Isteri Boros, Suami Kedekut

Ada isteri menuduh suaminya kedekut manakala suami pula menuduh isteri boros menggunakan wang suami.

Kalau suami dan isteri saling melempar tuduhan bahawa pasangannya kedekut atau pemboros, siapa betul?

Masalah begini sering berlaku dalam rumah tangga sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam hubungan.

Masing-masing menegakkan benang basah walaupun mengetahui sikap itu tidak disenangi pasangan.

Perlu diketahui bahawa di antara hak isteri yang paling utama ialah memberikannya nafkah.

Menafkahi isteri adalah bentuk ibadah paling besar yang boleh dilakukan seorang hamba-Nya.

Nafkah itu sendiri mencakupi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan segala yang diperlukan oleh isteri baik jasmaninya mahu pun rohaninya.

Namun masih kedengaran, ada isteri mengeluh kerana suami dianggap kurang dalam menafkahinya.

Allah SWT berfirman bahawa lelakilah yang berkewajipan memenuhi keperluan wanita. Itu catatan pertama.

Oleh sebab itu, lelaki juga memiliki hak kepemimpinan dan keutamaan dibandingkan wanita, kerana lelaki jugalah yang memberi nafkah kepada mereka, dalam bentuk mahar atau wang belanja. Allah berfirman:

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”

Banyak dalil-dalil daripada kitab, sunah yang sahih dan ulama yang menyebut mengenai kewajipan pemberian nafkah dan tanggungjawab itu terletak di bahu lelaki yang bergelar suami dan ayah.

Dalam hadis Muawiyyah in Hidah disebutkan bahawa dia berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah: “Apa hak seorang isteri terhadap diri suaminya?” Baginda menjawab:

“Hendaknya  kamu memberi makan sebagaimana kamu makan, dan memberi pakaian sebagaimana kamu berpakaian, janganlah kamu menjelikkan  wajahnya dan jangan kamu memukulnya.” (HR. Abu Dawud  & Ibnu Majah)

Hadis ini menjelaskan bahawa memberi makan dan menyediakan pakaian adalah wajib. Kewajiban itu tentu tergantung kemampuan suami.

Namun kerana Nabi S.A.W telah menjadikan itu sebagai hak isteri terhadap suaminya, maka adalah wajib hukumnya, ada ataupun tidak.

Maksudnya, ketika suami tidak mampu memberikan nafkah kepada isterinya, nafkah itu menjadi hutang yang harus ditunaikan pada waktu lain sebagaimana kewajipan-kewajipan lain.