Kepentingan Dan Ketoksikan Vitamin C


- 27 Feb 17
View 553 : Today 1

Vitamin C, juga dikenali dengan nama saintifiknya – asid askorbik, adalah sejenis vitamin larut air. Ia tidak disimpan dalam jumlah yang besar dalam badan – sebarang lebihan akan dikumuh melalui air kencing. Sesetengah haiwan berkeupayaan menghasilkan vitamin C tetapi manusia perlu mendapatkan vitamin ini daripada makanan atau suplemen kesihatan yang diambil secara oral.

Advertisement

Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber terbaik vitamin C:

  1. Buah-buahan: Jambu batu, betik, buah sitrus (seperti oren dan limau gedang), kiwi dan strawberi.
  2. Sayur-sayuran: brokoli dan tomato.

 

 

Kepentingan vitamin C

Vitamin C adalah penting untuk pelbagai fungsi fisiologi seperti pembentukan kolagen – sejenis protein yang memberikan struktur kepada tulang, rawan, otot dan saluran darah. Selain itu, vitamin C juga dikenali sebagai antioksida semula jadi yang membantu melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.

Manusia yang kekurangan vitamin C, tidak boleh menggantikan kolagen di dalam badan mereka.

Dengan itu, pelbagai jenis tisu dalam badan menjadi rosak dan ini membawa kepada penyakit skurvi (gusi yang bengkak berdarah dan kemerahan, penyembuhan luka lambat serta kehilangan gigi).

Pada masa kini, kekurangan vitamin C dan skurvi adalah jarang berlaku. Gejala kekurangan vitamin C hanya berlaku jika pengambilan vitamin C adalah kurang daripada kira-kira 10 mg / hari untuk beberapa minggu.

Dos harian vitamin C (Malaysia)

Kumpulan
Umur
Keperluan Harian (mg/hari)
Bayi
0-5 bulan
25 mg
6-11 bulan
30 mg
Kanak-kanak
1-6 tahun
30 mg
7-9 tahun
35 mg
Remaja
10-18 tahun
65 mg
Dewasa
70 mg
Wanita mengandung
80 mg
Wanita menyusu
85 mg

 

Faedah Kesihatan

Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa vitamin C mungkin berkesan untuk:

  • Kanser. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan vitamin C yang tinggi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan risiko mendapat kanser tetapi vitamin C daripada suplemen kesihatan tidak membawa manfaat ini.
  • Selesema. Vitamin C adalah suplemen kesihatan yang popular untuk selesema. Namun, semakan pelbagai kajian berkaitan vitamin C mendapati tiada bukti bahawa vitamin C adalah berkesan untuk mencegah selesema. Walau bagaimanapun, pengambilan vitamin C secara tetap boleh mengurangkan tempoh dan keterukan selesema. Malangnya, penggunaan vitamin C selepas jangkitan selesema tidak mempunyai kesan yang sama.
  • Masalah penglihatan golongan tua (Age – related macular degeneration; AMD). Satu kajian besar yang melibatkan golongan tua dengan AMD mendapati kumpulan yang mengambil vitamin C dengan zink, vitamin E, beta karotena dan copper lebih lambat kehilangan penglihatan (advanced AMD) berbanding mereka yang tidak mengambil suplemen kesihatan tersebut di atas.

 

 

Kesan sampingan

Secara umumnya, vitamin C adalah SELAMAT diambil dalam dos yang disyorkan. Kesan sampingan yang biasa ialah loya, cirit-birit dan kekejangan perut.

Namun, pengambilan dos vitamin C yang tinggi (> 2000mg) untuk jangkamasa pangjang adalah tidak disarankan

 Ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius seperti cirit-birit yang teruk dan pembentukan batu dalam buah pinggang (yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang).

Kumpulan
Umur
Dos Maksima (mg/hari)
Bayi
Tidak dapat ditentukan; sumber sepatutnya daripada susu dan makanan sahaja.
Kanak-kanak 1-3 tahun 400 mg
4-8 tahun 650 mg
9-13 tahun 1200 mg
Remaja 14-18 tahun 1800 mg
Dewasa > 19 tahun 2000 mg
Wanita mengandung dan menyusu 14-18 tahun 1800 mg
> 19 tahun 2000 mg

Perhatian

Bagi pesakit dengan penyakit darah seperti:

  1. Kekurangan Glukosa 6-fosfat dehidrogenase (G6PDH); Dos vitamin C yang tinggi boleh menyebabkan hemolisis (kemusnahan sel darah merah).
  2. Hemochromatosis (keadaan yang menyebabkan badan menyimpan terlalu banyak zat besi); Dos vitamin C yang tinggi boleh memburukkan lagi pengumpulan zat besi (rujuk interaksi).

 

Interaksi

Vitamin C boleh:

  1. Mengurangkan keberkesanan ubat untuk rawatan kanser, HIV / AIDS dan ubat bagi menurunkan paras kolesterol.
  2. Meningkatkan penyerapan zat besi. Bagi pesakit yang memerlukan suplemen kesihatan zat besi (contohnya: wanita hamil), ia adalah disyorkan bahawa suplemen kesihatan zat besi diambil bersama-sama dengan vitamin C.

Nasihat kepada pengguna

  1. Makanan (buah-buahan dan sayur-sayuran) adalah sumber vitamin C yang terbaik.
  2. Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi anda sebelum mengambil suplemen kesihatan vitamin C, terutamanya pengambilan dos yang tinggi.
  3. JANGAN mengambil vitamin C tambahan jika anda mempunyai:
    1. masalah batu karang yang berulang
    2. penyakit buah pinggang atau menjalani hemodialisis kronik
    3. penyakit darah (kekurangan G6PDH dan hemochromatosis)

Advertisement