5 Sebab Kenapa Lelaki Enggan Berjumpa Doktor

Reaksi kebanyakan lelaki apabila disuruh berjumpa doktor adalah sama seperti reaksi lelaki apabila disuruh bertemu bekas pasangan. Ramai mengerut dahi dan bertanya apakah keperluan untuk mereka pergi ke klinik atau hospital. Berikut adalah lima sebab keengganan mereka.

Rasa Diri Gagah
Ramai pengamal kesihatan mengaitkan keadaan kesihatan lelaki dengan tingkah laku mereka yang gemar mengambil risiko. Lelaki cenderung memandang remeh tentang penyakit kerana mengakui diri sakit bermakna mengakui diri lemah. Mereka lebih mengutamakan urusan kerjaya dan perniagaan berbanding kesihatan dan sangat jarang berbincang mengenai masalah kesihatan mereka termasuk ahli keluarga sendiri.

Tidak Maskulin
Pergi berjumpa doktor apabila rasa tidak sihat adalah ‘perkara wanita’ bagi kebanyakan lelaki. Memang tidak dapat dinafikan bahawa suasana di kebanyakan klinik dan hospital lebih mesra wanita berbanding lelaki yang membuatkan lelaki tidak mahu dilihat sebagai feminin dan lembik. Namun hospital dan klinik juga mempunyai ramai kakitangan lelaki yang boleh dirujuk semasa membuat temujanji kesihatan. 

Tiada Masa
Kebanyakan lelaki menghabiskan masa di pejabat atau di luar rumah demi urusan kerja dan perniagaan. Apabila mereka selesai menguruskan kerja dan perniagaan, mereka biasanya sudah keletihan atau ada rancangan lain seperti menghabiskan pula masa dengan keluarga. Keadaan ini digunakan lelaki sebagai alasan untuk mengelak daripada berjumpa doktor walaupun ia hanya mengambil masa di antara setengah hingga satu jam sahaja untuk satu sesi.

Saya Belum Ada Penyakit
Ini adalah satu alasan yang sering digunakan lelaki apabila disuruh berjumpa doktor. Mereka akan bertanya semula, untuk apa? Lelaki tidak atau enggan memahami bahawa dengan bertemu doktor dalam keadaan sihat, ia membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit yang tidak menunjukkan sebarang tanda. Lelaki berpendapat adalah membazir melakukan pemeriksaan kesihatan sedangkan ia boleh menyelamatkan nyawa jika ia dilakukan lebih awal.

Takut
Ramai lelaki mengaku yang mereka enggan berjumpa doktor kerana takut sekiranya doktor dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dalam badan mereka. Mereka hanya akan berbuat demikian apabila penyakit sudah lama bersarang kerana tiada pilihan lain. Ketakutan mereka boleh membawa kesan buruk yang mungkin sukar untuk dirawat pada masa hadapan.