6 Ancaman Kesihatan Bagi Lelaki

Semenjak bayi hingga ke usia tua, wanita biasanya lebih sihat berbanding lelaki. Satu daripada 15 penyebab utama kematian, lelaki mendahului wanita kecuali Alzhiemer, di mana lelaki jarang hidup lama untuk menghidapnya. Salah satu punca masalah ini adalah kerana lelaki meletakkan kesihatan diri pada tempat paling bawah.

Penyakit Kardiovaskular
Sakit jantung dan serangan angin ahmar adalah dua jenis penyakit kardiovaskular yang menjadi punca nombor satu dan dua kepada kematian di seluruh dunia. Kedua-dua penyakit ini merupakan masalah kesihatan sedunia iaitu satu penyakit umum di hampir semua negara. Kolesterol jahat yang tersumbat di dalam saluran arteri di bahagian jantung dan otak akan membentuk gumpalan darah yang menyebabkan serangan jantung atau angin ahmar.

Barah Paru-Paru
Kanser paru-paru adalah penyakit yang menyerang dengan ganas dan tiada simpati kepada penghidapnya. Pesakit yang dijangkiti kanser ini akan menderita dengan tanda dan kesan penyakit yang menyeksakan. Ia merebak pantas sebelum tanda awal penyakit ini muncul di atas X-ray. Pada waktu ia dikesan, biasanya kanser paru-paru sudah di peringkat akhir dan sukar untuk disembuhkan. Hanya separuh daripada penghidap dapat hidup setahun kemudian.

Barah Prostat
Kanser prostat ialah ketumbuhan berbahaya yang bermula dari dalam kelenjar prostat dan paling kerap menyerang lelaki. Prostat ialah kelenjar bersaiz “walnut” terletak di belakang dasar zakar, di depan rektum,di bawah pundi kencing dan di sekeliling uretra yang berfungsi menghasilkan cecair air mani. Sesetengah kanser prostat membesar secara perlahan lahan dan mungkin tidak menyebabkan masalah dalam beberapa tahun.

Kemurungan
Kemurungan bukan setakat mengalami perasaan tidak menentu, marah, tertekan atau ‘bad mood’ yang sementara. Ia adalah gangguan emosi yang mempengaruhi keseluruhan sistem tubuh dan kesihatan anda. Kesan kemurungan dapat dilihat daripada hubungan minda dan tubuh. Pengeluaran hormon dalam otak akan mengalami ketidakseimbangan. Rutin tidur, selera makan dan tenaga juga turut terganggu. Malah kajian menunjukkan lelaki dengan kemurungan cenderung mendapat sakit jantung.

Kencing Manis
Penyakit kencing manis bermula dalam diam, tanpa tanda-tanda yang jelas. Bertahun-tahun, tahap gula akan meningkat naik dan akhirnya masuk ke dalam air kencing. Kencing dan dahaga yang terlalu kerap adalah tanda-tanda penyakit yang membawa pesakit berjumpa doktor. Glukos yang berlebihan akan bertindak meracun saluran darah dan saraf. Kegemukan dan berat badan melebihi piawaian BMI menyumbang kepada penularan kencing manis.

Mati Pucuk
Mati pucuk mungkin bukan penyakit yang mengancam nyawa, tetapi ia masih menjadi isyarat kepada tahap kesihatan individu. Penyakit ini bermula dengan proses yang sama seperti sakit jantung dan angin ahmar. Ia bermakna pengaliran darah dalam badan tidak berjalan lancar dan memberi petanda awal kepada penyakit kardiovaskular. 39% lelaki berusia 40an mengalami masalah mati pucuk atau ejakulasi pra-matang. Lelaki dengan masalah ini tidak dapat menikmati hidup seperti yang diinginkan dan sering kali dilanda depresi.

Leave A Reply