5 Senaman Hebat Semasa Duduk Untuk Kempiskan Perut


- 13 Feb 18
View 904 : Today 1

Anda tiada masa ke gimnasium dan tidak dapat berdiet untuk mengempiskan perut yang buncit kerana sibuk dengan urusan kerja dan peribadi? Jangan risau, kerana ada cara mudah untuk anda lakukan senaman mengempiskan perut di mana saja dan pada bila-bila masa saja.

Advertisement

Crunches
Senaman crunches biasanya dilakukan di atas lantai, tetapi anda juga boleh melakukannya semasa duduk di atas kerusi. Apa yang anda perlu buat ialah duduk di atas kerusi dengan posisi lurus pada 90 darjah dengan lutut dibengkokkan dan kaki di atas lantai. Letak tangan anda di tepi kepala atau di atas dada dan gerakkan badan anda ke depan dan ke belakang. Cuba ketatkan otot perut anda seketat yang boleh dan ulang dengan bergerak ke belakang dan ke depan semula.

Plank
Plank adalah sejenis bentuk senaman untuk otot perut yang dilakukan dengan posisi seperti tekan tubi. Namun plank tidak memerlukan anda turun naik seperti tekan tubi, sebaliknya menahan beban badan dengan tangan dan kaki selama yang boleh. Di pejabat, anda boleh melakukan plank dengan bantuan kerusi. Buka lengan dan letakkan tangan di atas permukaan kerusi atau meja dan berjalan ke belakang hingga satu sudut terbentuk. Letak jari kaki anda dalam keadaan renggang. Naikkan pinggul hingga membentuk garisan lurus dari bahu ke kaki. Tahan selama 30 hingga 60 saat. 

Silang Siku Dan Lutut
Senaman ini boleh dilakukan dengan duduk menegak di atas kerusi dan letakkan kedua-dua tangan di sisi atas kepala. Mulakan memusing badan anda dengan mengangkat kaki kanan dan membawa siku kiri menyentuh lutut kanan. Pastikan kaki anda diangkat perlahan-lahan, tidak terlalu cepat untuk memberi tekanan kepada otot perut. Ganti pula dengan mengangkat kaki kiri ke atas dan membawa siku kanan menyentuh lutut kiri. Anda akan dapat rasa otot perut yang menegang.

Kayuh Basikal
Duduk di hujung permukaan kerusi dan beri sokongan kepada bahagian atas badan dengan menyandarkan bahu di atas kerusi. Kemudian letakkan kedua kaki anda dalam posisi seperti mengayuh basikal. Mulakan aksi mengayuh dengan mengangkat paha hampir ke otot perut anda. Lakukan dengan perlahan-lahan hingga otot perut anda terasa tegang.

Leg Pull In
Ini ialah senaman perut yang menegangkan bahagian bawah perut. Biasanya senaman ini dilakukan di atas bangku gim, tetapi di pejabat anda boleh gunakan kerusi. Duduk seperti biasa dan kemudian angkat badan anda menggunakan kekuatan kedua-dua tangan. Rapatkan kedua-dua kaki dan angkat ke paras dada. Seeloknya angkat perlahan-lahan hingga otot perut terasa tegang. Kemudian berhenti seketika bila lutut mendekati dada dan turunkan semula kaki.

Lakukan semua senaman ini sekerap yang boleh untuk mendapatkan hasil yang berkesan. Jadi anda tiada alasan lagi untuk tidak bersenam dan mendapatkan otot perut yang hebat!

Advertisement