Kunci Lelaki Memahami Wanita (Bahagian 2)


- 12 Feb 18
View 193 : Today 1

Artikel ini adalah sambungan daripada artikel Kunci Lelaki Memahami Wanita Bahagian 1

Advertisement

Jangan Tawarkan Penyelesaian Serta Merta
Apabila lelaki mendengar sesuatu masalah, biasanya perkara pertama yang dia lakukan ialah dengan menawarkan penyelesaian masalah. Bagi ramai wanita, perkara pertama yang mereka mahukan sebenarnya ialah seseorang yang sudi mendengar luahan perasaan mereka dan barulah kemudiannya memberi cadangan kepada isu mereka. Jangan gopoh untuk menjadi penyelamat tetapi jadilah pendengar yang baik kepada mereka terlebih dahulu.

Emosi Sebenar Diluah Melalui Pertengkaran
Jika kekasih, isteri, ibu, rakan sekerja atau mana-mana wanita marah terhadap anda, dengar dengan teliti apa yang dia katakan semasa pertengkaran. Anda mungkin tidak sanggup mendengarnya, tetapi apa yang diluahkan ketika marah biasanya adalah perasaan sebenar yang terbuku di dalam hati mereka. Mungkin mereka rasa tidak dihargai atau tidak dipedulikan. Ambil inisiatif untuk memahami perasaan mereka melalui pertengkaran.

Wanita Biasanya Tidak Berniat Mengungkit
Banyak terjadi dalam pertengkaran apabila wanita dikatakan mengungkit perkara yang lepas yang tidak disukai lelaki. Hakikatnya, majoriti wanita tidak berniat untuk mengungkit peristiwa lalu, walaupun memang diakui kadang-kala kami menggunakannya sebagai senjata untuk membuatkan lelaki meradang. Apa yang berlaku sebenarnya ialah apabila pertengkaran tercetus, perkara yang diungkit itu mempunyai kaitan dengan perkara yang menggangu mereka pada waktu tersebut.

Sabar
Disebabkan pemikiran lelaki dan wanita adalah berbeza, jadi itu adalah realiti yang tidak dapat diubah. Selain daripada tip yang diberikan, lelaki perlu bersabar untuk belajar memahami wanita. Dan proses ini kadang-kala memakan masa yang lama, bergantung kepada latarbelakang dan perwatakan lelaki tersebut. Anda akan membuat kesilapan, mengeluarkan perkataan yang salah atau memberi reaksi yang salah pada waktu yang salah, tapi lama-kelamaan anda akan dapat memperbaikinya.

Letakkan Diri Di Tempatnya
Adakah anda faham apa yang si dia cuba katakan? Jika anda menghadapi kesukaran, cuba bayangkan anda berada dalam situasi tersebut sebagai wanita. Berfikir dan beri reaksi dengan cara yang berlawanan sebagai seorang lelaki dengan cara wanita bertindak balasa. Cuba kaitkan diri anda dengan emosi pasangan anda. Dan jika anda tidak faham atau tidak mendapat jawapan yang diinginkan jangan malu untuk bertanya.

Advertisement