5 Hobi Yang Sesuai Bagi Lelaki

Adakah anda seorang lelaki yang membosankan? Atau anda rasa hidup anda hanya tertumpu kepada pekerjaan dan menguruskan hal keluarga atau kekasih? Mengikut kajian, individu yang mempunyai hobi lebih ceria dan sihat berbanding mereka yang tiada. Hobi yang baik juga membantu hubungan sosial dengan masyarakat setempat dan menjadikan pemiliknya individu yang positif. Terdapat banyak hobi yang sesuai untuk dilakukan oleh lelaki seperti senarai di bawah.

Membaca
Tidak ramai lelaki suka membaca kerana lelaki adalah makhluk yang lebih bertindak balas pada visual atau imej. Namun, lelaki yang membaca terutama buku dan majalah adalah seksi kerana mereka lebih berpengetahuan daripada lelaki yang banyak menghabiskan masa di laman sosial atau televisyen. Membaca memberikan anda ilmu yang berbeza dan menjadikan anda satu langkah ke hadapan berbanding orang lain dalam banyak perkara. 

Berkebun
Berkebun adalah hobi yang memberikan banyak faedah kepada diri dan keluarga. Dengan berkebun, anda dapat mengeluarkan peluh yang bagus untuk kesihatan tubuh, sekaligus mengelakkan penyakit. Ia juga adalah satu bentuk terapi yang baik untuk emosi dan minda. Dalam masa yang sama, berkebun uga membantu anda mengawal perbelanjaan seharian jika anda bercucuk tanam sayur-sayuran. Selain boleh dimakan, ia juga boleh dijual sekaligus dapat menambah pendapatan.

Bertukang
Kemahiran membuat perabot atau perkakas rumah banyak dijadikan hobi kerana ia mendatangkan kepuasan apabila dapat menghasilkan sesuatu dengan tangan. Jika anda seorang yang kreatif dan banyak idea, bertukang adalah minat yang paling sesuai untuk anda. Sama seperti berkebun, hobi bertukang dapat menjana pendapatan jika hasil kerja tangan anda boleh dijual. 

Bersukan
Ada banyak sukan yang boleh dijadikan hobi masa lapang anda, sama ada sukan outdoor atau indoor. Antara sukan indoor yang boleh dilakukan ialah bermain catur, pool, badminton, futsal dan bersenam di gim. Manakala sukan di luar pula seperti bermain bolasepak, memanah, berbasikal atau mendaki gunung. Sukan biasanya boleh menambahkan ramai kenalan dan jaringan perhubungan untuk kerjaya atau perniagaan.

Fotografi
Dengan kemajuan teknologi, hampir semua orang memiliki telefon pintar yang dilengkapi kamera. Selama ini anda sudah pun melakukan hobi ini tanpa disedari, cuma pada tahap asas sahaja. Mungkin selepas ini, anda boleh menggunakan tetapan (setting) pada kamera telefon yang selama ini terbiar tidak digunakan. Gambar yang mungkin membosankan boleh jadi lebih menarik selepas disunting. Kongsikan hasil tangkapan imej tersebut di laman sosial dan mungkin anda akan mendapat maklum balas menarik mengenai gambar anda.