Pelan Pemakanan Sihat Untuk Lelaki


- 13 Feb 18
View 29 : Today 1

Lelaki yang sederhana aktif biasanya perlu mengambil kalori di antara 2000 hingga 2800 sehari untuk menjalankan aktiviti dan sistem keseluruhan badan. Namun jangan juga lupa untuk memasukkan nutrisi di bawah ini ke dalam rancangan pemakanan harian anda.

Advertisement

Serat
Sekurang-kurangnya 38 gram fiber perlu diambil oleh setiap lelaki. Serat ini boleh didapati melalui pengambilan sekurang-kurangnya 5 cawan sayur dan buah setiap hari. Ia juga boleh diperolehi dalam bentuk bijian penuh (whole grains).

Protein
Lelaki disarankan hanya mengambil 56 gram protein setiap hari, walaupun otot dan tahap aktiviti badan boleh meningkatkan keperluan pengambilan protein. Walaupun lelaki cenderung memakan daging merah, namun sajian ini perlu dihadkan kepada satu atau dua sajian saja pada setiap minggu. Ini kerana pengambilan daging merah berlebihan meningkatkan risiko penyakit jantung dan barah. Protein shakes juga perlu diambil dengan perhatian kerana ia mungkin mengandungi bahan terlarang.

Lemak Sihat
Lemak sihat yang dianjurkan ialah lemak ikan, minyak zaitung dan kekacang seperti badam bagi mengurangkan risiko jantung tersumbat. Ia juga berfungsi mengurangkan radang pada otot dan memperbaiki kesuburan. Sumber lemak sihat yang lain adalah telur, avokado dan mentega kacang.

Gula Tambahan
Walaupun gula biasanya kurang menjadi masalah kepada lelaki, tetapi adalah penting untuk memastikan jumlah pengambilan diawasi. Lelaki tidak digalakkan mengambil lebih daripada 36 gram gula tambahan setiap hari, kerana ia boleh meninggikan peratusan risiko kegemukan, kencing manis, sakit jantung dan lain-lain penyakit yang boleh dicegah.

Kalsium
Walaupun osteoporosis atau masalah tulang rapuh lebih banyak menyerang wanita, seorang dari empat lelaki berusia 50 tahun ke atas akan mengalami keretakan tulang yang berkaitan dengan osteoporosis. Bagi mencegah risiko tersebut, lelaki dinasihatkan mengambil makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, yogurt dan keju. Sumber kalsium ini juga boleh ditambah dengan makanan seperti ikan sardin bertulang, bijiran penuh, badam dan kacang soya.

Makanan yang masuk ke dalam badan secara amnya akan mempengaruhi kesihatan individu. Selain daripada berat badan dan BMI, lelaki juga perlu mengambil perhatian kepada ukur lilit pinggang. Ukuran pinggang lelaki tidak seharusnya lebih daripada 40 inci, kerana lemak yang mengelilingi pinggang menambahkan risiko kencing manis, penyakit berkaitan jantung dan beberapa penyakit kronik lain.

Advertisement