Soalan Yang Mesti Dijawab Sebelum Memulakan Perhubungan

Sebelum anda terlibat dalam sesuatu perhubungan, sama ada percintaan, pertunangan atau perkahwinan, anda patut tanya beberapa soalan untuk mengetahui sama ada anda benar-benar bersedia atau sekadar mengikut arus?

Mengapa saya mahukan perhubungan ini?
Kebanyakan orang mahukan perhubungan cinta dan perkahwinan untuk mendapatkan jaminan, sama ada dari segi emosi mahupun kewangan. Ramai orang terjebak dalam percintaan, pertunangan dan perkahwinan kerana takut hidup keseorangan atau mahu keluar dari sesuatu masalah. Ini disebabkan tekanan dari persekitaran yang melihat orang lain berpasangan dan tidak mahu dianggap tidak normal. Namun, perhubungan tidak seharusnya menjadi tempat untuk menghilangkan kesunyian atau mengharapkan pasangan anda menyelesaikan apa jua masalah anda. Anda perlu berhubung dengan diri sendiri sebelum mempunyai hubungan dengan orang lain.

Adakah saya mampu menjadi diri sendiri?
Salah satu kesilapan dalam hubungan ialah apabila mereka cuba menjadi orang lain semata-mata untuk memuaskan hati pasangan. Selepas anda tahu apa yang anda mahukan daripada perhubungan, senaraikan perkara yang penting bagi anda. Apakah perkara-perkara yang anda tidak boleh bertolak ansur? Gunakan senarai ini untuk memilih pasangan yang sesuai dengan nilai-nilai yang anda pertahankan dari fasa awal perkenalan. Anda akan mendapat lebih penghormatan daripada berpura-pura.  

Adakah saya boleh jadikan hidup pasangan saya lebih baik?
Apabila anda fokus kepada memberi, anda akan sentiasa gembira. Dengan menjadikan hidup pasangan anda lebih baik, perhubungan akan menjadi satu pengalaman yang positif dan indah kepada anda berdua. Secara semulajadi, jika pasangan anda serasi, dia akan melakukan perkara yang sama kepada anda. Perhubungan seharusnya adalah perkara yang menambah nilai baik kepada diri dan kehidupan masing-masing. Fokus untuk jadi yang terbaik kepada pasangan anda dan bukannya hanya kemahuan anda. Kongsikan anugerah yang anda miliki bersama orang yang anda kasihi.

Apakah jangkaan saya daripada perhubungan ini?
Jangkaan atau expectation tidak boleh diperolehi dengan membuat anggapan sendiri. Jangan mengharap sesuatu tanpa bertanya terlebih dahulu kepada pasangan anda. Ini adalah kesilapan banyak perhubungan yang membawa kepada perpisahan. Jika anda tidak pasti, keraplah berkomunikasi dengan pasangan anda untuk menyatakan kehendak anda. Tapi dalam masa yang sama, anda juga perlu memberi peluang yang sama kepada si dia.