5 Jenis Pemeriksaan Kesihatan Yang Wajib Bagi Lelaki

Sebagai lelaki yang hidup di zaman serba mencabar ini, kesihatan diri perlulah diambil perhatian setara dengan perkara lain seperti keluarga, kerjaya dan kewangan. Ini kerana tanpa kesihatan yang baik, seseorang itu tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai ketua keluarga, pekerja atau majikan yang cemerlang. Berikut adalah jenis pemeriksaan kesihatan yang perlu dilakukan oleh lelaki sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Tekanan Darah
Tekanan dengan hal keluarga, pekerjaan, keadaan lalu lintas dan kewangan boleh menaikkan atau menurunkan tekanan darah tanpa disedari. Apabila tekanan darah bermasalah, ia akan membawa banyak lagi penyakit berangkai seperti serangan angin ahmar, pitam, serangan jantung atau kerosakan salur darah. Jadi sewajarnya anda melakukan pemeriksaan tekanan darah sebulan sekali.

Mata
Ramai menyangka pemeriksaan mata tidak perlu dilakukan sekiranya mata tidak mempunyai masalah. Tetapi ada pelbagai penyakit mata yang boleh menyebabkan kebutaaan seperti glaukoma. Mengikut satu kajian, kira-kira 45 juta rakyat AS mengalami masalah mata akibat proses penuaan dan hanya kurang satu pertiga rakyatnya menjalani pemeriksaan mata secara berkala. Ia boleh dilakukan pada usia 18 tahun dengan kekerapan satu hingga tiga tahun sekali mengikut lingkungan usia 18 hingga 61 tahun bergantung kepada saranan doktor. Jadi laluinya sekarang agar anda tidak menyesal di kemudian hari.

Kencing Manis
Bagi lelaki, penyakit kencing manis adalah musuh kesihatan yang berbahaya kerana ia boleh menyebabkan hilang nafsu seks atau mati pucuk. Ia penting untuk mengenalpasti tahap gula dalam badan bagi mencari atau mengesahkan tanda-tanda penyakit kencing manis. Namun bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan dan lahir dari keturunan keluarga penghidap kencing manis, ujian darah ini perlu dilalui lebih awal. Kekerapan menjalani ujian adalah setiap tiga tahun bagi mereka yang normal.

Kolesterol
Pemeriksaan ini boleh dilakukan seawal umur 20 tahun dengan kekerapan ujian setiap dua hingga ke lima tahun sekali bergantung kepada paras normal. Kolesterol adalah sejenis lemak protein di dalam darah yang boleh menyebabkan masalah penyumbatan saluran darah jika berada di tahap tinggi. Ada dua jenis kolesterol iaitu HDL atau High Density Lipoprotein dan LDL atau Low Density Lipoprotein. Kolesterol baik membantu mengesan risiko serangan jantung dan strok manakala kolesterol jahat yang dianggap LDL merupakan penyumbang kepada sakit jantung. Jika paras tidak normal, ujian perlu berulang setiap enam bulan atau mengikut arahan doktor untuk mengesan tahap kolesterol baik dan jahat di dalam badan.

Buah Zakar
Kanser buah zakar atau prostat boleh menyerang lelaki berusia semuda 15 hingga 34 tahun. 90 peratus dari pesakit kanser buah zakar boleh disembuhkan sekiranya dikesan pada peringkat permulaan. Pemeriksaan ini boleh dilakukan sendiri dengan memegang buah zakar di antara ibu jari dan jari telunjuk, permukaan buah zakar perlu dirasai untuk mengesan sebarang bonjolan, kawasan yang menjadi keras atau pembesaran buah zakar. Jika ada tanda-tanda itu, perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.