‘Buah Dada’ Lelaki (Bahagian 1)

Apabila disebut buah dada, pastinya anda akan terus membayangkan wanita bukan? Malah, bahagian dada lelaki sepatutnya leper dan berotot tegap bukannya montot seperti wanita. Keadaan ini dari segi perubatan dipanggil sebagai ginekomastia iaitu pembesaran benigna (tidak merebak) buah dada lelaki yang boleh berlaku pada semua peringkat umur, termasuk orang tua.

Walaupun masalah ginekomastia ini lebih kerap dilihat pada lelaki yang berbadan sangat gemuk, namun ada juga sebilangan kecil lelaki yang mempunyai buah dada besar meskipun mereka tidak gemuk. Ia boleh berlaku jika mereka mengambil makanan protein atau menjalani rawatan suntikan hormon dan melakukan senaman bina badan seperti angkat berat. Ginekomastia boleh berlaku dalam tiga peringkat iaitu:

1. Semasa bayi kerana bayi lelaki mempunyai banyak hormon wanita yang diperolehi daripada ibu sewaktu di dalam kandungan. Dianggarkan 60 hingga 90 peratus bayi lelaki mengalami ginekomastia. Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana akan hilang atau susut sendiri dalam masa beberapa bulan apabila bayi semakin besar.

2. Semasa akil baligh kerana semasa fasa ini, berlaku ketidakseimbangan hormon dan ia juga adalah perkara normal yang biasanya bermula ketika kanak-kanak lelaki berumur 10 hingga 12 tahun. Saiz buah dada akan susut sendiri secara perlahan-lahan dalam masa tiga hingga empat tahun. Walaupun boleh berlarutan sehingga selepas berumur 17 tahun tetapi ia jarang berlaku.

3. Semasa pertengahan umur iaitu melebihi umur 45 tahun kerana ada banyak faktor yang boleh menyebabkan keadaan ini berlaku pada orang dewasa. Antaranya kekurangan hormon androgen iaitu masalah biasa di kalangan lelaki berumur kerana ada bahagian badan lain yang menukar hormon androgen kepada estrogen daripada hormon lelaki kepada hormon perempuan atau akibat pengambilan ubat tertentu.

Ginekomastia berlaku apabila keseimbangan hormon androgen (lelaki) dan hormon estrogen (wanita) terganggu. Setiap orang mempunyai kedua-dua hormon ini pada keseimbangan tertentu yang memberi bentuk atau sifat kelelakian atau kewanitaan.

Pada lelaki, antara kesan akibat berlebihan hormon estrogen ialah buah dada menjadi besar atau ginekosmastia. Ia juga mungkin disebabkan tisu buah dada lelaki menjadi lebih sensitif pada hormon estrogen walaupun hormon estrogen berada pada tahap biasa,

Ginekomastia juga boleh dibahagikan kepada empat kategori mengikut punca iaitu:
1. Ginekomastia idiopatik iaitu dilahirkan dengan buah dada yang besar dan punca sebenarnya tidak diketahui. Hampir 25 peratus kes ginekomastia berada dalam kategori ini.

2. Ginekomastia puberti (baligh) iaitu biasanya akan hilang dalam masa tiga atau empat tahun, tetapi 25 peratus kes terus berlarutan sehingga dewasa dan ini menyebabkan mereka diejek atau diusik.

3. Pseudoginekomastia (ginekomastia palsu) iaitu pembesaran buah dada bukan disebabkan kehadiran tisu buah dada sebaliknya disebabkan pengumpulan lemak. Ini biasanya berlaku pada lelaki yang sangat gemuk atau obes (25 peratus). Mereka juga adalah antara kumpulan yang sangat sensitif dengan penampilan diri.

4. Ginekomastia sebenar yang disebabkan:
a. Pengambilan sesetengah jenis ubat seperti ubat penenang, ubat tidur, ubat gastrik, ubat anti kulat, ubat yang mengandungi hormon estrogen atau mempunyai aktiviti seperti estrogen, ubat yang merangsang penghasilan estrogen dan ubat yang menyekat penghasilan atau tindakan hormon androgen.
b. Penyakit – contohnya tumor pada testis (iaitu bahagian yang menghasilkan hormon androgen) menyebabkan fungsi testis terjejas, penyakit hati, Sindrom Klinefelter (lelaki mempunyai bahan baka XXY dan bukan XY seperti lelaki normal), tumor pada kelenjar pituitari, sesetengah jenis kanser (kanser paru-paru, perut dan buah pinggang); kegagalan buah pinggang, sindrom kurang sensitif pada androgen atau hipertiroidisme.
c. Penyalahgunaan dadah seperti heroin dan ganja, malah pengambilan alkohol yang berlebihan juga dikatakan boleh menyebabkan sesetengah lelaki mengalami masalah ginekomastia. Namun bagaimana dan kenapa ia hanya terjadi pada golongan tertentu saja masih menjadi misteri.