Berjudi

Apakah itu berjudi?

Berjudi membawa maksud mengambil bahagian dalam aktiviti atau permainan yang mana seseorang bertaruh wang atau barang berharga dengan tujuan mengaut keuntungan dari segi wang atau bahan lain.

Kenapa seseorang berjudi?

Kebanyakan remaja berjudi untuk keseronokan. Ramai juga yang berbuat demikian kerana bosan atau disebabkan kesunyian.

Adakah berjudi itu bahaya?

Berjudi kerap memberi keseronokan. Ia dianggap selamat jika seseorang berjudi dengan nilai wang atau barang yang rendah. Ramai yang mungkin berpendapat tindakan berjudi langsung tiada kesan negatif. AWAS. Jika berterusan ianya boleh memudaratkan.
Berjudi secara berterusan boleh menyebabkan ketagihan berjudi sama seperti ketagihan terhadap rokok, dadah atau arak.

INGAT: aktiviti berjudi yang pada mulanya cuma untuk berseronok boleh membawa kepada ketagihan yang serius dan membawa padah. Kecil-kecil lama-lama menjadi bukit

Anda perlu sedar dan berhati-hati dengan risiko ketagihan.

Remaja yang berjudi berdepan dengan risiko-risiko berikut:

  • Ketagihan arak

  • Penggunaan dadah berbahaya

  • Kerungsingan serta keinginan membunuh diri

  • Masalah persekolahan seperti ponteng dan pelajaran merosot

  • Keganasan

  • Aktiviti seksual berisiko tinggi

  • Konflik keluarga

  • Masalah pergaulan dengan rakan

  • Masalah kewangan

Anda mungkin berdepan dengan rakan-rakan yang mungkin ketagihan berjudi. 

Tanda-tanda ketagihan berjudi:

  • Kerap meminta wang atau meminjam wang dari rakan atau ahli keluarga

  • Menyimpan alat-alat perjudian

  • Ponteng sekolah atau keluar rumah tanpa sebab.

  • Perubahan kelakuan seperti cepat marah, cepat sedih atau kurang tumpuan dalam matapelajaran

  • Perbualan dengan rakan kerap berlegar dalam subjek berjudi

  • Kerap bermain permainan video yang mirip perjudiaan

  • Pencapaiaan akademik semakin merosot

  • Mencuri barang dari rumah dan sekolah

 

Bagaimana anda boleh keluar dari perangkap ketagihan berjudi?

Apabila anda sedar akan masalah ketagihan anda, SEGERA dapatkan bantuan dari orang yang boleh dipercayai.  Contohnya ahli keluarga, rakan sekolah, jurulatih sukan, guru sekolah atau guru agama. Mungkin anda merasa boleh meyelesaiakan masalah ketagihan dengan usaha sendiri. TETAPI tidak salah untuk mendapatkan bantuan

Mula catitkan aktiviti perjudiaan anda supaya anda menyedari keseriusan masalah anda.

Catatkan jumlah wang yang habis dengan berjudi supaya anda sedar tentang pembaziran yang telah berlaku

Cuba tulis secara ikhlas perasaan anda sebelum dan selepas berjudi.Ini akan membantu anda “mencermin diri” atau refleksi diri.

Lakukan aktiviti alternatif seperti aktiviti sukan.

Cuba pelbagaikan aktiviti-sukan serta permainan dan pilih yang paling digemari. Boleh juga mencari thobi yang sesuai.

Yakin dengan diri sendiri. Anda boleh mengatasi masalah ketagihan judi dengan tekad dan usaha yang berterusan