan tahap keupayaan atlit melebihi tahap biasa.
  • Undang-Undang – Sesetengah drug adalah haram dan dengan itu penggunaannya adalah dilarang dalam sukan.

 

 

Apakah polisi penyalahgunaan drug dalam sukan di Malaysia?

Strategi yang diambil bertujuan untuk :

  • Pencegahan
  • Pembasmian :
    • Salah laku dan penyalahgunaan dadah
    • Sikap dan kebiasaan yang cenderung ke arah doping
  • Memantau :
    • Ujian doping di luar pertandingan
    • Parameter latihan dan tahap keupayaan

 

Sambungan : Penyalahgunaan Dadah dalam Sukan (Bahagian 2)