Wanita Merajuk, Bagaimana Nak Pujuk Dengan Berkesan?

Bergaduh dan merajuk adalah asam garam dalam sesebuah perhubungan. Tapi kalau rajukan si dia berpanjangan, jangan dibiarkan begitu saja kerana ia boleh mengundang keretakan kasih sayang. Senang je untuk memujuk wanita jika anda ikut 5 langkah ini.

Minta maaf
Tidak kisahlah samada anda rasa perkara tersebut merupakan perkara remeh ataupun anda tidak sedar pun apa kesalahan anda, namun perkara utama dalam memujuk hati si dia adalah dengan meringankan mulut dan minta maaf. Marah macam mana pun, perkataan maaf itu pasti melembutkan hati si dia.

Belanja makan 
Waktu malam merupakan masa yang terbaik untuk memujuk orang. Bagi tenang dahulu, baru mula berbicara tentang perkara yang digaduhkan. Kalau nak lagi bagus, bawa makan malam romantik. Tidak ada gadis yang sanggup tahan marah kalau dilayan seperti puteri!

Bagi hadiah
Ada perempuan yang sukakan bunga, ada yang sukakan cokelat. Cuba fikirkan apa yang teman wanita anda sukakan. Tidak semestinya beli sepatu tumit tinggi mewah daripada Christian Louboutin (tetapi kalau berbuat demikian, pasti si dia lupa terus tengah marah), yang penting hadiah itu datang tulus ikhlas dari hati.

Bawa bersiar-siar
Bersiar-siar mengelilingi kota atau berehat di taman bunga, tasik atau tepi pantai juga merupakan cara yang baik untuk menenangkan perasaan si dia. Tapi jangan pula sampai membuat aksi-aksi terlarang okey!

Ajak beli-belah
Ini taktik paling berkesan di antara semua taktik memujuk kerana wanita dan membeli-belah bagai aur dengan tebing. Ajak sahaja si dia ke pusat membeli-belah pasti hati si dia akan lembut. Tetapi bersedialah dengan kad kredit atau wang tunai yang banyak, mana tahu si dia jenis yang degil dan hanya akan tersenyum lebar selepas puas berbelanja!