5 Makanan Wajib Untuk Lelaki 40an (Bahagian 2)

Selain lima makanan yang disenaraikan dalam artikel 5 MAKANAN WAJIB UNTUK LELAKI 40AN (BAHAGIAN 1), terdapat lima jenis lagi makanan yang wajib dimasukkan dalam diet lelaki khususnya menjelang usia 40-an oleh jurnal kesihatan, “International Journal of Obesity” terbitan 2009.

Kacang merah (kidney bean)
Sebagai sumber protein yang terbaik, kacang merah mengandungi 8 daripada 9 jenis asid amino yang diperlukan badan. Protein membantu menjaga kesihatan kulit dan rambut kerana ia kaya dengan folat, magnesium dan thiamine yang turut membantu meningkatkan sistem imunisasi dan tenaga. Serat dalam kacang menghalang kencing manis dan penyakit kardiovaskular. Ia mengurangkan indeks glisemik dengan mengelak peningkatan tahap gula selepas makan.

Walnut
Selain mewah dengan vitamin E, kacang ini kaya dengan antioksidan yang melambatkan proses penuaan dan masalah berkaitan penuaan. Ia juga mengandungi nutrien yang turut mengurangkan risiko kanser prostat. Omega 3 (asid alpha lenolenic) pula memberi perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular. Pilihlah ia sebagai snek ketika menonton tv atau permainan bola sepak.

Teh hijau
Pengambilan teh hijau yang kerap membantu menstabilkan tekanan darah dan mengelak penyakit kardiovaskular serta angin ahmar. Teh hijau bermanfaat merawat tekanan darah tinggi, kolestrol dan keradangan menurut kajian Fakulti Perubatan Universiti Harvard. Ia juga memberi perlindungan terhadap kanser perut, esofogus dan prostat.

Coklat hitam
Kandungan flavonoid dalam coklat berperanan merehatkan saluran darah dan membolehkan aliran darah lebih perlahan sekaligus mengurangkan tekanan.  Flavonoid dalam coklat hitam mengurangkan radikal bebas kolestrol LDL dan mengelak masalah arteri tersumbat. Ia juga berfungsi untuk mencairkan darah, maknanya mengelak pembekuan darah. Bagaimanapun kawal pengambilannya kerana ia juga kaya dengan kafein dan makan berlebihan boleh mengurangkan manfaatnya. Pilih coklat dengan lebih 70% komposisi coklat hitam dan makan secara terkawal.

Bijirin penuh
Serat dalam bijirin penuh membuat anda lebih kenyang untuk tempoh lama mengelak pengambilan snek tidak sihat. Ia memperlahankan rembesan glukosa dalam aliran darah sekaligus mengurangkan risiko diabetes. Lagipun kandungan asid laktik dalam bijirin membantu pertumbuhan bakteria baik yang membantu dalam penghadaman lebih baik yang turut meningkatkan kemampuan sistem imun.