7 Cara Hadapi Wanita Keras Kepala


- 9 Mar 18
View 694 : Today 1

Seseorang dipanggil keras kepala apabila bersikap tidak mahu mengalah dan inginkan orang lain mengikut apa sahaja kehendaknya. Wanita yang keras kepala memeningkan pasangannya dan kadang-kala sikap buruk ini mengganggu pihak lain.

Advertisement

Bersikap tegas
Sifat keras kepala berkait rapat dengan ego dan ia berterusan kerana egonya dimanjakan oleh orang sekeliling. Biasanya sikap ini terjadi kerana tiada siapa yang berani atau pernah menegurnya. Jadi, anda sebagai pasangannya harus bersikap tegas apabila dia menunjukkan aksi itu, dengan tidak turut sama menyokong perangainya. Ia perlu dilakukan supaya si dia sedar bahawa sikap keras kepalanya sesuatu yang baik dan sama sekali tidak membuat personalitinya jadi menarik.

Tentukan bila perlu mengalah
Untuk menghadapi wanita keras kepala anda harus tahu bila waktu yang perlu untuk mengalah dan bila harus bersikap tegas. Tentunya akan ada waktu di mana anda perlu mengalah, terutama apabila sikap keras kepalanya kena pada isu atau perkara. Namun jangan pula terlalu sering mengalah kerana akan menunjukkan anda bersetuju dengan sikapnya.

Pandai membaca situasi
Sikap tegas berkemungkinan akan membuat wanita yang keras kepala menjadi emosi dan boleh mencetuskan pertengkaran. Bagi mengelakkan perkara tersebut, anda mesti bijak menjaga tutur kata, membaca riak wajah dan memilih waktu tepat untuk bertindakbalas terhadap sebarang komunikasi dengannya.

Hadapi dengan rasional
Memang sikap wanita yang keras kepala itu adakalanya sangat menjengkelkan. Tetapi anda tidak harus terikut-ikut dengan emosinya, sebaliknya bersikap sabar dan tenang sewaktu menghadapi kedegilannya, Jika api bertemu api, semakin besar ia akan menyala. Namun jika anda menjadi air, lama-kelamaan api kedegilannya akan dapat dipadamkan.

Beri perhatian
Kadang-kala, perempuan berperangai keras kepala kerana mahukan perhatian daripada pasangannya. Adakah anda terlalu sibuk dengan perkara lain sehingga mengabaikan si dia? Bagi sesetengah wanita, bersikap keras kepala dan degil membuatkan anda memberikan tumpuan dan kasih sayang yang dia inginkan.

Muhasabah diri sendiri
Mungkin ada baiknya jika anda muhasabah diri sendiri untuk mencari punca kenapa si dia keras kepala. Boleh jadi ada sikap dan kata-kata anda yang menjadi penyebab kepada kedegilannya dan sikapnya itu adalah tanda protes kepada sikap anda. Perbaiki cara anda berkomunikasi dan ia mungkin dapat melembutkan perangainya.

Abaikan
Bila semua cara di atas tidak berjaya, jalan terakhir adalah dengan tidak mengendahkannya. Mungkin ada sesetengah wanita yang tidak suka dinasihati atau dibebel dan cara terbaik ialah membiarkan dia dengan perangainya. Jika anda masih boleh bertahan, teruskan hubungan anda tapi jika putus asa ada baiknya masing-masing mencari haluan sendiri dari terus sakit hati.

Advertisement