Lelaki Dan Masalah Ketidaksuburan

Apabila ada pasangan yang telah lama berumahtangga namun masih belum mempunyai anak, masyarakat cepat menuding jari kepada wanita sebagai punca tersebut. Namun, banyak kes terjadi apabila lelaki menjadi penyebab kepada isu ini.

Ketidaksuburan juga boleh berpunca bukan sahaja daripada wanita tetapi juga lelaki. Penurunan kualiti sperma dalam kalangan lelaki Malaysia dipercayai dipengaruhi pelbagai faktor terutama gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan minuman alkohol, dan obesiti, selain terdedah dengan makanan yang mengandungi bahan kimia.

Pada masa yang sama, tidak dinafikan tekanan kerja dan gangguan harian merupakan juga menyebabkan penurunan kualiti sperma, seperti tidak cukup sifat atau cacat iaitu sperma tiada ekor dan gagal berenang ke telur.

Faktor umur sudah tentu antara sebab utama punca ketidaksuburan kerana semakin umur meningkat kualiti sperma semakin menurun.

Di samping itu, mempunyai berat badan berlebihan atau kurang daripada sepatutnya atau bersenam secara berlebihan juga boleh mengakibatkan masalah kesuburan baik kepada perempuan atau pun lelaki.

Walaupun lelaki tidak mempunyai had apabila dikaitkan dengan tahap kesuburan tetapi lima tahun kebelakangan ini banyak lelaki muda mula mempunyai masalah kurang kualiti sperma.

Kesedaran mengenai masalah ketidaksuburan dan rawatan baginya masih lagi rendah dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Walaupun ketika dilahirkan seorang lelaki itu memiliki tahap kesihatan seksual yang normal, pendedahan kepada faktor persekitaran yang tidak sihat ketika mereka membesar akhirnya boleh mengubah kesihatan kesuburan lelaki tersebut.

Oleh yang demikian, pasangan yang bermasalah perlu menjalani ujian kesuburan bagi mengenali punca masalah itu. Kajian global turut menunjukkan bahawa purata bilangan sperma dari 1930 hingga 1990 telah berkurangan hampir separuh.

Malah satu kajian yang dijalankan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mendapati kualiti air mani lelaki berusia 20 hingga 30 tahun turun sebanyak 43 peratus.

Hasil kajian ini menjadi keputusan penting kepada pihak-pihak berkaitan untuk membuat rumusan bahawa Malaysia kini perlu mempertingkatkan rawatan kesuburan dalam kalangan rakyatnya.

Apa yang penting ialah setiap pasangan seharusnya menjalani pemeriksaan dan rawatan untuk mengetahui masalah yang mereka hadapi seterusnya berusaha untuk mendapatkan zuriat.