4 Sebab Hubungan Anda Tidak Ke Fasa Seterusnya

Anda bingung memikirkan di mana silapnya apabila wanita yang anda suka tidak memberikan tindak balas yang anda harapkan. Anda rasa, anda telah melakukan segala yang terbaik untuk perhubungan anda berdua. Tapi anda sebenarnya silap!

Kelihatan Terdesak
Ramai lelaki yang awal-awal lagi ditolak wanita sama ada disekat di laman sosial atau di telefon bimbit kerana satu sebab utama iaitu, kelihatan terdesak. Ya, ramai lelaki tidak sabar untuk memulakan perkenalan dengan wanita hingga adakalanya menghantar mesej yang kurang sopan atau menghantar mesej berkali-kali. Anda perlu mulakan persahabatan yang ikhlas terlebih dahulu supaya si dia berasa selesa dan selamat berkomunikasi dengan anda. Makin anda terdesak, makin tipis peluang anda untuk ke peringkat berikutnya.

Masalah Perangai
Walaupun anda berwajah tampan, berpendidikan tinggi, mempunyai kerjaya yang bagus dengan pendapatan yang lumayan, tetapi anda masih gagal menambat hati gadis impian anda. Mungkin anda perlu bertanya adakah tingkah laku anda yang memberi masalah kepada hubungan anda berdua. Mungkin anda seorang pemarah, cemburu buta, mengongkong, suka ambil kesempatan atau kurang beribadah yang membuatkan wanita enggan meneruskan perhubungan dengan anda. Tanya rakan dan ahli keluarga tentang sisi negatif diri yang mungkin anda terlepas pandang. 

Halangan Faktor Ketiga
Faktor ketiga yang menghalang hubungan anda daripada naik ke tangga berikutnya boleh berasal dari pelbagai punca. Antaranya keluarga, latarbelakang yang berbeza, masalah kesihatan, cita-cita, agama, jarak dan lain-lain. Dengan mengenalpasti punca-punca faktor ketiga ini, anda boleh membuat tindakan yang bersesuaian sama ada berjuang untuk ke pusingan seterusnya ataupun berhenti di tengah jalan.

Si Dia Tidak Serius
Perkara ini boleh berlaku pada bila-bila masa dalam sesebuah perhubungan. Adakalanya hanya tinggal untuk ke jinjang pelamin dan tiba-tiba hubungan anda dan pasangan seperti tiada hala tuju. Ada juga wanita yang enggan memberi kata putus apabila diajak bertunang atau berkahwin. Pada ketika ini, anda berasa seolah-olah keseorangan walaupun berpasangan. Jika pasti si dia tidak serius, jangan ditunggu lagi! Hidup hanya sekali dan buka lembaran baru sebelum masa anda terbuang begitu saja.