Kenyataan Akhbar : Selsema Burung H1N1


- 20 Mar 17
View 298 : Today 1

Berdasarkan maklumat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan pada 5 Mac 2017 berkaitan kejadian Selsema Burung yang berlaku di Kg. Pulau Tebu Tunjong, Kota Bharu Kelantan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah segera menggerakkan aktiviti pencegahan dan kawalan bagi mengelakkan jangkitan penyakit tersebut kepada manusia. Sehingga 5:00 petang 9 Mac 2017, tiada kes H5N1 dilaporkan di kalangan manusia.

Advertisement

 

Aktiviti pencegahan dan kawalan dilakukan berdasarkan Garispanduan Pengurusan Avian Influenza, 2004, Kementerian Kesihatan Malaysia. Aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dilakukan dalam lingkungan 300 meter radius dari tempat kejadian ayam mati di Kg Pulau Tebu. Sehingga 9 Mac 2017, sebanyak 58 rumah dilawati melibatkan 235 orang penduduk, 21 anggota kesihatan dan 45 anggota DVS.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh (7) kes mengalami gejala dan telah diisolasikan di hospital berhampiran. Enam (6) orang merupakan anggota Makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mengalami gejala ringan dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Tumpat pada 5 Mac 2017 dan telah disahkan negatif penyakit selsema burung. Kesemuanya telah discaj pada 6 Mac 2017 dan berada dalam keadaan sihat serta tidak bergejala. Manakala seorang (1)penduduk kampung telah dimasukkan ke wad isolasi HUSM pada 8 Mac 2017 dalam keadaan stabil. Keputusan ujian makmal pada 9 Mac 2017 bagi penduduk tersebut, disahkan negatif H5N1 dan positif bagi Influenza B. Justeru itu, sehingga 5:00 petang 9 Mac 2017, TIADA kes H5N1 di kalangan manusia.

 

Aktiviti promosi kesihatan berkaitan penyakit selsema burung telah dipergiatkan di kawasan dalam lingkungan satu (1) kilometer radius dari tempat kejadian. Sehingga 9 Mac 2017, sebanyak 368 edaran risalah, 172 edaran Health Alert Card, 122 sesi perbincangan kecil yg melibatkan 464 penduduk, 255 sesi tunjuk cara yang melibatkan 620 penduduk, 373 nasihat individu, 88 hebahan awam dan 16 tampalan poster dilakukan dalam lingkungan 1 km dari tempat kejadian.

Bagi pengesanan awal kejadian kes dalam kalangan manusia, semua fasiliti kesihatan juga telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan ke atas kes-kes Infuenza like illness dan kes jangkitan respiratori yang datang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan. Anggota kesihatan juga telah diminta untuk meningkatkan prosidur kawalan jangkitan infeksi di fasiliti kesihatan.

 

Semua anggota Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menggunakan alat perlindungan diri yang lengkap semasa menjalankan aktiviti di lapangan. Status kesihatan anggota ini dipantau setiap hari bagi memastikan tiada jangkitan dalam kalangan anggota yang menjalankan aktiviti di lapangan. Sehingga 9 Mac 2017 ke semua petugas yang terlibat daripada kalangan petugas Kesihatan, petugas Veterinar dan dari agensi-agensi lain yang terlibat adalah berada dalam keadaan sihat.

Tanda-tanda dan gejala penyakit Selsema Burung adalah demam tinggi (melebihi 38oC), sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi atau letih lesu.

 

Orang ramai dinasihatkan agar:

  • Segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan jika mengalami gejala dan terdedah kepada ayam mati yang disahkan positif atau kejadian unggas mati yang luar biasa;
  • Amalkan pengendalian unggas yang baik seperti memakai penutup mulut dan hidung, sarung tangan, apron dan kasut but;
  • Bagi penyembelih ayam, penjual ayam dan pemproses daging ayam, mereka hendaklah juga sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, apron, sarung tangan getah atau plastik dan kasut but getah kalis air; dan
  • Amalkan tabiat membasuh tangan dengan air yang bersih dan sabun.

Sekian terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

10 Mac 2017

Advertisement