Cecair Di Telinga Tengah

Cecair di telinga tengah adalah cecair yang terkumpul di belakang gegendang telinga, dalam istilah bahasa inggeris di panggil “middle ear effusiom” atau “glue ear”.

Telinga manusia terdiri daripada tiga bahagian, iaitu Telinga Luar, Telinga Tengah dan Telinga Dalam.

Telinga tengah adalah satu rongga kecil yang berisi udara dan mengandungi beberapa struktur penting iaitu tulang telinga dan saraf kranial Facial (NVII). Saluran Eustachian (Eustachian Tube) menghubungkan telinga tengah dengan nasofarinks dan berfungsi untuk pengudaraan telinga tengah. Ia dipisahkan dari telinga luar oleh gegendang telinga.

 

Bahagian telinga tengah memainkan peranan penting untuk menyalurkan bunyi dari bahagian luar ke telinga dalam. Ia akan memperkuatkan gelombang bunyi yang mana akan ditukar kepada gelombang elektrik di bahagian telinga dalam.

Fungsinya akan terjejas sekiranya terdapat cecair di bahagian telinga tengah yang menghalang (pengaliran) gelombang bunyi. Ini akan menyebabkan pesakit mengalami masalah kurang pendengaran konduktif. Di dalam bidang perubatan ianya dikenali sebagai Otitis Media with Effusion (OME). Ia boleh berlaku samada pada sebelah atau kedua-dua belah telinga.

Pengumpulan cecair ditelinga tengah adalah satu gejala yang kerap terjadi dikalangan kanak-kanak. Satu kajian dikalangan kanak-kanak tadika menunjukkan kadar prevalen kanak-kanak OME adalah 18.3%.

 

Gejala ini juga kerap berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai anomaly kraniofasial termasuk kanak-kanak yang mempunyai lelangit terbelah dan kanak-kanak Down Syndrom.

Satu kajian di negara ini mendapati bahawa insiden OME dikalangan kanak-kanak yang mempunyai lelangit terbelah adalah 57.6%

Keadaan ini juga boleh berlaku kepada orang dewasa walaupun kekerapannya adalah kurang berbanding dengan kanak-kanak. Jika keadaan ini berlaku pada sebelah telinga sahaja, pemeriksaan hidung dan nasofaring mesti dilakukan untuk memastikan tiada ketumbuhan disebabkan oleh barah di bahagian nasofarinks (nasophyaryngeal carcinoma).

 

Gambar cecair ditelinga tengah

ETIOLOGI

Pengumpulan cecair di telinga tengah boleh berlaku oleh beberapa sebab:

  1. Selepas jangkitan akut di telinga tengah (Acute Suppurative Otitis Media). Selalunya jangkitan kuman ditelinga tengah akan sembuh sepenuhnya jika menerima rawatan sewajarnya, namun cecair boleh terkumpul ditelinga tengah walaupun jangkitan kuman telah hilang.
  2. Masalah pengudaraan ditelinga tengah kerana tiub Eustachian (Eustachian Tube) tersumbat atau tidak berfungsi dengan baik, seperti masalah lengait terbelah atau barah pada bahagian nasofarinks.
  3. Jangkitan selsema.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok, yang tidak disusu dengan susu badan, mempunyai hidung tersumbat dan kanak-kanak yang mempunyai kecacatan kraniofasial seperti lelangit terbelah atau Down Syndrome mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini berbanding kanak-kanak lain.

 

 

TANDA DAN GEJALA

Tanda utama cecair di telinga tengah ialah kurang pendengaran. Jika ia berlaku dikalangan kanak-kanak satu tanda yang kerap dilihat ialah kanak-kanak menonton tv atau mendengar dengan menguatkan bunyi yang kuat dari biasa.

Beberapa kajian yang dijalankan di dalam dan di luar negara menunjukkan kanak-kanak yang mengidap OME mempunyai pencapaian sekolah yang tidak memuaskan kerana masalah pendengaran yang dialami mereka yang menyebabkan mereka tidak mengikut pelajaran dengan baik.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah cecair di telinga tengah kadang-kadang boleh mendapat masalah keseimbangan, kurang memberi perhatian dan mempunyai masalah pertuturan.

Kanak-kanak yang mempunyai gejala sakit telinga yang berulang, kerap mendapat jangkitan akut kuman pada telinga tengah perlu diperiksa untuk memastikan ianya tidak disebabkan oleh pengumpulan cecair ditelinga tengah.

Pengumpulan cecair ditelinga tengah dapat dikesan dengan pemeriksaan otoskopi atau mikroskop yang dilakukan oleh doktor.

Ujian pendengaran yang dilakukan oleh pegawai audiologis boleh mengesan perubahan tekanan ditelinga tengah dan tahap kurang pendengaran yang dihidapi oleh pesakit.

Jika pengumpulan cecair ditelinga tengah dialami oleh pesakit dewasa pada sebelah telinga sahaja, pesakit akan mengadu telinga berdesing, kurang sebelah pendengaran atau dikeduanya sekali. Pemeriksaan perlu dilakukan oleh pakar otorinolaringologi.

 

 

Gambar telinga tengah kembali normal setelah pembedahan kecil pada gegendang telinga myringotomy and grommet insertion)

RAWATAN

Lebih dari separuh kes pengumpulan cecair di telinga tengah di kalangan kanak-kanak akan sembuh dengan sendirinya selepas 3 bulan. Setengah ubat-ubatan seperti ubat semburan hidung yang mengandungi steroid boleh digunakan untuk merawat keadaan ini dalam jangka masa pendek.

Kajian mendapati beberapa ubatan yang biasa digunakan didapati tidak berkesan untuk merawat keadaan ini termasuk pengunaan ubat steroid secara oral, semburan hidung yang mengandungi steroid yang digunakan berterusan, anti biotik, antihistamin, autoinflation atau ubatan homeopathy.

Jika keadaan ini berterusan selepas 3 bulan, pembedahan kecil boleh dilakukan pada gegendang telinga.

Satu torehan kecil perlu dibuat pada gegendang bagi mengeluarkan cecair untuk memastikan pengudaraan berterusan dan satu tiub berongga kecil diletakkan pada gegendang (rujuk gambar rajah).

Meletakkan tiub kecil grommet (myringotomy with grommet insertion) perlu dilakukan untuk mengeluarkan cecair tersebut dan mengembalikan semula pengudaraan telinga tengah supaya komplikasi seperti kurang pendengaran yang berterusan dan cholesteatoma dapat dielakkan.